Friday, December 25, 2009

Wanita mengandung pilihan utama sindiket dadah

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Biro Kawalan Narkotik (BKN) memberi amaran bahawa modus operandi untuk memikat warga Brunei menjadi pembawa dadah kini berubah dengan si pembawa menelan dadah dan bukan lagi menyembunyikan dadah dalam bagasi mereka.

BKN mendedahkan demikian bagi mengulas laporan akhbar Australia, The Gold Coast News yang menyebut seorang lagi warga Brunei berusia 41 tahun sedang mengandung diberkas beberapa hari lalu di negara itu.

Dia turut membahayakan nyawa anak dalam kandungannya dengan cuba menyeludup pakej heroin yang ditelan ketika melepasi lapangan terbang Gold Coast.

"Trend sebegitu adalah sesuatu yang baru bagi warga tempatan. Tetapi di negara lain ia sudah biasa digunakan," tambah jurucakap biro.

The Gold Coast News dalam laporan pada 19 Disember berkata ini adalah kali pertama penyeludupan dadah dalam badan dikesan di lapangan terbang.

Wanita itu tiba di lapangan terbang Coolangatta dengan penerbangan murah menaiki pesawat penerbangan murah dari lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur, Malaysia.

Sementara itu ABC Australia melaporkan wanita itu menyembunyikan kira-kira 170 gram bahan yang disyaki heroin dalam badannya dan 300 gram lagi dalam pakaiannya.

Cubaan ini dipercayai diatur oleh sindiket katel dadah antarabangsa dan penangkapan itu dilihat sebagai rampasan besar. Wanita mengandung menjadi pilihan popular sebagai pembawa dadah kerana mereka lebih berkemungkinan dapat mengelak pemeriksaan rutin.

The Gold Coast News menambah kata dia dipercayai menelan paket heroin itu dan menyembunyikan paket lain dalam badannya dan itu bukan hanya membahayakan nyawanya tetapi juga nyawa anak dalam kandungan. Dia kini dalam keadaan kritikal di unit penjagaan rapi di Hospital Robina.

Menurut laporan, setelah melepasi pemeriksaan di Kuala Lumpur, wanita itu ditahan oleh pegawai kastam Gold Coast sebaik tiba di lapangan terbang sebelum disiasat oleh pegawai Polis Persekutuan Australia.

Akhbar Gold Coast Bulletin pula melaporkan wanita itu dibawa ke hospital Robina dan sumber mengatakan dia masih di bawah kawalan polis manakala dadah yang diseludupkannya ditemui. Wanita itu dijangka menghadapi dakwaan berat menyeludup.

Pakar perubatan berkata penyeludupan dadah dalaman begitu merbahaya dan kebocoran boleh membawa maut. Penggunaan pembawa dadah dalaman digemari kerana sukar dikesan.

Pada Mei tahun ini, wanita warga Brunei berusia 29 tahun berdepan dakwaan di mahkamah Australia kerana disyaki menyeludup kira-kira 2 kilogram heroin ke negara itu. Tersangka dilaporkan terbang masuk ke negara itu juga dari Kuala Lumpur.

Dia berdepan hukuman penjara maksimum 25 tahun dan/atau didenda.

Gara-gara jual telefon bimbit kawan, pasangan kena denda $1,200

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan hari ini menjatuhkan hukuman denda $1,200 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda itu kepada pasangan yang secara tidak jujur menjual telefon bimbit milik kawan mereka untuk mendapatkan wang tunai.

Noorrafeah Awang Alias, 19, dan Muhammad Azmi Latif, 21, yang tidak memiliki sebarang rekod kesalahan sebelumnya diberikan tempoh sehingga 12 Januari 2010 untuk membayar denda berkenaan.

Mahkamah diberitahu kedua-dua defendan yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan pergi berjumpa pemilik telefon bimbit terbabit di kawasan letak kereta Kolam Renang Anggerik Desa pada 13 Disember 2009.

Semasa defendan bertemu pengadu, Noorrafeah memberitahunya yang beliau hendak meminjam telefon bimbit berkenaan lalu pengadu memberikan telefon bimbit itu kepadanya lalu meninggalkan kedua-dua defendan di kawasan letak kereta itu untuk melaporkan diri di tempat kerjanya yang terletak berhampiran. . Sejurus selepas pengadu meninggalkan mereka, kedua-dua defendan meninggalkan tempat itu menuju ke Jalan Batu Satu dan menjual telefon bimbit berkenaan di sebuah kedai dengan harga $110.

Pegawai Pendakwa, Ratno Eddy Sophian Haji Zaidi memberitahu mahkamah telefon bimbit berkenaan berjaya ditemui semula dan defendan mengaku terhadap salah laku itu sambil memberitahu polis mereka menjual telefon bimbit itu kerana memerlukan wang.

Bagaimanapun siasatan mendapati wang hasil jualan telefon bimbit itu dibelanjakan untuk membeli petrol, pakaian dan makanan.

Vaksin A (H1N1) untuk petugas, pesakit kronik

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Kementerian Kesihatan hari ini memulakan pemberian vaksin Influenza A (H1N1) kepada orang awam secara besar-besaran membabitkan mereka yang berusia enam bulan ke atas dan menghidapi penyakit-penyakit kronik tertentu.

Kementerian berkenaan dalam kenyataannya berkata pemberian vaksin itu dibuat susulan penerimaan 44,000 dos vaksin penyakit berkenaan pada 16 Disember yang juga merupakan penghantaran ketiga ke negara ini.

Menteri berkenaan Pehin Dato Seri Setia Haji Suyoi Haji Osman turut membuat tinjauan ke Pusat Vaksinasi di Ong Sum Ping bagi melihat dengan lebih dekat lagi operasi suntikan vaksin Influenza A (H1N1) untuk warga Kementerian Kesihatan, pegawai perubatan dan jururawat serta orang awam yang mengidap penyakit kronik.

Pesakit berusia enam bulan itu membabitkan penghidap penyakit paru-paru, jantung, buah pinggang, hati, neurologi, kurang daya melawan penyakit dan kencing manis yang kronik serta mereka yang bakal melawat ke negara beriklim sejuk boleh mendapatkan suntikan vaksin berkenaan di pusat itu pada waktu bekerja.

Kementerian juga memaklumkan Pusat Suntikan Influenza A (H1N1) bagi Daerah Brunei dan muara di Pusat Kesihatan Berakas A, Pusat Kesihatan Anggerik Desa, Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong dan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (bagi pesakit-pesakit yang menghidap penyakit kronik dan sudah membuat temu janji.)

Para pesakit yang diberikan jadual haruslah mematuhi jadual suntikan yang ditetapkan.

Bagi Daerah Belait pula, orang ramai boleh mendapatkan suntikan di Hospital Suri Seri Begawan dan Pusat Kesihatan Sungai Liang, Daerah Tutong pula di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan di daerah Temburong di Hospital Temburong.

Bagi pertanyaan lanjut mengenai Influenza A (H1N1), orang ramai bolehlah menghubungi talian 145 atau 7180991 selepas waktu bekerja.

Sementara itu jurucakap Kementerian Kesihatan ketika dihubungi Media Permata pula berkata keutamaan akan diberikan kepada rakyat dan penduduk Brunei tetapi warga asing yang menetap di negara ini tidak akan diketepikan.

Beliau juga menjelaskan bahawa pemberian suntikan vaksin Influenza A (H1N1) buat masa ini dikhususkan kepada mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik tertentu sahaja, namun mereka yang berasa sangsi boleh menemui doktor untuk memastikan sama ada mereka turut memerlukan suntikan.

Menurutnya kementerian belum bersedia memberi suntikan vaksin Influenza A (H1N1) secara menyeluruh sebagai persediaan menghadapi kemungkinan tercetus semula wabak itu di negara ini.

Muhammad Iqbal kena denda $32,200

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan hari ini menjatuhkan hukuman denda $32,200 atau 22 bulan penjara jika gagal membayar denda ke atas seorang warga Indonesia, Muhammad Iqbal, 40, kerana didapati bersalah memiliki barangan tegahan kastam tanpa cukai.

Muhammad Iqbal dijatuhi hukuman atas dua kesalahan di bawah Seksyen 146 (1)(d) Perintah Eksais 2006 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 146 (1) (i) Perintah yang sama.

Dia didapati melakukan kesalahan itu pada 21 Disember 2009 ekoran serbuan sepasukan pegawai penguat kuasa Kastam ke atas sebuah pondok di kebun Kampung Bertumpu, Kampung Masin Limau Manis yang disyaki menyimpan barang tegahan Kastam yang di seludup masuk dari Ujong Jalan Lumapas ekoran risikan oleh Unit Perisikan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Hasil pemeriksaan di pondok berkenaan pegawai penguat kuasa menemui tujuh botol Whisky Label 5 dan 280 karton pelbagai jenis rokok tanpa amaran Kesihatan Brunei.

Berikutan kesalahan pertama itu, Muhammad Iqbal didenda $17,200 atau 12 bulan penjara jika gagal membayar denda pada hari beliau dijatuhi hukuman.Pemeriksaan lanjut ke atas tempat tinggalnya di sebuah rumah sewa di Kampung Sungai Tilong Jalan Muara, Muhammad Iqbal didapati menyimpan rokok tanpa Amaran Kesihatan Brunei dan minuman keras yang terdiri daripada enam botol Whisky Label 5, enam botol Smirnoff, 46 tin Tiger Beer, 31 tin Carlsberg dan 160 karton pelbagai jenis rokok.

Dengan kesalahan kedua itu, Muhammad dia dijatuhi hukuman denda $15,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan, hari ini.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mahkamah dalam perbicaraannya hari ini bertanya kepada tertuduh mengapa dia terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Ketika menjawab pertanyaan itu Muhammad Iqbal yang bekerja sebagai tukang masak di salah sebuah restoran menjelaskan kegiatan seumpamanya mendatangkan banyak keuntungan dan dia juga terperangkap dalam hutang dengan pembekal.

Menurutnya dia yang hanya menerima gaji $20 hingga $30 sehari itu diberikan kelonggaran untuk mencari pekerjaan lain oleh majikannya untuk menambah pendapatan dan disebabkan itu beliau terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Muhammad Iqbal dijatuhi hukuman dengan didenda $32,200 atau penjara 22 bulan bermula 22 Disember 2009 jika gagal membayar denda itu hari ini.

Jabatan Kastam dan Eksais Diraja meminta orang ramai supaya melaporkan segera kegiatan penyeludupan melalui talian hotline Kastam 8714422 dan 2382422 atau e-mel di info@customs.mof.gov.bn.

Thursday, December 24, 2009

Awas jika membuang sampah sembarangan!



Papan tanda peringatan yang dipasang di tempat-tempat strategik.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Pegawai penguat kuasa Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan tidak akan teragak-agak mengenakan denda kompaun kepada pihak yang didapati membuang sampah di merata tempat yang di bawah kawalan jabatan berkenaan.

Tindakan segera mengenakan denda kompaun itu tidak hanya terhad kepada pesalah perseorangan saja tetapi juga kepada syarikat yang didapati membuang sampah secara terbuka.

Sehubungan itu Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan mendirikan papan tanda di beberapa kawasan strategik yang di bawah kawalan Jabatan itu bagi memberi peringatan kepada orang ramai mengenai denda yang dikenakan jika mereka membuang sampah merata tempat.

Beberapa papan tanda larangan membuang sampah didirikan di Tamu Kianggeh, stesen bas, Gerai Jalan Residency, Jalan Bendahara, Tamu Selera Jalan Dato Taib, Peranginan Tasek Lama, Mercu Tanda Kenangan 60, Pasar Gadong dan Gerai Malam.

Di bawah Bab 30, Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, adalah menjadi satu kesalahan untuk membuang sampah merata-rata dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun tidak melebihi $500 kepada mana-mana syarikat yang didapati bersalah sementara orang perseorangan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih $300.

Jika gagal membayar kompaun mereka boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak $1,000 serta jika mereka didapati melakukan kesalahan kedua atau seterusnya denda sebanyak $3000 dan hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan boleh dikenakan.

Jika denda itu tidak dibayar, perkara berkenaan akan dibawa ke hadapan mahkamah dan jika sabit kesalahan, denda sebanyak $1,000 akan kenakan bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan seterusnya boleh dikenakan denda sebanyak $3,000 dan hukuman penjara tidak lebih tiga bulan.

Menurut kenyataan dari Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan lagi, sepanjang tempoh dari Januari hingga hari ini, sebanyak 10 denda kompaun sudah dikeluarkan kepada tiga individu dan tujuh buah syarikat.

Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan akan sentiasa mengadakan pemantauan di kawasan di bawah kawalan jabatan berkenaan dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan denda kompaun kepada individu atau syarikat yang didapati membuang sampah merata-rata.

Thursday, December 17, 2009

Tindakan tegas membuang sampah di kawasan awam

TUTONG, Ahad - Pegawai penguat kuasa Jabatan Daerah Tutong tidak akan teragak-agak mengenakan denda kompaun kepada mana-mana pihak yang didapati membuang sampah di kawasan awam.

Tindakan segera mengenakan denda kompaun itu tidak hanya terhad kepada pesalah perseorangan tetapi juga kepada syarikat swasta yang didapati membuang sampah atau mengotorkan kawasan awam.

Peringatan itu dibuat Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Muhammad Suffian Haji Bungsu ketika ditemu bual Media Permata ketika acara gotong-royong membersihkan Gerai Mukim Telisai di Tutong hari ini.

Menurutnya orang ramai diberikan peringatan mengenai perbuatan membuang sampah serta meletak, melonggokkan, mencampakkan, menumpahkan atau menggugurkan dan meninggalkan sampah, besi buruk dan semua jenis kotoran boleh mencemarkan alam sekitar.

Sesiapa yang didapati melakukannya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Bab 12 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil dan boleh dikenakan kompaun sebanyak $500.

Katanya Jika pelaku gagal membayar kompaun mereka boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak $1,000 sementara mereka yang didapati melakukan kesalahan kedua atau seterusnya boleh dikenakan denda $3,000 dan dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi tiga bulan.

Beliau menambah kata pegawai penguatkuasaan Jabatan Daerah Tutong akan sentiasa mengadakan pemantauan di kawasan awam di seluruh daerah berkenaan dan mereka akan mengambil tindakan segera terhadap pihak yang didapati melanggar peraturan serta membuang sampah di kawasan yang bukan dikhaskan untuk pembuangan sampah.

Haji Muhamad Suffian juga menekankan orang ramai memainkan peranan penting dalam sama-sama menanam sikap bertanggungjawab dan peka terhadap kebersihan kawasan sekeliling mereka.

Ujarnya lagi penekanan juga harus diberikan kepada langkah mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya untuk menjaga alam sekitar dan kebersihan kawasan mereka dengan tidak membuang sampah di merata tempat.

Beliau berkata perbuatan membuang sampah merata tempat dan mengotorkan kawasan awam akan memberikan kesan negatif kepada imej negara terutama kepada pengunjung dari luar negara.

Perbuatan itu amat merosakkan imej negara kerana semua peralatan yang diperlukan seperti tong sampah dan kawasan pembuangan sampah sudah disediakan tetapi masih berlaku sikap membuang sampah di merata tempat.

Sehubungan itu masyarakat negara ini harus mempunyai minda kemasyarakatan untuk bekerjasama dan sama-sama bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan kawasan masing-masing.

Pada masa sama masyarakat juga harus bertindak untuk menegur pihak yang masih membuang sampah di merata tempat.

Ketika mengulas mengenai kempen membersihkan kawasan gerai berkenaan, beliau berharap usaha untuk membersihkan kawasan itu dapat dilakukan dengan lebih kerap.

Beliau juga berharap penduduk setempat dan peniaga akan dapat bekerjasama dalam sama-sama membantu membersihkan dan memastikan kawasan berkenaan dijaga bagi keselesaan bersama.

Jangan jadi mangsa baru sindiket mengedar dadah

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Biro Kawalan Narkotik (BKN) memandang serius kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang mengeksploitasi rakyat negara ini dan dijadikan penghantar mengedar dadah bagi pihak mereka.

Sehingga kini empat orang, masing-masing dua lelaki dan dua wanita tempatan dalam tahanan di luar negara dengan dua orang di China, seorang di Australia dan yang terbaru ialah pada Februari lalu apabila seorang lagi rakyat negara ini ditahan, kali ini di Peru kerana terbabit dengan pengedaran dadah antarabangsa.

Dalang sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikenal pasti di rantau ini adalah berbangsa Afrika Barat dipercayai dari Nigeria yang sudah dikenal pasti berpangkalan di Malaysia.

Sasaran mangsa yang diperalatkan untuk pengedaran dadah adalah penduduk rantau Asia termasuk rakyat negara ini, kata Ketua Pegawai Narkotik Bahagian Pendidikan, Pencegahan dan Penyelidikan, Haji Abd Manap Haji Lampuh.

Anggota sindiket terbabit menggunakan pelbagai helah dan taktik termasuk tawaran kerja dengan gaji lumayan untuk memerangkap mangsa termasuk helah menggunakan syarikat yang sah yang kononnya menawarkan pekerjaan melalui ruang sembang Internet atau melalui e-mel, selain sindiket terbabit secara terus menawarkan pekerjaan sebagai penghantar barang dari satu lokasi ke satu lokasi.

Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan mengenai peranan dan undang-undang Biro Kawalan Narkotik dan sindiket pengedaran antarabangsa kepada rombongan pelawat dari Himpunan Wanita Pusat Parti Pembangunan Bangsa ke jabatan itu.

Selain mendengar taklimat rombongan juga berpeluang menyaksikan pameran dadah, jenis dadah dan peralatan yang lazim diubahsuai oleh penagih.

Baru-baru ini BKN dalam kenyataannya mengesahkan seorang lelaki warga Brunei dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Perantaraan Kedua Mahkamah Rakyat Tiajin, China, pada 6 November lalu atas kesalahan dadah.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pada 23 Jun tahun ini oleh pihak berkuasa China kerana didapati membawa masuk dadah jenis heroin seberat 995.72 gram ke negara berkenaan.

Penahanan lelaki terbabit selaku penumpang pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur dibuat setelah Biro Anti Penyeludupan, Kastam Tianjin membuat pemeriksaan ke atas penumpang pesawat itu.

Ekoran pemeriksaan itu pihak berkuasa China menemui dadah seberat 995.73 gram yang disembunyikan dalam lapisan dinding beg pakaian lelaki terbabit, kata kenyataan BKN.

Lelaki itu dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang beroperasi di luar negara dan dipercayai didalangi oleh satu sindiket dadah antarabangsa warga Afrika yang beroperasi menggunakan taktik sembang Internet dan BKN percaya sindiket dan lelaki warga tempatan itu membuat pertemuan di Malaysia.

Sementara dalam kes berasingan seorang lagi warga Brunei menjadi mangsa setelah ditahan oleh pihak berkuasa Australia di Sydney dan kini kes berkenaan masih di bawah siasatan pihak berkuasa negara itu.

BKN mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan kepada ibu bapa supaya mengambil perhatian terhadap anak mereka supaya tidak mudah terpedaya dengan janji dan tawaran pekerjaan atau pelancongan di luar negara, terutama daripada sumber yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

BKN juga meminta orang ramai melaporkan maklumat yang mencurigakan kepada BKN di talian 2448877 pada waktu pejabat atau talian 8777444.

25 kes curi dilaporkan dalam tempoh tiga hari

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Barang kemas bernilai $40,000, wang tunai $1,000 telefon bimbit, enjin perahu sangkut, fius elektrik, barangan kosmetik, komputer, televisyen, jam tangan, pemain video dan PS2 merupakan barangan yang dilaporkan hilang dalam 25 kes curi yang dilaporkan sepanjang tiga hari kebelakangan.

Polis turut merekodkan kes tipu, operasi sepadu polis bersama agensi penguat kuasa lain, pukul, pecah amanah, menceroboh dan pemeriksaan perahu oleh polis marin.

Kes di bawah akta pula membabitkan imigresen dan rasuah.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 20 kes kemalangan telah direkodkan dengan tiga orang mendapat cedera ringan.

Daerah Brunei Muara mencatatkan sebanyak 12 kes kemalangan berlaku manakala daerah Tutong dan Belait, masing-masing merekodkan sebanyak empat kes.

Dari jumlah ini, 11 darinya adalah kemalangan kereta dengan kereta, lapan kemalangan sendiri dan satu kemalangan kereta dengan penunggang motosikal.

Ops Sepadu Bungkas 188/2009 cekup bomoh warga asing

KUALA BELAIT, Selasa - Seorang lelaki warga asing yang dipercayai melakukan kegiatan perbomohan dikeluarkan Pas Khas bagi siasatan lanjut oleh Jabatan Imigresen bahagian penguatkuasaan cawangan daerah Belait dekat sini.

Jabatan berkenaan dalam laporannya hari ini menyatakan semasa pemeriksaan Ops Sepadu Bungkas 188/2009 dilakukan ke atas rumah warga asing pada Khamis lalu di kawasan sekitar Kuala Belait, menemui lelaki terbabit sedang mengubati seorang pesakit yang datang ke rumahnya untuk tujuan berubat.

Semasa di rumah lelaki itu jabatan berkenaan juga menemui barangan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perbomohan termasuk beberapa bilah keris, beliung, minyak kelapa dan parang lalu merampas semuanya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu dalam pemeriksaan berasingan di sebuah rumah sewa di Jalan Maulana, pegawai Imigresen turut menahan seorang lelaki warga Indonesia ekoran gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Siasatan awal mendapati lelaki terbabit memegang Pas Melawat Sosial yang dipercayai mansuh jaminannya dan ketika disoal siasat lelaki itu mengakui memberikan pasportnya kepada seorang lelaki bagi urusan pekerjaan dan sehingga hari ini pasportnya belum dikembalikan, dan lelaki terbabit masih disiasat.

Kira-kira 40 warga asing diperiksa dalam operasi sepadu bersama Bahagian Penguatkuasaan Akidah Jabatan Hal Ehwal Ugama itu.

Hasil pemeriksaan itu seramai tujuh orang warga asing dikeluarkan Pas Khas bagi pengesahan pasport dan tindakan lanjut.