BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Peristiwa Hijrah, walaupun sudah berlalu selama 15 abad yang lalu, namun tetap menjadi kenangan dan ristaan hingga ke hari ini kerana ia merupakan sejarah agung yang telah membawa perubahan kehidupan umat Islam ketika itu kepada kehidupan yang bertamadun lagi sempurna.
"Jika kita kaji dan selidiki hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah itu, kita akan dapati hijrah tersebut telah membawa perubahan yang besar kepada keyakinan, kemantapan dan perkembangan agama Islam, bahkan hijrah itu sebagai titik permulaan kuasa Islam berkembang dan tersebar ke seluruh dunia.
"Oleh itu, rahsia di sebalik peristiwa hijrah itu hendaklah dihayati dan dijadikan pengajaran untuk menjalani kehidupan kerana pengajaran dan iktibar dari peristiwa hijrah itulah antara peninggalan Rasulullah SAW yang amat berharga dan berguna jika dimanfaatkan," kata Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini.
Menurut Khatib lagi, hijrah bukan sahaja terbatas kepada pengertian berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi juga boleh melewati kepada makna berpindah daripada sifat atau perbuatan yang tidak baik kepada yang baik, malah hijrah seperti inilah yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam.
Khatib berkata, hijrah tidak akan terlaksana sepenuhnya tanpa gandingan atau disandarkan kepada iman dan jihad, tidak kira sama ada hijrah pada makna sebenar ataupun hijrah hati dan jiwa daripada keburukan kepada kebaikan.
Malahan dalam Al-Quran sendiri banyak menggandingkan antara kelemahan hijrah dengan iman dan jihad, setiap perjuangan terdapat tiga unsur yang saling kait mengait dan memerlukan antara satu sama lain iaitu iman, hijrah dan jihad.
Tanpa keimanan yang teguh dan kecintaan seseorang hamba kepada Allah Subahanahu Wata'ala serta semangat jihad untuk berjuang dan berkorban apa sahaja, kita tidak akan dapat membuat penghijrahan iaitu melangkah ke arah kebaikan dan meninggalkan keburukan serta kemungkaran.
Hijrah hati adalah hijrah yang tidak memerlukan perpindahan dari bentuk fisikal dan kebendaan. Hijrah tersebut hanya memerlukan kemahuan, keazaman, kesungguhan dan keikhlasan dalam melaksanakannya. Walaupun hijrah hati tidak memerlukan kepada pengorbanan fizikal dan harta benda, tetapi hijrah ini sukar untuk disempurnakan.
Menurut Khatib, hati adalah punca tercetus atau bermulanya segala amalan atau perbuatan, sama ada baik atau buruk, berpahala atau berdosa. Hati dicipta Allah Subahanahu Wata 'ala sebagai pelengkap paling utama di dalam tubuh manusia. Hati menjadi tempat jatuhnya pandangan dan nilaian Allah Subahanahu Wata`ala terhadap hambanya.
Khatib menekankan, "Imam Ghazali menegaskan bahawa hati adalah seperti raja, sedangkan anggota lain sebagai tenteranya. Semua anggota-anggota ini akan taat dan patuh terhadap perintah rajanya ini.
"Adapun hati itu bukanlah sekadar seketul daging, malah lebih jauh dari itu, hati itu melambangkan batin dan rohani seseorang yang perlu dibersihkan, dididik, digilap dan dijaga, jika kita meneliti peranan hati di dalam pencapaian dan peningkatan rohani seseorang, ternyata hati adalah penting dalam menjadi asas kepada keimanan dan ketakwaan.
"Akhirnya, bersempena tahun baru hijrah ini, marilah kita sama-sama muhasabah diri, bertaubat dan memohon keampunan diri segala dosa-dosa yang kita lakukan selama ini."
Sehubungan itu Khatib mengajak umat Islam; "Marilah kita hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di negara ini pada petang pada 6 Disember 2010 bagi sama-sama membaca doa-doa akhir tahun 1431 Hijrah dan membaca doa-doa awal tahun 1432 Hijrah."
Apa yang penting, kita hendaklah sedar bahawa hijrah hati atau jiwa kita kearah sifat yang mulia seperti sabar, amanah, pemaaf, suka bersedekah dan seumpamanya serta menjauhi segala perbuatan yang munkar, mampu membentuk kita kearah kesempurnaan hidup yang suci bersih dari sikap dan perbuatan yang buruk dalam mempamirkan sikap, akhlak dan peribadi yang mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.
Semoga segala amalan, doa dan taubat diterima Allah SWA
ReplyDeleteamin....
ReplyDelete