Thursday, November 04, 2010

Mayat lelaki India mualaf ditemui


Anggota polis memindahkan mayat lelaki yang ditemui terbaring di Taman SOAS ke dalam kenderaan polis, pagi tadi.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Penemuan seorang lelaki yang terbaring dan sudah tidak bernyawa lagi di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien di ibu negara mencetuskan kegemparan pagi tadi.
Menurut kenyataan pasukan Polis Diraja Brunei, Balai Polis Bandar Seri Begawan menerima panggilan berhubungan dengan penemuan seorang lelaki terbaring di Grand Stand, taman berkenaan kira-kira pukul 6.51 pagi.
Polis mengesahkan penemuan mayat lelaki berkenaan yang merupakan seorang lelaki berbangsa India mualaf berusia 49 tahun. Polis berkata siasatan masih dijalankan dan punca kematian belum dapat dikenal pasti.
Mayat lelaki berkenaan dibawa ke bilik mayat, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan bedah siasat akan dijalankan pada 4 November.

Perompak diberkas dalam masa 48 jam

Oleh Sim Y. H.

Gambar menunjukkan perompak mengacukan sebilah pisau ke atas pekerja kedai. - Gambar ihsan Polis Diraja Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Pasukan Polis Diraja Brunei sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya menahan seorang pemuda warga tempatan dalam tempoh 48 jam selepas dia melakukan rompakan menggunakan senjata di sebuah kawasan perniagaan di Gadong.
Menurut kenyataan polis, kejadian rompakan itu berlaku pada kira-kira pukul 9.30 pagi 28 Oktober lalu dan polis berjaya memberkas pemuda berusia 25 tahun sekitar pukul 5 petang 30 November.
Lelaki berkenaan telah dihadapkan ke mahkamah pada 1 November dan akan dihadapkan sekali lagi ke mahkamah pada 4 November nanti.
Kenyataan itu berkata, dalam kejadian berkenaan seorang perompak lelaki bersendirian mengacukan sebilah pisau kepada pekerja kedai di sebuah premis perniagaan di Gadong.
Lelaki yang menyembunyikan identitinya, meluru masuk ke kedai itu sambil mengacukan sebilah pisau kepada seorang pekerja kedai yang sedang mengira stok barang.
Polis berkata, perompak berkenaan memakai baju lengan panjang berwarna biru, seluar jeans hitam, topi berwarna krim, kaca mata gelap dan kasut hitam berjalur putih, memasuki kedai berkenaan dan menutup penutup besi kedai berkenaan serta mengancam pekerja wanita yang bersendirian pada masa kejadian.
Perompak itu mengarahkan pekerja terbabit supaya menyerahkan semua wang yang ada dan pekerja itu dengan perasaan takut, telah membuka mesin daftar tunai serta menunjukkan bahawa mesin itu tidak mengandungi wang.
Pekerja kedai itu kemudian menyerahkan beg duitnya dan perompak itu terus melarikan diri dari tempat kejadian.
Menurut kenyataan itu lagi, susulan kejadian itu polis berkejar ke tempat kejadian dan berusaha untuk mengenal pasti perompak berkenaan. Hasil maklumat yang diperoleh daripada orang ramai dan penyelidikan rapi terhadap rakaman dari kamera litar tertutup, anggota dari Balai Polis Pusat Bandar berjaya mengenal pasti identiti lelaki berkenaan dan seterusnya memberkasnya.

Kejadian gempar di ibu negara

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Seorang perempuan berjaya diselamatkan dalam satu kejadian menggemparkan dipercayai cuba untuk membunuh diri dari sebuah bangunan tinggi di ibu negara petang tadi.
Kejadian itu bukan sahaja menarik perhatian orang ramai yang melalui tempat kejadian tetapi turut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Tindakan tangkas dari anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya untuk menyelamatkan perempuan berkenaan daripada meneruskan niatnya.

Rokok: Kawalan pintu masuk diperketat

KUALA BELAIT, Selasa - Jabatan Kastam dan Eksais Diraja di sini telah meningkatkan pemeriksaan keselamatan di pintu masuk Sungai Tujoh susulan Penguatkuasan Perintah Duti Import Kastam (Pindaan) 2010 dan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2010 mulai 1 Oktober lalu.
Menurut seorang pegawai Kastam dan Eksais Diraja di situ, orang ramai masih lagi dibenarkan membawa masuk rokok-rokok ke negara ini tetapi mereka perlu mengisytiharkannya bagi tujuan percukaian.
Dibawah sistem percukaian yang baru, setiap batang rokok yang dibawa masuk ke Brunei akan dicukai sebanyak 25 sen, iaitu bermakna cukai yang dikenakan bagi setiap kartun (10 kotak - 20 batang), ialah sebanyak $50.
Beliau berkata, mereka telah meningkatkan pemeriksaan keselamatan di sempadan dengan bertanya kepada pemandu sama adamereka ada membawa sebarang rokok.
"Ramai yang masih tidak sedar mengenai peraturan baru dan kerana itu adalah wajar kami bertanya kepada mereka sama ada mereka membawa sebarang rokok. Jika ya, kami akan meminta mereka membayar cukainya," ujar beliau.
Katanya, pihak kastam juga membuat pemeriksaan rapi secara rambang ke atas kenderaan yang melalui pintu masuk di Sungai Tujoh bagi mencegah penyeludupan rokok.
Harga satu kartun rokok berjenama di kedai bebas cukai di Miri kini ialah RM64 (kira-kira $27) dan ditambah dengan cukai $50 dikenakan, bermakna seorang pelanggan terpaksa membayar sekitar $77 bagi satu kartun rokok kotak 20 batang.
Sejak pengumuman pindaan itu dibuat, orang ramai khususnya perokok telah cuba mendapatkan stok lama rokok, namun kebanyakan kedai telah kehabisan stok rokok sementara pembekal pula masih menahan bekalan sehingga pengesahan harga baru bagi jualan.
Setakat ini, belum ada sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa atau pembekal mengenai harga baru jualan rokok di Brunei selepas peraturan baru itu dikuatkuasakan.

Monday, November 01, 2010

Duti eksais rokok, tembakau dipinda

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kewangan hari ini memaklumkan bahawa Baginda telah memperkenankan pindaan ke atas duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk-produk tembakau melalui penguatkuasaan Perintah Duti Import Kastam (Pindaan) 2010 dan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2010.
Perintah-perintah tersebut akan berkuatkuasa mulai hari Isnin 1 November 2010 dan melibatkan perubahan ke atas duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk tembakau seperti mana Jadual Kedua Pindaan Perintah tersebut dan juga melibatkan penghapusan keistimewaan konsesi bebas duti yang diberikan dalam perkara-perkara tertentu. Di bawah Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2010, kadar cukai eksais bagi komoditi rokok akan dikenakan cukai sebanyak 25 sen sebatang berbanding $60 sekilogram yang dikenakan pada masa ini.
Bagi "unmanufactured tobacco and tobacco refuce" kadar duti akan dinaikkan sekali ganda daripada $30 sekilo kepada $60 sekilo. Bagi lain-lain "manufactured tobacco," kadar duti akan dinaikkan daripada $35 sekilo (manufactured tobacco blended for cigarettes making - not finish products) dan $60 sekilo (blended for retail sale) kepada $120 sekilo.
Bagi "cigar, cheroots dan cigarillos" kadar duti akan dinaikkan sekali ganda daripada $60 sekilo kepada $120 sekilo dan daripada $100 sekilo kepada $200 sekilo.
Sementara itu Pindaan di bawah Jadual Kedua Perintah Duti Import Kastam (Pindaan) 2010 telah meniadakan keistimewaan konsesi bebas duti kepada penumpang-penumpang berumur 17 tahun ke atas yang membawa rokok yang tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas dan pintu-pintu masuk ke negara ini yang dibebaskan daripada membayar duti bagi jumlah rokok yang dibawa tidak melebihi 200 batang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, tujuan utama pindaan tersebut adalah sebagai usaha berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjaga kepentingan kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, terutama dalam membantu mengurangkan risiko penyakit kronik yang berkaitan dengan rokok di negara ini.
Oleh itu selaras dengan kuasa yang diperuntukkan dibawah Perintah Kastam 2006, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja akan mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian ke atas sebarang kesalahan yang melanggar kehendak-kehendak pindaan baru itu dan syarat-syarat yang dikenakan seperti kegagalan mengikrarkan kemasukan komoditi-komoditi tersebut ke negara ini dan sebagainya.