Saturday, July 16, 2011

baginda sultan Berkenan terima Mushaf Penyurihan Belia

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima Mushaf Penyurihan Belia yang dihasilkan menggunakan kaedah penyurihan oleh belia negara ini termasuk peserta termuda berusia 13 tahun, dua mualaf serta lima beliawanis.
Dihasilkan dalam masa 65 hari, ia bersempena dengan ulang tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan Ke-65.
Turut berangkat ke majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Dalam temu bual bersama media, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair Haji Abdullah berkata ia ditulis oleh belia dalam masa 65 hari.
Belia berkenaan datang daripada pelbagai latar belakang termasuk agensi kerajaan seperti Pusat Dakwah Islamiah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dewan Bahasa dan Pustaka, Maahad Islam Brunei, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan guru agama.
"Majlis hari ini merupakan kemuncaknya. Ia menunjukkan rasa sayang belia kepada seorang raja yang prihatin dan mendoakan supaya Baginda Sultan dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.
"Seperti yang kita ketahui, belia adalah pemimpin generasi masa depan," ujar Yang Berhormat Pehin.
Melaksanakan tanggungjawab mereka bagi menyempurnakan tugasan berkenaan merupakan satu cabaran memandangkan ia bukannya pekerjaan mudah, tetapi dengan kesungguhan jitu, mereka mampu menyelesaikannya terutama sekali dalam memastikan kesucian dan kesempurnaan kitab suci berkenaan, tambahnya.
Menurut Yang Berhormat Pehin, ada kaedah yang perlu diamalkan ketika melaksanakan tugas penyurihan mushaf berkenaan seperti sentiasa dalam keadaan berwuduk, membaca doa serta menunaikan solat sunat hajat yang sangat digalakkan. Sementara itu, seorang pereka dari Dewan Bahasa dan Pustaka yang juga artis terkenal tanah air, Pengiran Kamarulzaman Pengiran Haji Tajuddin, berkata beliau mereka bentuk bahagian depan, belakang dan tulang belakang mushaf berkenaan.
Ia sememangnya tugasan mencabar yang dilaksanakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka.
"Misi itu nampak mustahil pada awalnya tetapi dengan keyakinan yang dibina, akhirnya kami berjaya melakukannya," jelasnya.
Beliau menambah, "80 peratus reka bentuk mushaf itu memaparkan ciri-ciri reka bentuk tradisional yang digelar 'Daun Lukut' dan 'Rawai'.

No comments:

Post a Comment