Wednesday, March 16, 2011

Martabatkan hukum syarak


BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah supaya hukum syarak seumpama "Hukum Kanun Brunei" yang pernah dilaksanakan dan dikuatkuasakan di Negara ini bermula Tahun 1598 kembali dijadikan undang-undang dasar Negara ini.
"Sekarang Brunei sudah pun merdeka, berkuasa penuh untuk menguruskan dirinya sendiri dan dengan kuasa memerintah pula berada dalam tangan orang Islam, maka tidakkah bagi penguasa Islam dan umat Islam yang bernaung di bawahnya wajib untuk mengembalikan semula Undang-Undang Allah itu di bumi ini?
"Kalau tidak, bererti kita semua berdosa dan akan ditanya di akhirat kelak," tegas Baginda Sultan dalam titah Baginda di Persidangan Majlis Ugama Islam yang berlangsung di Bilik Komiti 1 & 2, Dewan Majlis pagi ini.
Turut berangkat hadir ialah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Baginda Sultan dalam titahnya itu telah menghuraikan secara terperinci akan sejarah perundangan syariah di Brunei sejak sebelum abad ke 17 dan menyelusuri perkembangannya termasuk semasa kedatangan Inggeris hingga ke masa kini.
Baginda seterusnya bertitah; "Kita perlu meneliti Akta Jenayah Syarak kerana ia adalah undang-undang Allah dan kita dituntut supaya melaksanakannya. Kita selaku hamba yang beriman tidak ada pilihan lain melainkan wajib mentaati suruhan Allah."
Titah Baginda, Brunei bukanlah baru dengan Undang-Undang Allah tetapi sejak sebelum Abad Ke-17 lagi sudah pun memakainya, hanya oleh kerana campur tangan dari kuasa asing maka Brunei terpaksa atau lebih tepat dipaksa untuk meninggalkannya.
"Dengan berlakunya campur tangan Inggeris dan seterusnya menjadi kuasa penaung di Brunei telah menjadikan perundangan di Brunei turut mengalami perubahan, dengan Undang-Undang Islam yang luas dan menyeluruh tadi telah disempitkan menjadi cuma tinggal Undang-Undang Mal dan Keluarga saja."
"Berbanding Mahkamah Sivil yang ditubuhkan oleh Inggeris mempunyai bidang kuasanya yang lebih luas dan natijah daripada ini Brunei sekarang telah mewarisi dua sistem perundangan dan dua sistem kehakiman, syarak dan sivil."
Bagaimanapun, bagi perundangan dan kehakiman syarak yang ada ini, sudahkah ia memenuhi semua tuntutan syarak mengenainya? Soal Baginda Sultan sambil seterusnya bertitah, jika belum, persoalan kita ialah negara ini adalah Negara Islam, rajanya juga Islam, majoriti rakyatnya Islam dan kuasa memerintah juga di tangan orang Islam.
"Atas kedudukan seperti ini dari segi tuntutan syarak apakah kita sudah boleh menganggap yang diri kita ini telah memenuhi tuntutan tersebut khasnya dalam bidang perundangan?"
"Apakah kita sudah boleh berpuas hati untuk menganggap bahawa kita ini telah memenuhi tuntutan syarak sehingga tidak perlu lagi risau akan tuntutan atau dituntut atau disoal oleh Allah di kemudian hari kelak."
Pada hemat Baginda Sultan, Akta Jenayah Syarak tidak akan ada masalah jika dimiliki, di samping terus mengekalkan apa yang ada kerana dengan mempunyai dua sistem perundangan dan dua sistem kehakiman, syarak dan sivil, adalah tiada masalah jika ia dikekalkan berjalan seiring.
Dengan memiliki Akta Jenayah Syarak, mana-mana kes Jenayah Syarak akan dinilai terlebih dulu sama ada boleh, sesuai, mencukupi syarat-syarat untuk ditangani dengan Akta Jenayah Syarak ataupun tidak, jelas Baginda dalam titahnya.
Baginda Sultan seterusnya bertitah, kalau tidak maka ia akan ditangani dengan undang-undang biasa yang ada sekarang, tetapi setelah ia dirujuk kepada Undang-undang Syarak terlebih dulu.
"Ini berbeza dengan keadaan sekarang. Kita sekarang belum ada lagi mempunyai Akta Jenayah Syarak, makanya apabila ada kes, kita akan terus saja menangani dengan undang-undang biasa yang ada itu padahal Undang-Undang Syaraknya ada berupa Nas tersebut dalam Al-Quran dan dituntut kita melaksanakannya."
Baginda Sultan kemudiannya bertitah mempersoalkan, "Apakah cara kita selama ini betul dan dibenarkan oleh syarak? Beta pulangkan kepada ahli-ahlinya."
Pada hemat Baginda Sultan, untuk menangani jenayah sekarang adalah wajar Negara mempunyai akta sendiri yang benar-benar merujuk kepada hukum syarak, sementara akta yang ada sekarang juga dikekalkan untuk menangani sekiranya kes itu tidak sesuai atau tidak mencukupi syarat untuk ditangani dengan undang-undang syarak.
Yang sivil saja kita sudah banyak menyesuaikan dengan kehendak ugama, lagipun bukan semua sivil itu bertentangan dengan syarak, maka mana-mana yang tidak bertentangan dengan syarak kita kekalkan ia, sementara yang bertentangan saja kita sesuaikan dengan kehendak syarak.
"Matlamat kita cuma untuk mencari yang terbaik di dunia dan di akhirat dan mendapatkan keredaan Allah Ta'ala."

No comments:

Post a Comment