Tuesday, July 14, 2009

petikan titah sultan 13.07.09


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah bertitah terdapat sebahagian kementerian dan jabatan yang menghantar pegawai terutamanya pegawai bawahan mereka menghadiri mesyuarat atau seminar di luar negara secara berseorangan tetapi bagi menteri dan timbalan menteri mereka diiringi oleh ramai pegawai dan kakitangan.

Baginda memuji keputusan serta garis panduan yang dilaksanakan oleh Majlis Ugama Islam dalam menghantar pegawai dan kakitangan mereka ke luar negara yang menunjukkan mereka adalah peka kepada kebajikan anak buah mereka.

"Dalam bidang pentadbiran dan pengurusan baru-baru ini, Majlis Ugama Islam membuat keputusan yang bagus lagi penting dengan memutuskan garis panduan dengan menghantar pegawai dan kakitangan kerajaan ke luar negara. Keputusan itu diambil kerana ada sebahagian kementerian atau jabatan yang tidak peka dengan kebajikan anak buah mereka apabila menghantar pegawai dan kakitangan keluar negeri, mereka menghantar berseorangan bagi menghadiri mesyuarat atau seminar, dan seumpamanya, perkara ini hanya terkena kepada pegawai bawahan saja.

"Manakala kalau pengarah ke atas, terutama jika menteri dan timbalan menteri mereka itu disertai dengan ramai pegawai dan kakitangan dan boleh jadi ditangani oleh kakitangan kedutaan, dengan tujuan untuk membantu jika ada perkara yang diperlukan dan jika ada masalah untuk dibawa berunding," titah Baginda Sultan pada Mesyuarat Bencana Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Baginda Sultan bertitah alasan itu digunakan oleh ketua untuk membawa pegawai dan kakitangan mereka ke luar negara dan Baginda mempersoalkan jika pegawai bawahan tidak mempunyai keperluan yang sama seperti ketua mereka dan mereka juga diarahkan ke luar negara seorang diri tanpa diketahui pegawai kedutaan. Baginda menegaskan idea itu tidak matang dan hanya mementingkan diri sendiri serta tidak prihatin, kurang pemedulian kepada anak buah dan idea berstatus.

Baginda Sultan juga menyentuh penghantaran pegawai atau kakitangan perempuan atau perempuan yang di hantar berdua dengan seorang pegawai lelaki atau perempuan yang bukan muhrim yang merupakan teruk dari segi agama yang boleh menyebabkan perceraian atau memporak-perandakan rumah tangga.

"Tidak mustahil trend pada masa kini, adalah diibaratkan anai-anai yang merosakkan kehidupan rumah tangga seseorang yang boleh menyebabkan orang bercerai berai, atau sekurang-kurang memporak-perandakan rumah tangga mereka yang terlibat, tidakkah terlintas kepada pentadbir dan pengurus yang bijak sana," Titah Baginda Sultan.

Baginda Sultan semasa bertitah juga menyentuh beberapa perkara mengenai dengan Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21. "Beberapa bulan yang lepas, kita sibuk dengan sistem pendidikan negara abad ke-21, SPN21, macam-macam pendekatan orang mengenainya, termasuk yang memuji, tetapi apabila beta meneliti, terdapat suatu kepincangan yang ketara, beta dapati ada kompleksiti kepada subjek, ada empat semuanya, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains beta cari di mana subjek Agama (IRK), rupa-rupanya duduk bersama dalam satu kumpulan dengan subjek yang lain termasuk subjek muzik dan drama, subjek ini diberi status sebagai wajib pelengkap."

"Sungguh mengejutkan subjek Agama duduk bersama subjek muzik dan drama, mengapa tidak duduk bersama dengan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sains sebagai teras," Titah Baginda.


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini bertitah mahu budaya mengutip derma bagi sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda dihentikan.

Baginda Sultan bertitah mempersoalkan sama ada wajar melobi dan berkempen supaya orang ramai berlumba-lumba menderma untuk Hari Keputeraan dengan menjadikan sambutan itu sebagai alasan.

"Jawatankuasa perayaan akan membuat rancangan-rancangan besar, tetapi dengan melobi secara bersungguh-sungguh kepada orang ramai supaya menderma - yang mana ditumpukan kepada syarikat-syarikat besar - dan barang siapa yang tampil menderma akan diberikan publisiti.

"Majlis-majlis sebagai menerima derma berkenaan diadakan dan bukan setakat itu, ia juga di paparkan di dalam berita media-media akhbar dan televisyen menunjukkan para menteri atau pegawai tinggi yang lain menerima derma berkenaan seolah-olah hari keputeraan itu dijadikan medan untuk melobi derma.

"Yang beta persoalkan, adakah cara melobi dan berkempen wajar supaya orang berlumba-lumba menderma untuk hari keputeraan, dalam makna hari keputeraan itu, dijadikan sebab alas untuk menarik orang untuk menderma," titah baginda.

Baginda Sultan bertitah demikian ketika berangkat ke majlis Mesyuarat Khas Bencana Kebangsaan. Yang berangkat sama ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

Baginda Sultan bertitah melahirkan keyakinan bahawa dengan menggunakan nama Hari Keputeraan memang berjaya mengutip derma tetapi soalnya adakah ia wajar.

"Adakah semua orang ikhlas ataupun terpaksa, ini semua perlu dilihat dan harus diakhiri dan tidak akan berterusan untuk dijadikan rutin, trend dan kekal pada setiap tahun," titah baginda dengan tegas.

Baginda Sultan bertitah melahirkan rasa kurang senang kerana Hari Keputeraan dijadikan alat untuk melonggokkan dan menarik derma sambil baginda bertitah mengenai sumber peruntukan yang ada bagi perayaan Hari Keputeraan.

"Meriah yang macam mana, sebesar mana lagi hendak diadakan dan beta tidak mahu membazir dan tidak mahu menyusahkan rakyat.

"Yang penting hanya perayaan berjalan dengan sempurna, janganlah membuat rancangan terlalu besar-besaran kerana ini pernah terjadi ketika dahulu di mana kita membuat rancangan terdahulu dan kiraan peruntukan dikemudiankan.

"Apabila projek mula berjalan, syarikat pula mula meminta bayaran dan ada juga tidak terbayar, akhirnya pihak kerajaan yang membayar. Ini adalah satu bencana dan bencana membebankan kerajaan dan sekali gus menyusahkan rakyat," tegas Baginda Sultan.

Bagaimanapun Baginda Sultan bertitah melahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang terlibat mengadakan persiapan sambutan dan perayaan seperti yang biasa dilaksanakan oleh sektor kerajaan, swasta, mahupun pihak-pihak persendirian.

Baginda Sultan bertitah yang baginda amat menghargai segala usaha semua pihak berkenaan.

Pada mesyuarat khas itu juga, Baginda Sultan berkenan mendengar sembah laporan daripada anggota-anggota mesyuarat dan membangkitkan serta mengimbas semula perkara-perkara yang patut dilaksanakan berdasarkan kejadian atau isu semasa.

Baginda Sultan bertitah: "Peranan Majlis Ketua Kampung harus melihat ke hadapan dengan apa-apa yang belum berlaku dan apa-apa yang mungkin berlaku pada bila-bila masa".

Baginda Sultan bertitah menanyakan langkah-langkah persediaan yang perlu diambil jika berlaku bencana alam, seperti misalnya jika berlaku keganasan, tsunami atau gempa bumi kepada Negara Brunei - dan semoga perkara ini di jauhkan oleh Allah SWT.

"Janganlah kita mengetawakan dengan perkara ini, ia mungkin akan terjadi seperti di Negara Brunei Darussalam tidak pernah mengalami banjir, tetapi perkara ini berlaku di mana paras air naik hingga di luar jangkaan kita. "Baru-baru ini berlakunya bencana tanah susur yang banyak merosakkan rumah dan bangunan bahkan ada nyawa yang terkorban, perkara sebesar ini tidak pernah terjadi di Negara Brunei Darussalam."

"Dari itu, kita harus berwaspada, jangan hanya menunggu perkara ini berlaku dan barulah bersiap sedia untuk bertindak," titah baginda.


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Bencana Kebangsaan yang berlangsung di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat di Berakas.

Turut sama berangkat ke mesyuarat itu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

Baginda Sultan dalam titah Baginda menegaskan: "Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Jun 2009 mengisytiharkan Influenza ini sebagai pandemik yang menghendaki semua negara supaya mengambil langkah berwaspada daripada penularan jangkitan."

"Kita di Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali menyahut saranan itu, kita dari semasa ke semasa sedang mengambil langkah pencegahan namun pemeriksaan terus meningkat dan terdapat satu kematian."

Baginda bertitah: "Dalam usaha mencegah, kita lebih menjurus pada nasihat, seperti menjaga kebersihan, mengurangkan aktiviti sosial dan kuarantin tujuh hari bagi rakyat yang baru balik dari luar negeri. Namun itu semua cuma nasihat umum, adapun langkah pencegahan yang diyakini paling penting seperti misalnya menegah rakyat buat sementara daripada mengunjungi ke negara yang terjejas lebih-lebih lagi negara yang terjejas teruk, perkara ini tidak pernah dilakukan atau difikirkan sehinggalah keluar surat keliling dari Jabatan Perdana Menteri pada 7 Julai 2009.

"Tetapi sebelum ini ada kementerian atau jabatan masih terus menghantar pegawainya keluar negara, termasuk negara yang terjejas, walau pun ada di antara pegawai memberikan pandangan, supaya tidak menghantar buat sementara waktu, kerana di samping itu akan membahayakan diri pegawai, dan apabila balik ke Brunei akan membahayakan juga orang lain, seperti teman di jabatan dan lebih-lebih lagi keluarga di rumah."

Baginda Sultan bertitah lagi perkara itu sangat mengecewakan Baginda kerana ketua jabatan ada yang bekerja seperti 'robot', tidak ada budi bicara langsung, semuanya harus menunggu arahan semata-mata dan jika tidak ada arahan maka mereka tidak bekerja, walaupun dalam peraturan mereka ada mandat untuk membuat pertimbangan tertentu dan mengambil langkah munasabah lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan keselamatan dan kebajikan."

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam juga mengetengahkan cara menangani wabak itu yang dipandu oleh pihak Kesihatan dan selaku bangsa yang bertaufik, doa juga boleh menolong kita untuk menangani wabak itu diikuti dengan Qunut Nazilah dan solat sunat hajat.

Semuanya itu adalah senjata kerohanian yang sangat digalakkan oleh agama Islam, jika banyak berdoa, berzikir dan banyakkan solat sunat hajat maka ia lebih baik, lebih-lebih lagi setelah kita seperti kehilangan daya upaya dengan kawalan berbentuk fizikal seakan-akan tidak berkesan langsung dengan kes terus bertambah, Titah Baginda Sultan lagi.

"Maka bukankah wajar kalau usaha kerohanian itu diadakan, tetapi apa yang dilihat tidak ada usaha peningkatan ke arahnya, yang mana solat hajat di masjid pada hari Jumaat tidak sehangat yang diharapkan, cuma diadakan pada hari Jumaat saja, padahal boleh dibuat di waktu lain, waktu solat fardu, dan juga tidak ada pimpinan dan galakan kepada orang ramai untuk membaca doa dan berzikir.

Menurut titah Baginda lagi, Brunei mempunyai pegawai agama yang sangat ramai tetapi tidak seorang pun muncul untuk mengendalikan rancangan khas di radio dan televisyen bagi mendidik dan memimpin orang ramai mengenai kepentingan doa dan berzikir sebagai usaha melindungi diri dan negara daripada apa-apa jua wabak.

"Jenuh beta menunggunya padahal kementerian cukup besar dan mampu membuatnya tetapi tidak dihiraukan menyebarluaskan wirid dan zikir di kaca televisyen pada masa yang tertentu dan seumpamanya dan tidak perlu ditunggu apabila diarahkan," titah Baginda. Mesyuarat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam membincang dengan menyebarluaskan dan mendidik kanak-kanak sekolah supaya memulakan dan mengaminkan bacaan doa supaya dihindarkan daripada bencana wabak yang berbahaya sebelum mereka memasuki kelas.

"Beta percaya perkara ini sangat mudah dilaksanakan dan dikendalikan dan juga mengetahui kanak-kanak yang belum berdosa ini, doa mereka sangat lah bersih dan baik," Baginda Bertitah.



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini bertitah mengenai satu lagi bencana besar, yang jarang terfikir, iaitu bencana kekurangan bahan makanan.

Baginda Sultan bertitah: "Siapakah yang terfikir dan siapakah yang tampil memikirkan dengan serius dan seharunya perkara ini tidak akan terjadi kerana sudah berapa lama Brunei merdeka, tetapi hasil sara diri bahkan makanan asasi hanya 3.12 peratus saja, seperti tidak ada apa-apa yang dibuat

"Dan siapakah pernah menyebut mengenai 3.12 peratus ini, siapakah yang pernah mengetengahkan angka ini di kalangan menteri, tidak ada seorang pun pernah menyebutnya, mengapa tidak pernah diketengahkan, adakah kita takut untuk merancang dan dibuat" Titah Baginda Sultan. Turut sama berangkat ke mesyuarat itu ialah ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah

Sehinggalah beta sendiri hingga terpaksa menyebutnya berulang kali, dan dengan kehendak Allah, tiba-tiba berlaku pula krisis makanan dunia, di mana kita hanya ada cuma 3.12 peratus saja hasil makanan sara diri, bayangkan jika pihak pembekal tidak mahu lagi membekal disebabkan krisis atau lain-lain sebab.

Baginda Sultan mengetengahkan "Beta terpaksa menyebut sebuah negara jiran sebagai contoh, walaupun negara itu mempunyai dalam tanggungannya sehingga 70 peratus, tetapi mereka terus untuk merancang mendapatkan tanggungan sara makanan hingga ke tahap 100 peratus, kenapa kita cuma ada 3.12 peratus?" Titah Baginda Sultan lagi selepas Baginda berkali-kali menyebut dengan hal itu kementerian yang berkenaan pun baru mahu menyahut dan sekarang Baginda diberitahu pada 2010 negara akan mencapai sara diri 20 peratus dan menjelang 2015 akan meningkat ke 60 peratus.

"Inilah cara kita untuk bersiap-siap menolak bencana kekurangan makanan, dan beginilah hendaknya kita mesti melihat sesuatu itu dengan visi dan bekerja keras bukan semata-mata main tunggu dan lihat saja."

Semasa menghadiri Persidangan Majlis Agama Islam, enam bulan yang lalu, Baginda Sultan juga pernah membangkitkan perkara baki wang zakat yang jumlah wang zakat sudah mencecah lebih $100 juta ringgit dan juga menimbulkan kemusykilan kepada Baginda Sultan bagaimana boleh berlebih sampai begitu banyak.

Baginda Bertitah "Apa makna baki atau lebih, mestilah maknanya wang lebih, yang tinggal dan sudah sempurna diagihkan kepada asnaf yang berhajat, atau dalam makna lain dipanggil baki, itu kerana tidak ada lagi asnaf yang berhajat, sebab itu ia berbaki, dan disimpan dengan jumlah yang sangat besar di dalam bank atau dilaburkan."

"Apakah betul tidak ada lagi asnaf yang berhajat, yang masih berhak menerima wang zakat, dalam perkara ini, beta menumpukan perhatian kepada tiga asnaf yang penting iaitu fakir, miskin dan penanggung hutang algarimin, apa benar tidak terdapat lagi asnaf fakir, miskin, dan algarimin di Negara Brunei Darussalam?" Baginda Sultan Juga mempersoalkan bagaimana baki atau lebihan zakat itu masih ada dengan jumlah yang banyak.

"Kenapa beta timbulkan perkara ini ialah kerana di samping berbangkit perkara hukum zakat wajib, diberikan kepada yang berhak dan tidak boleh ditahan-tahan kerana juga mengingatkan kemiskinan kalau silap-silap akan juga boleh membawa seseorang kepada bencana."

No comments:

Post a Comment