Monday, November 23, 2009

Brunei di tangga kesembilan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Jabatan Biro Mencegah Rasuah hari ini mengumumkan Brunei menduduki tempat kesembilan antara sepuluh negara seluruh dunia dalam usaha berterusan membanteras aktiviti rasuah.

Pengumuman itu dibuat Ketua Penyiasatan Khas, Wee Ken Teck berdasarkan statistik Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada persidangan akhbar yang berlangsung hari ini di Pejabat Biro Mencegah Rasuah Brunei, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Beliau berkata: "Kami bersyukur kerana dengan sokongan padu kerajaan sudah menampakkan hasil daripada strategik kita dan diiktiraf oleh badan antarabangsa."

Beliau berkata, Global Corruption Parameter menunjukkan Brunei mendapat tahap yang tinggi dari segi efektifnya pembanterasan rasuah, sekali gus menduduki tempat ketiga bagi 2009.

"Perkara ini menampakkan kejayaan Jabatan Biro Mencegah Rasuah dalam usaha pembanterasan aktiviti rasuah di negara ini dengan sokongan padu daripada kerajaan," ujar beliau.

'Pelacur' ditahan bersama pelanggan

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Dengan kerjasama dan maklumat dari orang ramai, Unit Penumpasan Perjudian dan Maksiat, Pasukan Polis Diraja Brunei berjaya menahan 12 wanita warga-negara China yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran.

Dalam operasi petang semalam, unit berkenaan membuat serbuan ke atas sebuah hotel di Daerah Brunei Muara pada kira-kira pukul 3.45 semalam setelah menerima maklumat orang ramai dan berjaya menahan 12 orang wanita terbabit, kata polis dalam kenyataan hari ini.

Ketika pemeriksaan dijalankan, pegawai-pegawai unit itu mendapati salah seorang daripada wanita berkenaan sedang bersama seorang lelaki yang dipercayai pelanggannya.

Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan beberapa barang bersama mereka termasuk kondom, bahan pelincir KY dan alat pencuci kelamin wanita, tambah kenyataan.

Berikutan pemeriksaan ke atas kesemua 12 wanita itu, polis menemui sejumlah wang dalam pelbagai mata wang iaitu sebanyak wang Brunei sebanyak $9,898.20, 2,382 ringgit Malaysia, 9,049.50 yuan China, 523 dolar Singapura dan $186 dolar Hong Kong.

Polis menyatakan penghargaan dan menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama dengan memberikan maklumat dan membuat laporan mengenai dengan kegiatan-kegiatan yang melanggar peraturan serta undang-undang.

Tuesday, November 17, 2009

Nokia minta pulangkan pengecas berisiko

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Nokia baru-baru ini memulakan program pertukaran pengecas di mana pengguna yang mempunyai pengecas Nokia yang dikilangkan oleh sebuah pembekal pihak ketiga disyorkan untuk menukar pengecas berkenaan untuk penggantian percuma.

Nokia dalam kenyataan dikeluarkan hari ini menjelaskan, pihaknya mengenal pasti isu kualiti produk yang berpotensi dengan pengecas tertentu dikilangkan oleh satu pihak ketiga pembekal.

Sementara itu, penutup plastik pengecas yang terjejas boleh menyebabkan longgar di samping menampakkan komponen dalaman pengecas dan berpotensi menimbulkan bahaya kejutan elektrik jika komponen dalaman tertentu disentuh.

Hanya satu jumlah yang terhad pengecas mengikut jenis model tertentu dikilangkan oleh satu pembekal pihak ketiga yang tunggal adalah dalam skop program pertukaran.

Antara model pengecas itu seperti AC-3E dan AC-3U yang dikilangkan di antara 15 Jun 2009 dan 9 Ogos 2009 serta model AC-4U yang dikilangkan di antara 13 April 2009 dan 5 Oktober 2009.

Sehubungan itu, pengecas yang dikenal pasti dalam program itu adalah pengecas yang mempunyai dua jarum dan untuk keterangan lanjut mengenai program itu orang ramai boleh melayari laman web di http://chargerexchange.nokia.com atau menghubungi di talian +6732430801 sambungan 555.

Macam-Macam: Lagak muda perdaya 20 wanita hubungan seks

TAIPEI: Seorang lelaki Taiwan berusia 55 tahun memperdaya 20 wanita untuk melakukan hubungan seks dengan menyamar sebagai lelaki muda yang kacak dan pada masa yang sama berlakon sebagai bapa pemuda itu.

Hsu Shian-ming ditahan atas dakwaan menyiarkan gambar model lelaki muda di internet dan mendakwa beliau adalah lelaki terbabit sehingga menarik perhatian ramai wanita yang ingin menjalin hubungan dengannya, lapor China Post.

Hsu menggunakan telefon untuk memberitahu mangsanya bahawa beliau mempunyai bapa yang sakit dan memerlukan hubungan seks berterusan untuknya terus hidup.

Wanita terbabit kemudian bertemu dengan ‘bapa’ berkenaan yang juga adalah Hsu yang menunggu mereka di beberapa hotel.

Seorang mangsa, mencurigai perkara itu selepas beberapa cubaan untuk bertemu dengan pemuda kacak itu gagal dan menemui kebenaran dengan bantuan penyiasat persendirian, kata polis. - AFP

Wednesday, November 04, 2009

Penggodam guna cecacing curi data

'Conficker', 'Taterf' jadi pilihan penjenayah

SAN FRANCISCO: Penjenayah siber kini berusaha mencari kelemahan dalam sistem komputer untuk memasukkan virus cecacing bertujuan mengawal dan mencuri data, kata laporan keselamatan yang dikeluarkan pusat penyelidikan teknologi Microsoft.

Laporan Keselamatan Perisikan turut menyatakan, perisian malware rogue penggodam utama yang mengancam komputer pada enam bulan pertama tahun ini, tetapi jangkitannya berkurangan, manakala kemunculan cecacing meningkat sekali ganda.

"Kami masih melihat perisian yang digodam tetapi bilangannya tidak menunjukkan peningkatan. Apa yang dilihat semakin bertambah ialah kegiatan melepaskan cecacing terutama yang dikenali sebagai 'Conficker' dan 'Taterf'," kata pegawai kanan Pusat Perlindungan Malware Microsoft, Jeff Williams.

Beliau berkata, cecacing diprogram agar boleh menambah sendiri bilangannya dan menyusup dari sebuah komputer ke sebuah komputer lain dengan bersembunyi di dalam aplikasi biasa atau peranti simpanan data.

Perisian menggodam yang turut dikenali sebagai 'scareware' biasanya merebak dengan menipu pengguna melalui kotak 'pop-up' atau memberi amaran palsu bahawa komputer mereka dijangkiti virus.

Pengguna komputer yang sudah dijangkiti kemudian diarah membayar untuk mendapatkan aplikasi bagi mengatasi masalah itu.

"Pengguna yang tertipu tidak sedar bahawa mereka sebenarnya membayar penggodam, dengan memberi maklumat kad kredit dan memasukkan 'malware'," katanya.

Penghalang 'scareware' automatik dan tindakan badan perundangan bagi menghalang mana-mana pihak daripada menipu dengan

menggunakan perisian mengurangkan ancaman itu.

"Jika anda memilih produk anti virus, pilihlah penyedia perkhidmatan yang sudah dikenali dan bukan pihak yang tidak pernah anda dengar atau muncul secara tiba-tiba melalui 'pop-up' pada skrin komputer.

Pertahanan komputer yang semakin canggih pada masa kini menyebabkan penggodam menggunakan cecacing untuk menggondam data peribadi mangsa. � AFP

Macam-Macam: Hotel angkasa lepas dibuka pada 2012

BARCELONA: Sebuah syarikat yang merancang membuka hotel pertama di angkasa lepas menyasarkan untuk menerima tetamu pertama mereka menjelang 2012 walaupun mendapat kritikan mengenai projek berbilion dolar itu.

Firma The Galactic Suite Space Resort berpusat di Barcelona meletakkan anggaran kos tiga juta euro (RM13 juta) bagi penginapan tiga malam di hotel terbabit termasuk latihan khusus selama lapan minggu di sebuah pulau tropikal.

Sepanjang penginapan, tetamu hotel dapat menyaksikan matahari terbit 15 kali sehari dan mengelilingi dunia setiap 80 minit. - Agensi

Perogol kena hukum sula

RIYADH: Sebuah mahkamah rayuan di Arab saudi menyokong hukuman pancung dan sula yang dijatuhkan ke atas seorang lelaki berusia 22 tahun, selepas dia didapati bersalah merogol lima kanak-kanak dan membiarkan seorang daripadanya mati di padang pasir.

Akhbar Okaz melaporkan, lelaki terbabit ditahan awal tahun ini selepas seorang budak lelaki berusia tujuh tahun, membantu polis menjalankan siasatan.

“Kanak-kanak yang dibiarkan sehingga mati di padang pasir selepas dirogol itu berusia tiga tahun,” lapor akhbar itu.

Kumpulan hak asasi antarabangsa sering menuduh kerajaan Arab Saudi melaksanakan undang-undang yang kejam termasuk memenggal pembunuh, perogol dan pengedar dadah di khalayak ramai.

Setakat ini kira-kira 40 orang sudah dijatuhi hukuman terbabit. Di Arab Saudi, hukuman sula, bererti mayat pesalah akan diikat pada tiang kayu untuk tontonan umum, selepas hukuman pancung dilaksanakan. - Reuters