Friday, October 30, 2009

Jujur dalam Bergurau Senda

Hidup kita memang selalu dipenuhi dengan gurau senda dengan orang di sekeliling. Tujuannya hanya satu; untuk gembira dan ceriakan suasana. Takkan kita nak serius sepanjang masa, betul tak?

Tapi, sedarkah kita, ketika bergurau senda, kita mungkin dah berbohong? Kita mungkin tak berniat untuk betul-betul bercakap bohong, tapi hanya sekadar cakap main-main; atau kata orang sekadar mengacah saja.

Soalnya, betul ke kita tak boleh menipu walaupun dengan hanya niat untuk bergurau? Nama pun gurauan, jadi kita bukan berniat untuk betul-betul menipu, hanya sekadar main-main dan tak memudharatkan sesiapa. Dan biasanya, kita mesti akan cakap, “Aku main-main je la…” “Aku tipu engkau je tadi. Saja nak tengok macam mana reaksi engkau.”

Kalau diikutkan logik akal pendek kita, mungkin pandangan tu nampak macam betul. Tapi, mari kita teliti sabda Rasulullah S.A.W. :

“Hendaklah kamu jujur. Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan. Dan kebaikan menunjuk kepada syurga. Seorang lelaki terus jujur dan mencari kejujuran sehinggalah dia dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang yang sangat jujur. Berwaspadalah terhadap dusta. Sesungguhnya dusta menunjuk kepada kejahatan. Dan kejahatan menunjuk kepada neraka. Seorang lelaki terus berdusta dan mencari pendustaan sehingga dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang sangat berdusta." [1]

“Celakalah orang yang memperkatakan sesuatu agar orang lain ketawa, lalu dia berdusta. Celakalah untuknya. Celakalah untuknya.” [2]

Apa pun tujuan kita, pendustaan sesekali tidak dibenarkan walaupun hanya untuk bergurau dan berjenaka. Islam mengharuskan gurau senda, keceriaan dan hiburan jiwa, tetapi Islam tidak membenarkan pembohongan, walaupun hanya untuk bergurau semata-mata. Jadi, kalau nak bergurau, pastikan gurauan kita tak ada unsur-unsur penipuan dan pendustaan. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.: Maksudnya:

“Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.” [3]


Macam mana cara yang betul untuk bergurau?

Mari kita susuri sirah Nabi Muhammad S.A.W., bagaimana cara baginda bergurau senda dengan orang-orang di sekeliling baginda. Suatu hari, seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W., meminta tunggangan daripada baginda kerana hendak pulang ke negerinya. Apabila Nabi mendengar permintaan lelaki itu, baginda bersabda:

“Sesungguhnya aku akan menunggangkanmu di atas anak unta.”

Padahal, pada waktu itu Nabi berkata demikian hanya dengan tujuan untuk bergurau. Apabila lelaki itu mendengar kata-kata Nabi, dia merasa susah hati kerana memikirkan bagaimana anak unta yang kecil dan lemah boleh ditunggang untuk perjalanan yang jauh. Lalu, lelaki itu berkata,

“Apa yang boleh aku buat dengan seekor anak unta? Kalau kamu berikan pada aku, tentulah menjadi beban dan hanya menambahkan kesusahan saja, sebab ia masih kecil dan tidak boleh ditunggang.”

Maka Rasulullah S.A.W. berkata,

“Adakah yang melahirkan unta itu selain daripada unta betina? Maka itulah yang mahu aku berikan kepadamu iaitu unta besar yang asalnya dilahirkan oleh ibunya.” [4]

Lihat bagaimana cara Rasulullah S.A.W. menjaga adab-adab dalam bergurau senda. Baginda tidak sesekali menipu orang yang diajak bergurau, sebaliknya cara baginda ada ‘seninya’ yang tersendiri.

Apa yang dapat diperhatikan dalam kisah di atas, Rasulullah menggunakan kaedah “double meaning” dalam gurauan baginda, iaitu satu kalimah tetapi mempunyai ataupun boleh difahami dalam dua maksud dan keadaan yang berbeza.

Jadi, gurauan sebegitu akan mengelakkan kita daripada berbohong ketika bergurau. Sayyidina Umar r.a. pernah berkata:

“Tahukah kamu mengapa dinamakan gurau senda (al-muzaah) dengan kata-kata al-muzaah?” (maksud asal al-muzaah: alih).

Mereka itu menjawab: “Tidak!”

Maka Umar r.a. menjawab:

“Kerana senda gurau (al-muzaah) itu, mengalihkan orang yang bergurau daripada kebenaran.”

Jadi, berwaspadalah kita dalam setiap gurauan dan kata-kata kita. Setiap apa yang dituturkan oleh kita akan dipertanggungjawabkan ke atas diri kita di akhirat kelak. Gurau senda mampu menghiburkan jiwa dan boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim, tapi andai tidak kena caranya, gurau senda boleh melontarkan kita ke dalam azab neraka. Na'uzubillahi min dzalik.


petikan dari web iluvislam.com

Sumbang mahram merosakkan keturunan

PENGERTIAN sumbang mahram ialah perbuatan zina yang dilakukan oleh seseorang yang ada pertalian darah/nasab (keturunan) dengan mangsa.

Ia juga dapat didefinisikan sebagai hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan dan perkahwinan antara mereka adalah tidak sah di sisi undang-undang atau dilarang oleh agama juga adat resam.

Sebagai contoh, hubungan jenis antara remaja dengan ibu bapa mereka, adik-beradik, ibu bapa saudara, datuk dan sebagainya.

Daripada perspektif agama Islam, golongan tidak bertanggungjawab yang melakukan sumbang mahram dilaknati Allah SWT dan tidak diberkati di dunia serta dan akhirat.

Sumbang mahram dikenal pasti sebagai penganiayaan seksual yang merosakkan kesihatan fizikal, mental dan sosial. Hubungan seperti itu diketahui berpotensi tinggi menghasilkan keturunan yang secara biologinya lemah, baik fizikal mahupun mental (cacat) bahkan berbahaya (membawa maut).

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 23: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut) ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki.

“Dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu dan anak-anak tiri yang dalam peliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu sudah campuri.

“Tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu sudah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu.

“Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua-beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya Allah SWT maha pengampun lagi maha mengasihani.”

Punca sumbang mahram juga pelbagai, termasuk kegagalan isteri memenuhi keperluan suami, tahap iman yang lemah, bahan lucah berleluasa, tiada batas pergaulan, tidak mengamalkan kehidupan dianjurkan Islam, keruntuhan institusi keluarga/perkahwinan dan pakaian yang tidak menutup aurat (mengghairahkan) ketika ada di rumah.

Firman Allah SWT dalam ayat 26 surah Al-A’raaf: “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya kami menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah SWT (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”

Mangsa perlu melaporkan kejadian sumbang mahram kerana jika ia tidak dilakukan, tindakan tidak dapat diambil terhadap pelakunya dan kemungkinan besar dia mengulanginya lagi.

Pencegahan juga harus dibuat dengan memberi kesedaran pentingnya kejadian terbabit dilapor, seterusnya peruntukan hukuman lebih berat supaya penjenayah sedar akibat dan kesan perbuatan mereka terhadap mangsa.

Monday, October 26, 2009

tidur

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi :
"Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah SallAllahu Alaihi wasallam ada melakukannya."

Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata :
"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai satu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.

Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.
Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca industri telah mendapati bahawa 92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti.
(Napping News : 'Scientific Proof Confirms : Napping Enhances Worker Productivity,' from eFuse)


Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau 'a secondary sleep gate'.
Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini adalah Dr.William A.Anthony, Ph.D. dan Camille W.Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work'. Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavior and Medical Aspects of Napping'.

Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam.
(Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com)
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi SallAllahu Alaihi Wasallam rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.

Demam

Pernah tak demam masa kita zaman budak-budak dulu? Mesti pernah dan apa yg mak kita akan buat? Bawa kita pergi jumpa doktor atau mak sendiri jadi doktor di rumah? Ada tak mak kita ambil tuala kecil, kemudian rendamkan dalam air asam jawa, pastu mak kita pun letak atas dahi kita. Ada tak? Semestinya ada. Betul tak wahai sahabat-sahabat sekalian?

Jadi di sini saya nak kongsi sedikit tentang ilmu FIQH PERUBATAN.


APA PETUNJUK RASULULLAH S.A.W UNTUK RAWATAN DEMAM?

1. Daripada Ibn Abbas r.a, Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya demam adalah daripada percikan api neraka, kerana itu sejukkanlah badan yang demam itu dengan air, atau baginda dengan kata lain adalah air zam-zam. Bagaimana caranya? Begini, renjislah air kepada tubuh atau berendam di dalam air.


2. Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang daripada anda demam, hendaklah merenjiskan air sejuk ke atas tubuh badannya sebanyak tiga malam pada waktu sahur.


3. Daripada hadis Nafi' bin Jubir, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang daripada anda demam, sesungguhnya demam itu adalah sebahagian daripada api neraka, hendaklah memadamkannya dengan air sejuk. Hendaklah berendam dalam sungai yang mengalir, mengadap aliran air selepas solat subuh dan sebelum naik matahari dan hendaklah membaca Basmalah. Hendaklah berendam selama tiga kali selama 3 hari. Jika tak sembuh cubalah sebanyak 5x,7x atau 9x. Sesungguhnya ia tidak akan melebihi daripada 9x InsyaAllah.


4. Daripada Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah menemui Ummu al-Sa'ib kerana melawatnya. Baginda bersabda: "Kenapa anda menggigil? Jawabnya: Demam dan tidak ada keberkatan daripada Allah padanya. Sabda baginda s.a.w: Jangan mencaci demam, kerana sesungguhnya ia menghapuskan kesalahan anak Adam, sebagaimana mesin penghembus api menghapuskan karat-karat pada besi.


Last but not least, rupa-rupanya petua orang-orang tua dahulu sebenarnya sesetengahnya ada tertulis dalam hadis Nabi s.a.w. Sebab itulah Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang maksudnya: "Setiap penyakit itu ada penawarnya kecuali mati".


petikan dari web iluvislam.com

TIPS MEMBERI PANDANGAN

Hakikat kejadian manusia mempunyai akal. Akallah yang membezakan antara manusia dan haiwan. Terdapat juga definisi lain pada manusia iaitu, haiwan anna-thik, haiwan yang mampu berkata-kata. Kita begitu unik dan istimewa dengan kelebihan akal kita, namun akal bukanlah satu-satunya unik yang benda yang kita perlu hargai dalam menentukan arah tuju hidup kita.

Dalam proses membuat pilihan, biasanya kita akan dibantu oleh tiga jenis penasihat. Akal, nafsu dan hati. Kepada penasihat manakah kita perlu cenderung mendengarnya? Contoh paling mudah, budaya menghisap rokok. Akal kesihatan memberitahu bahawa rokok itu membahayakan tubuh badan kita. Akal agama mengatakan bahawa ia pernah mendengar merokok itu haram. Akal ekonomi menasihatkan rokok sekarang makin mahal. Nafsu bergaya berkata, merokoklah, kerana merokok itu ada kelas yang tersendiri. Nafsu ekonomi pula berbisik, merokoklah, untuk memaksimumkan kepuasan diri.

Jika hanya bergantung kepada dua penasihat ini, maka ranaplah kita. Akhirnya, setelah ditimbangi oleh hati, hatilah yang membuat keputusan. Keputusan hati itu pula bergantung dengan sebanyak mana titik-titik hitam yang ternoda di tubuhnya. Jika elok hatinya, eloklah keputusannya, jika rosak hatinya rosaklah jua keputusan yang diterima.

Begitulah, walaupun akal itu hebat, tapi akal hanya membuat kita TAHU. Jika kita mengekang nafsu, maka lahirlah MAMPU. Kita hanya mampu mengekang nafsu sekiranya hati kita berupaya melahirkan MAHU. Maka, jika diperhatikan dengan teliti, rupa-rupanya akal ini tidak mampu membuat semua perkara.

Persamaan antara Bush dan ahmadineejad ialah mereka berdua mempunyai akal yang tinggi. Perbezaannya, hati yang baik atau sebaliknya. Kadang-kadang, dalam dunia blog ini, kita dapati ramai manusia yang mencetuskan pelbagai luahan idea. Ada yang bersifat menulis diari, ada yang meletakkkatan kata-kata puitis, ada yang menulis tazkirah dan ada pula yang menulis sebagai wadah luahan emosi. Kepelbagaian itulah yang membuatkan kita terus hidup. Dan semua yang menulis pula, mempunyai akal yang hebat-hebat belaka.

Namun, seperti penerangan di atas, akal bukanlah segala-galanya. Sebagai umat Islam, kita perlu merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Kadang-kadang kita menggunakan lesen pendapat untuk menyuarakan apa yang kita rasa benar. Kalau dalam hal keduniaan bolehlah, tapi jangan pula sehingga yang melibatkan isu-isu agama. Ingin jadi golongan muktazilahkah kita? Jangan terlampau ikutkan nafsu marah ketika menulis dan jangan dilayan sangat emosi ketika menulis, bukankah hilang separuh dari akal ketika marah?

Kita kurang berpuas hati dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Lalu, kita menulis di dalam blog atau kita bincangkan di forum. Isu itu pula berkaitan dengan keagamaan. Namun, pada kebiasaanya kita lebih mengutamakan emosi dan pandangan berbanding hujah-hujah dan dalil naqli. Kenapa kita selalu mendahulukan hujah-hujah akliah (logik) berbanding hujah-hujah naqliah (dari quran dan hadis).

Kadang-kadang, walaupun kita kita kurang arif dalam sesuatu perkara, lalu kita ingin menegur. Akal mengatakan, perkara itu kurang betul. Hati kita yang tercalit titik-titik hitam pula meragui niat hati orang lain. Lantas apa yang berlaku, perbincangan kosong yang berdasarkan pandangan semata-mata. Bukannya salah untuk menulis dengan penuh logik dan beremosi, tapi tetap jadikan quran dan hadis sebagai prioriti.

Kita bertanggungjawab terhadap apa yang kita tulis. Menggunakan logik akal semata-mata dan mengaitkan ayat al-quran yang tidak berkaitan dengan isu bukanlah etika seorang penulis muslim/muslimah yang sebenar. Jangan jadikan ayat ‘saya hanya berpandangan’ sebagai lesen untuk menulis. Memberi pandangan tidak salah, tapi biarlah berlandaskan quran dan sunnah. Memberi pandangan juga tidak salah, tapi jangan marah jika pandangan kita itu salah. Kita selalu marahkan puak liberalisme jika mereka berfikir sesuatu menurut akal mereka, tapi kalau beginilah keadaannya, maka apa kurangnya kita?

Contoh mudah dalam memberi pandangan:

* Saya rasa kita perlu kuatkan industri rokok ini, kerana cukai yang kita kutip darinya amat tinggi.
* Saya berpendapat, wajar untuk kita terlibat dalam aktiviti (tidak perlu dinyatakan) tersebut.
* Aku rasa kita bolehlah tangkap gambar laki dan perempuan, ala, sekali sekala. Walaupun aku rasa apa yang aku lakukan itu salah, namun hati aku mengatakan ia tindakan yang wajar.
* Tak perlulah solat zohor jamaah kat surau, nanti siapa nak kejut room mate aku? Baik aku solat kat bilik.
* Jumpa abang angkat pun salah ke? Alahai, abang angkat je. Nak rapatkan ukhuwwah.


Cuba bayangkan, suatu hari, seorang hakim berkata, saya berpendapat, pencuri ini walaupun ternyata bersalah, tapi ia tidak boleh dihukum. Kerana dia terpaksa menanggung orang tuanya yang dhaif dan anak-anaknya yang ramai. Tergamamkah kita? Bukankah pendapatnya amat logik? Disebabkan terlampau menggunakan akal, hukum yang telah Allah nyatakan dalam Al-Quran sudah tidak menjadi relevan, pada pandangan mereka. Naúzubillah min zalik.

Bukankah Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda,Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat jika kami berpegang teguh kepadanya, kitab allah dan sunnah rasulnya. Allah taala juga telah berfirman, Jika kamu tidak mencapai kata sepakat dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan rasulnya, jika kamu benar-benar beriman terhadap allah dan hari akhirat.

Acapkali, kita terasa diri kita hebat setelah membari pandangan. Lalu bila ada pandangan lain yang bercanggah, kita membantah, meskipun pandangan itu berpandukan Quran dan Sunnah. Lalu, tanpa mengakui kesalahan diri, kita menggunakan ayat, Saya hanya berpandangan. Itu pandangan aku. Tidak salah untuk memberi pendapat, tapi biarlah pendapat itu berasaskan quran dan sunnah, bukan berdasarkan akal semata-mata. Janganlah pula kita menimbulkan sikap kurang rasa bersalah, menyedapkan hati sendiri dengan menggunakan akal.

Dahulukan apa yang perlu dahulukan, kemudiankan apa yang perlu dikemudiankan. Kita punya akal, lalu kita memberi pandangan. Kita punya hati, lalu kita menulis mengikut hati. Kita punya agama, tapi kenapa kita tak mahu mengikut agama? Moga bermanfaat.


petikan dari web iluvislam.com

Sunday, October 25, 2009

Tiket Percuma

Nama sebenar : Hamba ALLAH
Gelaran : Insan
Asal : Tanah
Alamat : Planet bumi

Maklumat tentang perjalanan

Tempoh berlepas : Kehidupan dunia
Tempoh perjalanan : Cuma seketika dan beberapa meter dari perut bumi
Destinasi : Akhirat
Masa berlepas : Ketika di datangi malaikat
Masa hadir : Ketika dan selepas nyawa dicabut
Bentuk tempahan : Tetap, pasti dan tidak berubah

Syarat-syarat perjalanan

Di tuju kepada semua penumpang.

Diminta ambil perhatian kerana mereka akan memulakan perjalanan dengan meninggalkan kehidupan di dunia dan menuju ke akhirat.

Sila perhatikan ketua anda semua(pilot) yang dikhaskan iaitu malaikat maut. Bagi penumpang yang belum jelas, dapatkan maklumat lanjut daripada kenyataan yang terdapat di dalam AL-QURAN dan hadis-hadis RASULULLAH serta menurutinya dengan berhati-hati. Sebarang masalah hendaklah dirujuk kepada para ulamak dan cendiakawan.

Barang yang di benarkan

1. 5 meter kain kafan
2. Kapas putih secukupnya
3. Muatan lain yang di benarkan :

• amal solah
• sedekah jariah
• anak solah yang mendoakan kedua ibubapanya
• ilmu yang bermanfaat

Perhatian muatan lain yang di tegah adalah tanggunggjawab penumpang.

Barang siapa yang tidak mematuhi akan di seksa.

Saat dan waktu berlepas

Semua penumpang yang sudah mempunyai tiket,passport atau tidak mempunyai kedua-duanya hendaklah bersiap sedia setiap saat jika tidak mahu menghadapi sebarang kesulitan.

Diulang...

Tempahan perjalanan adalah tetap dan pasti, yang tidak perlu di ingatkan lagi. Tetapi atas dasar peringatan kepada para penumpang, maka kami menulis notis ini untuk anda semua. Hendaklah anda mengambil perhatian yang sewajarnya tentang perjalanan ini. Terima kasih kepada semua kerana memberi peluang terhadap kami untuk menabur khidmat kepada semua.

Semoga bergembira dengan perjalanan yang menarik, sesuai dengan firman ALLAH dalam surah AL-KHAFI:

“Barang siapa yang mengharapkan perjumpaan yang baik dengan TUHANNYA, maka hendaklah dia mengerjakan amalan yang baik janganlah pula mensyirikan ALLAH dengan sesuatu."


petikan dari web iluvislam.com

Telefon bimbit punca tumor otak

Kajian WHO dapati kes barah meningkat ketara sejak 10 tahun lalu

LONDON: Satu kajian yang diawasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dilakukan selama sedekad dilaporkan akan mengesahkan penggunaan telefon bimbit berlebihan mendedahkan seseorang kepada risiko tumor otak.

Akhbar Britain The Daily Telegraph melaporkan semalam keputusan awalan kajian mendapati “risiko tumor otak meningkat secara ketara” dalam kes penggunaan telefon bimbit selama 10 tahun atau lebih.

Ketua kajian itu berkata laporan berkenaan yang hasilnya akan didedahkan tidak lama lagi akan turut memuatkan “pesanan kesihatan awam.”

Akhbar itu berkata Jabatan Kesihatan Britain sudah empat tahun tidak mengemas kini panduannya berhubung penggunaan telefon bimbit.

Di bawah panduan sekarang, jabatan itu berkata bukti yang tersedia pada masa ini tidak menunjukkan penggunaan telefon bimbit membahayakan.

Namun ia menyarankan agar kanak-kanak tidak digalakkan membuat panggilan yang tidak perlu melalui telefon bimbit dan orang dewasa membuat panggilan yang singkat.

Kajian diawasi WHO itu menyiasat sama ada pendedahan kepada penggunaan telefon bimbit berhubung kait dengan tiga jenis tumor otak dan tumor kelenjar air liur.

Ketua kajian itu, Dr Elisabeth Cardis, menyokong diadakan amaran baru berhubung penggunaan telefon bimbit.

“Berikutan beberapa kajian yang menunjukkan frekuensi radio berkemungkinan memberi kesan, sikap waspada adalah penting,” katanya.

“Saya bersetuju dengan pandangan bahawa penggunaan telefon bimbit di kalangan kanak-kanak dihadkan.

“Tetapi saya tidak setuju penggunaan telefon bimbit diharamkan kerana ia sudah menjadi alat komunikasi yang penting,” katanya.

“Kaedah mengurangkan pendedahan seperti alat “bebas tangan” juga menarik dipertimbangkan,” katanya.

Kajian itu meliputi 13 negara dengan mengadakan temu ramah di kalangan lebih 12,000 pesakit tumor dan mereka yang sihat yang menggunakan telefon bimbit