Wednesday, February 23, 2011

MERDEKA!!!!MERDEKA!!!!MERDEKA!!!!


titah KDYMM sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke 27

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan rakyat jangan lupa terhadap tanggungjawab memelihara kemerdekaan dengan amalan-amalan berhemah yang berpaksikan rasa syukur.
Dalam titah Baginda sempena menyambut perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke 27 yang disiarkan secara langsung malam ini, Baginda Sultan menegaskan, semua perkara iaitu nikmat dan musibah adalah berpunca daripada Allah dan semuanya berlaku dengan hikmah dan sebab-sebab yang tersendiri. "Dalam apa pun perkara, kita jangan melupakan Allah, termasuk ketika menyambut dan merayakan ulang tahun hari kebangsaan.
"Tidakkah kita ingin mengimbas kembali detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan, di mana kita telah membesarkan Allah di dalamnya? Kita telah pun sama-sama melafazkan "Allahu Akbar", dengan tujuan, untuk mendapatkan restu Allah serta keberkatan dan pemeliharaan-Nya jua.
"Alhamdulillah, tujuan ini tercapai dengan kemerdekaan yang telah berumur 27 tahun itu sedang membuahkan nikmat dalam bentuk pelbagai kemajuan di semua bidang. Namun, di samping menerima buah kemerdekaan dengan lebatnya, kita juga tidak lupa terhadap tanggungjawab memelihara kemerdekaan itu dengan amalan-amalan berhemah yang berpaksikan syukur."
Di antaranya, kita sekarang dalam langkah membudayakan amalan berjimat cermat dan berbelanja menurut kemampuan, sebagai salah satu usaha ke arah mengatur kewangan kita melalui perancangan kewangan atau financial Planning.
Menurut Baginda, tujuan yang tersirat ialah untuk melakar perubahan sikap dan mentaliti menyeluruh, supaya rakyat terbiasa dengan cara sederhana serta tahu pula menghargai nilai.
"Misalnya dalam menghargai subsidi kerajaan, kita perlu bersikap dan berfikiran seimbang, dengan berterima kasih di samping pandai memanfaatkannya melalui amalan mengelakkan pembaziran dan penyalahgunaan.
Ini, meliputi semua jenis subsidi terutama keperluan-keperluan utama, seperti perubatan, pendidikan, jalan raya serta juga komoditi asasi seperti perumahan, air, elektrik, minyak, beras dan gula," titah Baginda.
Menurut Baginda lagi, kesemua perkhidmatan dan keperluan ini amatlah penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. Pada realitinya, semua ini adalah bergantung pada ekonomi dan kemampuan kewangan negara, yang pada setakat ini banyak bersandar kepada hasil minyak dan gas.
"Maka dalam kedudukan ini, kerajaan sangatlah berhajat untuk mempelbagaikan ekonomi negara, agar pada masa hadapan, kita tidak hanya semata-mata bergantung pada minyak dan gas sahaja.
"Dengan negara mempunyai pelbagai ekonomi dan pendapatan yang lebih luas, serta ditambah pula dengan kadar pertumbuhan yang tinggi, maka peluang kita untuk terus makmur dan mewah adalah cerah," jelas Baginda.
"Untuk mencapai matlamat inilah, kerajaan beta sangat menitik beratkan kemajuan pendidikan bagi tenaga-tenaga muda kita. Bagi sebuah negara yang kecil dengan penduduknya yang sedikit dan mempunyai pelbagai kemahiran strategik.
"Tidak cukup dengan pendidikan semata-mata, anak-anak muda kita juga perlu memiliki sahsiah daripada calak MIB dan jiwa murni daripada asuhan sempurna.
"Untuk inilah, kita mengadakan sekolah, pusat latihan dan pengajian tinggi, tanpa mengabaikan juga pemberian biasiswa kepada lebih ramai penuntut yang berkelayakan sebagai pelaburan utama dalam memajukan "human capital (modal insan)."
Baginda seterusnya bertitah bahawa turut menjadi utama ialah perkhidmatan awam yang merupakan jentera dan pemudah cara untuk kerajaan melakar kemajuan.
Menurut Baginda pada masa kini sahaja, skop dan tahap hajat orang ramai terus meningkat, di mana perkhidmatan awam perlu menyediakan ruang yang luas, termasuk penyediaan dasar-dasar dan pelaksanaan yang cepat lagi berkesan.
Dalam hubungan ini, tegas Baginda Sultan, Perkhidmatan Awam berkewajipan mengenal pasti sebarang kelemahan yang ada, serta menyediakan mekanisme bagi mengatasinya.
"Kelambatan atau kegagalan melaksanakan program-program kerajaan, sepatutnya tidak boleh berlaku, kerana ia berisiko tinggi boleh menjadikan persaingan kita lemah untuk menarik pelaburan asing.
"Daripada faktor-faktor semula jadi, kita sudah memiliki kekuatan-kekuatan tersendiri, di antaranya faktor ketenteraman dan kestabilan politik, ditambah lagi dengan asas ekonomi yang kukuh yang telah dikurniakan Allah kepada kita. Ini semua menjadi aset penting untuk lebih menarik lagi pelabur asing ke negara ini. Tinggal sahaja lagi, kita perlu pandai memelihara dan mempertahankannya.
"Maka untuk itu, semua pihak, dari sektor awam dan swasta, perlulah meningkatkan lagi kerjasama mereka dalam usaha mengekalkan aset yang berharga ini.
"Dengan itu nanti, Insya Allah, ia bukan sahaja akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur-pelabur asing, malahan juga mampu untuk mengekalkan kemakmuran negara."
Baginda mengakhiri titah berkenaan dengan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat serta penduduk negara ini termasuk semua peringkat, ahli perkhidmatan awam, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta di atas segala bentuk pengorbanan dan sumbangan mereka kepada negara.
"Beta juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan lain-lain jawatankuasa perayaan ulang tahun ke 27 hari kebangsaan, dan semua peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.
"Marilah kita sama-sama berdoa, semoga kita dan negara akan sentiasa terpelihara dan mendapat perlindungan daripada Allah Ta'ala. Amin."