Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji
Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-65
Tahun pada 13hb Sya’ban, 1432 / 15hb Julai, 2011
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa
Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu Asyrafil Mursaleen, Sayyidina
Muhammadin Wa’alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dengan rahmat dan izin Allah
jua, dapatlah istiadat pada pagi ini berjalan dengan baik dan sempurna.
Mula-mula Beta dengan gembira merakamkan ucapan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih kepada para “tetamu khas” Beta yang sudi
hadir diistiadat meraikan ulang tahun Hari Puja Usia Beta yang ke-65.
Beta juga merakamkan penghargaan yang sama, kepada mereka yang telah
menghantarkan perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga,
bersempena dengan sambutan ini.
Kita menyedari bahawa usaha pembangunan di merata dunia berjalan
dengan amat rancak. Ia ternyata memberi tekanan yang luar biasa pada
sumber-sumber alam semula jadi yang terhad dan ekosistem.
Terdapat kesan negatif dari tekanan ini dialami oleh dunia.
Antaranya, ada kaitan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, pemanasan
global, kejadian banjir, kebakaran hutan, kemarau dan pencemaran alam
yang mengancam.
Ini ditambah lagi dengan bencana alam lain seperti gempa bumi,
tsunami dan tanah susur, di samping isu-isu kesihatan berupa
penyakit-penyakit kronik dan epidemik.
Realitinya, dunia adalah benar-benar sedang menghadapi cabaran masa depan yang luar biasa.
Dalam keadaan yang sedemikian ini, pilihan kita adalah jelas, perlu
meneruskan agenda pembangunan yang seimbang. Pertama, Rancangan Kemajuan
Negara, (RKN) perlu mendasari kehendak strategik dengan perlaksanaan
yang berkesan. Kedua, perancangan sumber tenaga manusia perlulah lebih
tersusun. Dan ketiga, penggubalan rangkaian undang-undang dan peraturan
yang secukupnya, juga diperlukan untuk menjaga kepentingan pembangunan.
Insya Allah, dengan cara ini, ekonomi kita akan terus tumbuh, dengan
negara juga dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang lebih luas
kepada generasi muda, serta kedudukan kewangan negara bertambah mantap
dan berdayatahan.
Sementara itu, pendekatan pembangunan kita akan diteruskan dengan
amalan hidup bermuafakat dan sihat, ta’at berugama dan setia kepada Raja
berlandaskan MIB atau Melayu Islam Beraja.
Bagi memantapkan pendekatan tersebut, kita perlu menyemai sikap suka
membina diri, rajin dan gigih, berjimat-cermat dan melabur untuk masa
depan.
Kerana itu kita mesti memberikan tumpuan kepada kemajuan pendidikan.
Di bidang ini alhamdulillah, kita telah banyak mencapai kemajuan.
Pelaburan dan infrastruktur pendidikan kita adalah antara yang terbaik.
Secara relatif, peratus rakyat kita yang mempunyai pendidikan tinggi
adalah antara yang tertinggi di dunia. Kadar celik huruf kita juga
sangat tinggi.
Namun ini, tidaklah membenarkan kita untuk mendiamkan diri dari melihat mana-mana yang masih kedapatan lemah.
Sebagai misal, kadar keciciran penuntut di peringkat sekolah rendah
dan menengah, adalah di tahap yang membimbangkan. Tidakkah ini
menunjukkan, bahawa asas pendidikan kita masih perlu lagi diperbaiki?
Pada masa ini juga kita mengalami kekurangan calon-calon yang
mempunyai kelulusan empat (4) kepujian GCE Peringkat ‘O’ atau lebih,
untuk mengisi jawatan-jawatan tertentu.
Ada pula setengah daripada mereka mempunyai kelayakan di peringkat
‘O’ atau ‘A’, tetapi tidak mencukupi untuk mendapat peluang mengikuti
kursus di institusi-institusi teknikal dan vokasional Kerajaan yang
terhad. Pada waktu yang sama, mereka juga tidak dapat melanjutkan
pelajaran di institusi-intitusi sektor swasta yang diiktiraf oleh
Kerajaan kerana tidak mampu untuk membiayainya.
Beta berpendapat, golongan ini perlulah dibantu untuk menjalani
latihan-latihan bersesuaian bagi meningkatkan peluang mereka untuk
mendapatkan pekerjaan.
Maka, sebagai langkah segera untuk golongan ini, Beta telah
memperkenankan tiga (3) skim dibawah Dana Sumber Manusia, untuk
dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Pertama ialah pembaikan ke atas
Skim Latihan dan Pekerjaan
yang berjalan sekarang dan memberikan insentif kewangan kepada
anak-anak tempatan yang telah dilatih dengan kemahiran, asalkan mereka
itu terus berkerja di sektor swasta.
Kedua,
Skim Pembangunan Keupayaan Sumber Tenaga Di Sektor Swasta,
iaitu berupa biasiswa untuk membolehkan anak-anak tempatan yang bekerja
di sektor swasta melanjutkan pelajaran di dalam atau di luar negeri,
bagi meningkatkan kelayakan dan kemahiran.
Ketiga,
Skim Biasiswa Dalam Negeri bagi Pendidikan Teknikal dan Vokasional Di Institusi Pengajian Swasta,
khusus untuk penuntut-penuntut lepasan sekolah di peringkat ‘O’ atau
‘A’ yang layak, tetapi tidak mendapat peluang yang terhad untuk belajar
di institusi-institusi teknikal dan vokasional Kerajaan.
Dan sebagai tambahan kepada skim-skim di atas, Beta juga
memperkenankan perubahan elaun pelajaran kepada pegawai dan kakitangan
Perkhidmatan Awam, khusus untuk anak-anak mereka yang belajar di
institusi-institusi swasta di dalam negeri yang diiktiraf oleh Kerajaan,
yang mengikuti kursus-kursus tertiary seperti persijilan, pre-diploma,
diploma, diploma tertinggi dan ijazah.
Elaun Pelajaran bagi kursus peringkat tertiari ini juga dilaratkan
kepada anak-anak rakyat dan penduduk tetap Negara ini yang berkerja di
sektor swasta, yang menjadi ahli aktif Tabung Amanah Pekerja. Pemberian
elaun ini akan bermula dari 1 Januari, 2012.
Beta berharap, langkah-langkah ini akan dapat meningkatkan kapasiti
serta mengukuhkan lagi sektor swasta, terutamanya bagi menghasilkan
lebih banyak peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.
Menyebut Perkhidmatan Awam pula, adalah penting, untuk mengetahui
akan keperluan tenaga manusianya serta mempastikan keupayaannya sentiasa
sejajar dengan keperluan semasa.
Ke arah ini, Beta mahu supaya perkhidmatan skim-skim dimantapkan.
Mana-mana skim yang tidak lagi sejajar dengan dengan keperluan semasa
perlulah direbiu, supaya ianya releven dan menepati kepeluan semasa.
Sebagai sifatnya skim-skim perkhidmatan, ia perlu menekankan aspek-aspek
kelayakan, kemahiran dan latihan-latihan. Skim juga perlu, untuk
menunjukkan laluan-laluan kemajuan kerjaya, dengan pensyaratan yang
perlu dipenuhi.
Di bidang perguruan dan perubatan, kita Alhamdulillah, telahpun
menyediakan skim-skim perkhidmatan baru, yang bertujuan bagi prospek
kerjaya, serta untuk menarik lebih ramai lagi mereka yang berminat bagi
menceburi bidang-bidang ini. Beta penuh yakin, skim-skim baru seperti
ini akan menyumbang kepada kemajuan modal insan, dengan syarat, ia
digunakan dengan baik dan tidak disalahgunakan.
Bagi tujuan penyelarasan keistimewaan kepada warga Perkhidmatan Awam,
Beta telah memperkenankan perubahan keatas elaun tambang, termasuk
melaratkannya kepada semua pegawai dan kakitangan perempuan di dalam
perkhidmatan awam. Perubahan ini akan berkuasa pada 1 Januari, 2012. Dan
sebagai salah satu keistimewaan yang masih lagi dihulurkan kepada warga
perkhidmatan awam pada masa ini, elaun tambang ini juga akan terus
direbiu dari masa kesemasa, tertakluk kepada kemampuan sumber Kerajaan.
Satu lagi faktor penting menuju pembangunan yang berdayatahan ialah,
peningkatan produktiviti di dalam sektor awam dan swasta dengan
penggunaan teknologi terkini dan pelaburan dalam penyelidikan dan
inovasi.
Melalui penyelidikan dan inovasi, banyak gagasan dan pemikiran boleh
dimajukan. Kerana itu, penyelidikan dan inovasi ini, biarlah ia bertapak
kukuh untuk mendasari ekonomi kita, selaras dengan saiz penduduk kita
yang kecil.
Kita mesti mengukuhkan institusi dan infrastruktur yang diperlukan.
Ke arah ini, Kerajaan adalah sedang menyediakan perlindungan
undang-undang hakcipta, dalam bentuk, Perintah Patent atau Hakcipta,
yang insya Allah akan dikuatkuasakan tidak berapa lama lagi. Kerajaan
juga akan menyediakan peruntukan kewangan yang bersesuaian dalam
Rancangan Kemajuan Negara yang akan datang, untuk tujuan penyelidikan
dan inovasi.
Bagaimanapun, dalam apa jua keadaan, penggunaan sumber-sumber negara akan tetap dilaksanakan secara berhemat.
Pada misalnya, penggunaan gas asli tempatan sebagai bahan bakar
adalah sentiasa meningkat. Penggunaan tenaga per kapita negara juga,
adalah yang paling tinggi di ASEAN. Dalam waktu yang sama, tunggakan
pembayaran elektirk bagi sektor rumah kediaman dan perniagaan juga terus
meningkat.
Sementara subsidi Kerajaan keatas produk petroleum telah meningkat
lebih dari 45% pada tahun lepas, berbanding tahun sebelumnya.
Maka oleh itu, negara adalah perlu untuk menjimatkan sumber-sumber
asli tersebut, sebagai usaha mengelakkan dari terjejasnya pendapatan
negara dari ekspot dan penggunaan untuk industri hiliran.
Ini, termasuklah meningatkan effisiensi pemakaian tenaga meneroka penggunaan tenaga alternatif yang boleh diperbaharui atau ‘
renewable’.
Dalam perkara ini, Kerajaan Beta sedang meneliti satu tarif baru,
yang antara lain bertujuan, untuk membantu golongan yang berpendapatan
rendah, dan dalam masa yang sama, untuk mendorong orang ramai supaya
mengelakkan pembaziran. Tarif baru ini, insya Allah akan berkuatkuasa
pada 1 Januari, 2012.
Bagi mengatasi masalah tunggakan pula, Beta telahpun memperkenankan bagi penggantian
post-paid meter kuasa elektrik kepada
pre-paid meter di rumah-rumah persendirian, yang akan dilaksanakan secara percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan.
Ini sama juga dengan perumahan untuk rakyat. Program pembinaan, bukan sahaja dilaksana dengan lebih cepat, tetapi juga ‘
sustainable’ dari segi penggunaan tanah, kos pembinaan dan pemberian subsidi Kerajaan, serta
keupayaan pemilik untuk membayarnya.
Mengenai keupayaan pemilik ini, Beta telahpun memperkenankan satu
pengkajian dijalankan untuk mengenalpastikan satu sistem tabungan,
dimana pemohon perumahan akan dapat menabung untuk perumahan seawal yang
boleh. Insya Allah sistem tabungan ini akan dikenalkan sebaik-baik
sahaja pengkajian selesai nanti.
Beralih kepada bidang kesihatan, kita tidak ada pilihan melainkan menukarkan fokus perkhidmatan daripada rawatan (
cure) kepada pencegahan (
prevention) supaya ianya dapat berdayatahan dalam jangka panjang.
Ini dapat dilaksanakan dengan cara meningkatkan kesedaran orang
ramai, betapa pentingnya mengamalkan cara hidup sihat secara inklusif
atau “
Health in All Policies” di dalam semua tindak-tanduk mereka seharian, sebagai sifatnya kunci kepada pencengahan yang efektif.
Di bidang kemasyrakatan, alhamdulillah, Beta sangat gembira dan
menghargai sikap prihatin di kalangan rakyat dan penduduk dalam
sama-sama membantu kumpulan-kumpulan orang-orang berkeperluan khas
melalui usaha-usaha yang dilaksanakan oleh organisasi-organisasi bukan
kerajaan (NGOs).
Bagi membolehkan NGOs tersebut memberikan sumbangan yang lebih
berkesan, Beta telah memeperkenankan satu bantuan khas kepada NGOs dalam
bentuk penyediaan tapak tanah, rekabentuk dan kebenaran untuk mereka
membina bangunan dan kemudahan-kemudahan utama bagi kebajikan termasuk
infrastruktur yang tidak bertentangan dengan peraturan.
Di samping itu, Beta juga memperkenankan bantuan kewangan tahunan
pada jumlah yang bersesuaian untuk menampung sebahagian kos operasi
masing-masing.
Dalam ehwal antarabangsa, kita akan terus mengamalkan prinsip
berbaik-baik dengan negara-negara luar dan hormat menghormati di antara
satu dengan yang lain. Hubungan antarabangsa yang sudah kita jalin,
insya Allah akan tetap dipelihara dan diperkukukan.
Khusus di dalam pakatan ASEAN, kerjasama untuk mewujudkn dan menjaga
kestabilan serantau adalah salah satu keutamaan. Kestabilan ini penting,
bagi membolehkan kerjasama meningkatkan pertumbuhan sosio-ekonomi
diantara negara-negara ahli, dan menjadikan ASEAN sebuah pakatan
serantau yang disegani dunia, lebih-lebih lagi rakan dialog.
Kerajaan, adalah tidak sekali-kali akan mengabaikan hal-ehwal
keselamatan. Kerajaan sangat peka dengan cabaran-cabaran keselamatan,
tradisional dan bukan tradisional, Kita akan terus mengukuhkan kemajuan
institusi keselamatan di dalam negara dan mengukuhkan kerjasama serantau
dan antarbangsa untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan semua.
Akhirnya di saat yang berbahagia ini, Beta dengan tulus ikhlas
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan dan ucapan terima kasih
kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, meliputi warga Perkhidmatan
Awam, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor
swasta dan sekalian yang hadir ataupun tidak, atas sumbangan dan
sokongan serta khidmat bakti mereka kepada Kerajaan Beta. Penghargaan
yang setinggi-tingginya juga Beta ucapkan kepada seluruh Ahli
Jawatankuasa Perayaan, diperingkat daerah dan kebangsaan, atas segala
khidmat usaha yang gigih pada menjayakan peryaan ini.
Semoga Allah jua yang akan membalas dengan limpah rahmat-Nya kepada mereka.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.