Saturday, July 16, 2011

baginda sultan Berkenan terima Mushaf Penyurihan Belia

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima Mushaf Penyurihan Belia yang dihasilkan menggunakan kaedah penyurihan oleh belia negara ini termasuk peserta termuda berusia 13 tahun, dua mualaf serta lima beliawanis.
Dihasilkan dalam masa 65 hari, ia bersempena dengan ulang tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan Ke-65.
Turut berangkat ke majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Dalam temu bual bersama media, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair Haji Abdullah berkata ia ditulis oleh belia dalam masa 65 hari.
Belia berkenaan datang daripada pelbagai latar belakang termasuk agensi kerajaan seperti Pusat Dakwah Islamiah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dewan Bahasa dan Pustaka, Maahad Islam Brunei, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan guru agama.
"Majlis hari ini merupakan kemuncaknya. Ia menunjukkan rasa sayang belia kepada seorang raja yang prihatin dan mendoakan supaya Baginda Sultan dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.
"Seperti yang kita ketahui, belia adalah pemimpin generasi masa depan," ujar Yang Berhormat Pehin.
Melaksanakan tanggungjawab mereka bagi menyempurnakan tugasan berkenaan merupakan satu cabaran memandangkan ia bukannya pekerjaan mudah, tetapi dengan kesungguhan jitu, mereka mampu menyelesaikannya terutama sekali dalam memastikan kesucian dan kesempurnaan kitab suci berkenaan, tambahnya.
Menurut Yang Berhormat Pehin, ada kaedah yang perlu diamalkan ketika melaksanakan tugas penyurihan mushaf berkenaan seperti sentiasa dalam keadaan berwuduk, membaca doa serta menunaikan solat sunat hajat yang sangat digalakkan. Sementara itu, seorang pereka dari Dewan Bahasa dan Pustaka yang juga artis terkenal tanah air, Pengiran Kamarulzaman Pengiran Haji Tajuddin, berkata beliau mereka bentuk bahagian depan, belakang dan tulang belakang mushaf berkenaan.
Ia sememangnya tugasan mencabar yang dilaksanakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka.
"Misi itu nampak mustahil pada awalnya tetapi dengan keyakinan yang dibina, akhirnya kami berjaya melakukannya," jelasnya.
Beliau menambah, "80 peratus reka bentuk mushaf itu memaparkan ciri-ciri reka bentuk tradisional yang digelar 'Daun Lukut' dan 'Rawai'.

titah KDYMM sempena hari keputeraan yg ke 65

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-65 Tahun pada 13hb Sya’ban, 1432 / 15hb Julai, 2011
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dengan rahmat dan izin Allah jua, dapatlah istiadat pada pagi ini berjalan dengan baik dan sempurna.
Mula-mula Beta dengan gembira merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para “tetamu khas” Beta yang sudi hadir diistiadat meraikan ulang tahun Hari Puja Usia Beta yang ke-65.
Beta juga merakamkan penghargaan yang sama, kepada mereka yang telah menghantarkan perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga, bersempena dengan sambutan ini.
Kita menyedari bahawa usaha pembangunan di merata dunia berjalan dengan amat rancak. Ia ternyata memberi tekanan yang luar biasa pada sumber-sumber alam semula jadi yang terhad dan ekosistem.
Terdapat kesan negatif dari tekanan ini dialami oleh dunia. Antaranya, ada kaitan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, pemanasan global, kejadian banjir, kebakaran hutan, kemarau dan pencemaran alam yang mengancam.
Ini ditambah lagi dengan bencana alam lain seperti gempa bumi, tsunami dan tanah susur, di samping isu-isu kesihatan berupa penyakit-penyakit kronik dan epidemik.
Realitinya, dunia adalah benar-benar sedang menghadapi cabaran masa depan yang luar biasa.
Dalam keadaan yang sedemikian ini, pilihan kita adalah jelas, perlu meneruskan agenda pembangunan yang seimbang. Pertama, Rancangan Kemajuan Negara, (RKN) perlu mendasari kehendak strategik dengan perlaksanaan yang berkesan. Kedua, perancangan sumber tenaga manusia perlulah lebih tersusun. Dan ketiga, penggubalan rangkaian undang-undang dan peraturan yang secukupnya, juga diperlukan untuk menjaga kepentingan pembangunan.
Insya Allah, dengan cara ini, ekonomi kita akan terus tumbuh, dengan negara juga dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang lebih luas kepada generasi muda, serta kedudukan kewangan negara bertambah mantap dan berdayatahan.
Sementara itu, pendekatan pembangunan kita akan diteruskan dengan amalan hidup bermuafakat dan sihat, ta’at berugama dan setia kepada Raja berlandaskan MIB atau Melayu Islam Beraja.
Bagi memantapkan pendekatan tersebut, kita perlu menyemai sikap suka membina diri, rajin dan gigih, berjimat-cermat dan melabur untuk masa depan.
Kerana itu kita mesti memberikan tumpuan kepada kemajuan pendidikan. Di bidang ini alhamdulillah, kita telah banyak mencapai kemajuan. Pelaburan dan infrastruktur pendidikan kita adalah antara yang terbaik. Secara relatif, peratus rakyat kita yang mempunyai pendidikan tinggi adalah antara yang tertinggi di dunia. Kadar celik huruf kita juga sangat tinggi.
Namun ini, tidaklah membenarkan kita untuk mendiamkan diri dari melihat mana-mana yang masih kedapatan lemah.
Sebagai misal, kadar keciciran penuntut di peringkat sekolah rendah dan menengah, adalah di tahap yang membimbangkan. Tidakkah ini menunjukkan, bahawa asas pendidikan kita masih perlu lagi diperbaiki?
Pada masa ini juga kita mengalami kekurangan calon-calon yang mempunyai kelulusan empat (4) kepujian GCE Peringkat ‘O’ atau lebih, untuk mengisi jawatan-jawatan tertentu.
Ada pula setengah daripada mereka mempunyai kelayakan di peringkat ‘O’ atau ‘A’, tetapi tidak mencukupi untuk mendapat peluang mengikuti kursus di institusi-institusi teknikal dan vokasional Kerajaan yang terhad. Pada waktu yang sama, mereka juga tidak dapat melanjutkan pelajaran di institusi-intitusi sektor swasta yang diiktiraf oleh Kerajaan kerana tidak mampu untuk membiayainya.
Beta berpendapat, golongan ini perlulah dibantu untuk menjalani latihan-latihan bersesuaian bagi meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan.
Maka, sebagai langkah segera untuk golongan ini, Beta telah memperkenankan tiga (3) skim dibawah Dana Sumber Manusia, untuk dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Pertama ialah pembaikan ke atas Skim Latihan dan Pekerjaan yang berjalan sekarang dan memberikan insentif kewangan kepada anak-anak tempatan yang telah dilatih dengan kemahiran, asalkan mereka itu terus berkerja di sektor swasta.
Kedua, Skim Pembangunan Keupayaan Sumber Tenaga Di Sektor Swasta, iaitu berupa biasiswa untuk membolehkan anak-anak tempatan yang bekerja di sektor swasta melanjutkan pelajaran di dalam atau di luar negeri, bagi meningkatkan kelayakan dan kemahiran.
Ketiga, Skim Biasiswa Dalam Negeri bagi Pendidikan Teknikal dan Vokasional Di Institusi Pengajian Swasta, khusus untuk penuntut-penuntut lepasan sekolah di peringkat ‘O’ atau ‘A’ yang layak, tetapi tidak mendapat peluang yang terhad untuk belajar di institusi-institusi teknikal dan vokasional Kerajaan.
Dan sebagai tambahan kepada skim-skim di atas, Beta juga memperkenankan perubahan elaun pelajaran kepada pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam, khusus untuk anak-anak mereka yang belajar di institusi-institusi swasta di dalam negeri yang diiktiraf oleh Kerajaan, yang mengikuti kursus-kursus tertiary seperti persijilan, pre-diploma, diploma, diploma tertinggi dan ijazah.
Elaun Pelajaran bagi kursus peringkat tertiari ini juga dilaratkan kepada anak-anak rakyat dan penduduk tetap Negara ini yang berkerja di sektor swasta, yang menjadi ahli aktif Tabung Amanah Pekerja. Pemberian elaun ini akan bermula dari 1 Januari, 2012.
Beta berharap, langkah-langkah ini akan dapat meningkatkan kapasiti serta mengukuhkan lagi sektor swasta, terutamanya bagi menghasilkan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.
Menyebut Perkhidmatan Awam pula, adalah penting, untuk mengetahui akan keperluan tenaga manusianya serta mempastikan keupayaannya sentiasa sejajar dengan keperluan semasa.
Ke arah ini, Beta mahu supaya perkhidmatan skim-skim dimantapkan. Mana-mana skim yang tidak lagi sejajar dengan dengan keperluan semasa perlulah direbiu, supaya ianya releven dan menepati kepeluan semasa. Sebagai sifatnya skim-skim perkhidmatan, ia perlu menekankan aspek-aspek kelayakan, kemahiran dan latihan-latihan. Skim juga perlu, untuk menunjukkan laluan-laluan kemajuan kerjaya, dengan pensyaratan yang perlu dipenuhi.
Di bidang perguruan dan perubatan, kita Alhamdulillah, telahpun menyediakan skim-skim perkhidmatan baru, yang bertujuan bagi prospek kerjaya, serta untuk menarik lebih ramai lagi mereka yang berminat bagi menceburi bidang-bidang ini. Beta penuh yakin, skim-skim baru seperti ini akan menyumbang kepada kemajuan modal insan, dengan syarat, ia digunakan dengan baik dan tidak disalahgunakan.
Bagi tujuan penyelarasan keistimewaan kepada warga Perkhidmatan Awam, Beta telah memperkenankan perubahan keatas elaun tambang, termasuk melaratkannya kepada semua pegawai dan kakitangan perempuan di dalam perkhidmatan awam. Perubahan ini akan berkuasa pada 1 Januari, 2012. Dan sebagai salah satu keistimewaan yang masih lagi dihulurkan kepada warga perkhidmatan awam pada masa ini, elaun tambang ini juga akan terus direbiu dari masa kesemasa, tertakluk kepada kemampuan sumber Kerajaan.
Satu lagi faktor penting menuju pembangunan yang berdayatahan ialah, peningkatan produktiviti di dalam sektor awam dan swasta dengan penggunaan teknologi terkini dan pelaburan dalam penyelidikan dan inovasi.
Melalui penyelidikan dan inovasi, banyak gagasan dan pemikiran boleh dimajukan. Kerana itu, penyelidikan dan inovasi ini, biarlah ia bertapak kukuh untuk mendasari ekonomi kita, selaras dengan saiz penduduk kita yang kecil.
Kita mesti mengukuhkan institusi dan infrastruktur yang diperlukan. Ke arah ini, Kerajaan adalah sedang menyediakan perlindungan undang-undang hakcipta, dalam bentuk, Perintah Patent atau Hakcipta, yang insya Allah akan dikuatkuasakan tidak berapa lama lagi. Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan kewangan yang bersesuaian dalam Rancangan Kemajuan Negara yang akan datang, untuk tujuan penyelidikan dan inovasi.
Bagaimanapun, dalam apa jua keadaan, penggunaan sumber-sumber negara akan tetap dilaksanakan secara berhemat.
Pada misalnya, penggunaan gas asli tempatan sebagai bahan bakar adalah sentiasa meningkat. Penggunaan tenaga per kapita negara juga, adalah yang paling tinggi di ASEAN. Dalam waktu yang sama, tunggakan pembayaran elektirk bagi sektor rumah kediaman dan perniagaan juga terus meningkat.
Sementara subsidi Kerajaan keatas produk petroleum telah meningkat lebih dari 45% pada tahun lepas, berbanding tahun sebelumnya.
Maka oleh itu, negara adalah perlu untuk menjimatkan sumber-sumber asli tersebut, sebagai usaha mengelakkan dari terjejasnya pendapatan negara dari ekspot dan penggunaan untuk industri hiliran.
Ini, termasuklah meningatkan effisiensi pemakaian tenaga meneroka penggunaan tenaga alternatif yang boleh diperbaharui atau ‘renewable’.
Dalam perkara ini, Kerajaan Beta sedang meneliti satu tarif baru, yang antara lain bertujuan, untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah, dan dalam masa yang sama, untuk mendorong orang ramai supaya mengelakkan pembaziran. Tarif baru ini, insya Allah akan berkuatkuasa pada 1 Januari, 2012.
Bagi mengatasi masalah tunggakan pula, Beta telahpun memperkenankan bagi penggantian post-paid meter kuasa elektrik kepada pre-paid meter di rumah-rumah persendirian, yang akan dilaksanakan secara percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan.
Ini sama juga dengan perumahan untuk rakyat. Program pembinaan, bukan sahaja dilaksana dengan lebih cepat, tetapi juga ‘sustainable’ dari segi penggunaan tanah, kos pembinaan dan pemberian subsidi Kerajaan, serta
keupayaan pemilik untuk membayarnya.
Mengenai keupayaan pemilik ini, Beta telahpun memperkenankan satu pengkajian dijalankan untuk mengenalpastikan satu sistem tabungan, dimana pemohon perumahan akan dapat menabung untuk perumahan seawal yang boleh. Insya Allah sistem tabungan ini akan dikenalkan sebaik-baik sahaja pengkajian selesai nanti.
Beralih kepada bidang kesihatan, kita tidak ada pilihan melainkan menukarkan fokus perkhidmatan daripada rawatan (cure) kepada pencegahan (prevention) supaya ianya dapat berdayatahan dalam jangka panjang.
Ini dapat dilaksanakan dengan cara meningkatkan kesedaran orang ramai, betapa pentingnya mengamalkan cara hidup sihat secara inklusif atau “Health in All Policies” di dalam semua tindak-tanduk mereka seharian, sebagai sifatnya kunci kepada pencengahan yang efektif.
Di bidang kemasyrakatan, alhamdulillah, Beta sangat gembira dan menghargai sikap prihatin di kalangan rakyat dan penduduk dalam sama-sama membantu kumpulan-kumpulan orang-orang berkeperluan khas melalui usaha-usaha yang dilaksanakan oleh organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGOs).
Bagi membolehkan NGOs tersebut memberikan sumbangan yang lebih berkesan, Beta telah memeperkenankan satu bantuan khas kepada NGOs dalam bentuk penyediaan tapak tanah, rekabentuk dan kebenaran untuk mereka membina bangunan dan kemudahan-kemudahan utama bagi kebajikan termasuk infrastruktur yang tidak bertentangan dengan peraturan.
Di samping itu, Beta juga memperkenankan bantuan kewangan tahunan pada jumlah yang bersesuaian untuk menampung sebahagian kos operasi masing-masing.
Dalam ehwal antarabangsa, kita akan terus mengamalkan prinsip berbaik-baik dengan negara-negara luar dan hormat menghormati di antara satu dengan yang lain. Hubungan antarabangsa yang sudah kita jalin, insya Allah akan tetap dipelihara dan diperkukukan.
Khusus di dalam pakatan ASEAN, kerjasama untuk mewujudkn dan menjaga kestabilan serantau adalah salah satu keutamaan. Kestabilan ini penting, bagi membolehkan kerjasama meningkatkan pertumbuhan sosio-ekonomi diantara negara-negara ahli, dan menjadikan ASEAN sebuah pakatan serantau yang disegani dunia, lebih-lebih lagi rakan dialog.
Kerajaan, adalah tidak sekali-kali akan mengabaikan hal-ehwal keselamatan. Kerajaan sangat peka dengan cabaran-cabaran keselamatan, tradisional dan bukan tradisional, Kita akan terus mengukuhkan kemajuan institusi keselamatan di dalam negara dan mengukuhkan kerjasama serantau dan antarbangsa untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan semua.
Akhirnya di saat yang berbahagia ini, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, meliputi warga Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan sekalian yang hadir ataupun tidak, atas sumbangan dan sokongan serta khidmat bakti mereka kepada Kerajaan Beta. Penghargaan yang setinggi-tingginya juga Beta ucapkan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan, diperingkat daerah dan kebangsaan, atas segala khidmat usaha yang gigih pada menjayakan peryaan ini.
Semoga Allah jua yang akan membalas dengan limpah rahmat-Nya kepada mereka.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.