Peristiwa Israk dan Mikraj adalah antara mukjizat terbesar Rasulullah selain al-Quran dan merupakan peristiwa agung dan mulia yang menyaksikan Baginda diisrakkan (dipindahkan) dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan dimikrajkan (dinaikkan) ke langit menuju ke Sidratul-Muntaha.
Berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj banyak mengandungi hikmah kerana pada hari itu, Allah telah memperlihatkan berbagai kejadian aneh kepada Baginda Rasulullah yang perlu dijadikan iktibar kepada umat manusia sebagai peringatan dan pengajaran.
"Sebagai mana lazimnya pada setiap 27 Rejab, kita akan meraikan sambutan Israk dan Mikraj dengan berbagai majlis ilmu dan acara keagamaan," kata imam dalam khutbah Jumaat pada hari ini.
Menurut imam, antara peristiwa itu ialah ketika Rasulullahlah tercium bau harum semerbak lalu Baginda bertanya kepada Malaikat Jibril itu dan dijawab Jibril, inilah bau harum Masitah, tukang sikat rambut anak Firaun.
Masitah mempunyai keimanan yang sangat teguh dan tegas dalam mempertahankan akidahnya sehingga sanggup mengorbankan diri dan keluarganya dan ketika Masitah dipaksa untuk mengakui bahawa Firaun adalah tuhan sebenarnya, dia dengan penuh keberanian tetap mengatakan "Tuhan aku dan Tuhan kamu ialah Allah."
"Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari peristiwa tersebut sebagai panduan dan pembimbing dalam memantapkan keimanan dan ketakwaan kita sebagai hamba Allah," jelas Imam lagi.
Imam seterusnya menyentuh mengenai peristiwa lain yang berlaku dalam Israk dan Mikraj iaitu ketetapan sembahyang fardu lima waktu kerana sembahyang adalah ibadat paling utama bagi umat Islam sehingga ia disebut sebagai tiang agama. Sembahyang terlalu istimewa kerana Baginda Rasulullahlah sendiri telah menerima perintah tersebut secara langsung daripada Allah SWT di Sidratul-Muntaha.
No comments:
Post a Comment