Monday, August 31, 2009

BAHAGIA BERMULA DARI HATI‏

BAHAGIA BERMULA DARI HATI.

Orang Mukmin mempunyai hati yang suci dan murni, sehingga terbentuknya peribadi yang mulia. Begitulah hati, apabila ia baik, maka baiklah manusia itu, apabila ia jahat, maka jahatlah dia.

Firman ALLAH s.w.t ,

“Dalam hati mereka ada penyakit, maka ALLAH tambah penyakit mereka adalah bagi mereka seksaan yang pedih dengan sebab apa-apa yang mereka dustakan.”

(Al-Baqarah, 10)

“Adapun orang yang dalam hatinya ada penyakit, maka bertambahlah kotoran atas kotoran mereka yang telah ada dan mereka mati dalam keadaan mereka kufur.”

(At-Taubah, 125)

Sabda Rasulullah s.a.w., “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah manusia. Jika jahat daging itu, jahatlah manusia. Ketahuilah, itulah hati.”

Ulama telah mengatakan, untuk mendapat hati yang baik seseorang itu mestilah:

1. Sentiasa Merasakan Dirinya Bertuhan.

Apabila disebut ALLAH, timbul rasa gerun. Hati dapat merasakan ALLAH melihat semua perilakunya. Terasa betapa lemah dan kecilnya diri berbanding ciptaan-ciptaan ALLAH.

“Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama ALLAH gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-NYA, bertambahlah iman mereka (kerana-NYA) dan kepada TUHAN-lah mereka bertawakal.”

2. Sentiasa Rasa Bersyukur.

Rasa bersyukur tidak setakat sewaktu menerima nikmat bahkan tatkala menerima ujian kerana ujian yang mendatang bererti perhatian ALLAH, menambah pahala sabar dan menghilangkan dosa.

“Jika kamu bersyukur atas nikmat-KU, akan KU-tambah nikmat itu.: (Ibrahim, 7)

3. Rasa untuk ikhlas.

Keikhlasan mencetuskan kejujuran, kasih sayang, harmoni, saling hormat-menghormati serta membuahkan keamanan dan kedamaian.

Semuanya ini akan mengarah kepada kebahagiaan. Namun, cabaran untuk ke situ tetap ada. Lantaran di hati jugalah berdiamnya nafsu dan juga syaitan. Bagi hati-hati yang telah berkarat, disitulah letaknya istana dan singgahsana syaitan dan seluruh kerajaannya.

Syaitan sentiasa mencari jalan untuk menjerumuskan manusia kepada kejahatan. Syaitan sentiasa memujuk manusia sehingga terdorong untuk berbuat salah. Nafsu dan syaitan sentiasa berkerjasama untuk merebut tempat di hati manusia. Apabila hati sudah ditawan, manusia bukan lagi ikut kata ALLAH dan Rasul tetapi ikut sahaja kehendak nafsu dan syaitan.

Matlamat nafsu dan syaitan ialah hendak memberi kegembiraan kepada manusia mengikut caranya iaitu yang melanggar larangan-larangan ALLAH. Ia membangkitkan rasa sombong, takbur, hasad, dengki, bakhil, pemarah, buruk sangka, ujub, riak, malas, ragu dengan kebenaran dan bermacam-macam lagi.

Bahagia adalah impian dan juga matlamat. Bahagia perlu dicetuskan di sini supaya ia berkembang di sana. Apalah ertinya hidup tanpa bahagia…

Tanpa bahagia dan hati yang tenang seseorang akan dilihat sebagai:

1. Lemah daya kerjaya.

Dia tiada perasaan ghairah untuk bekerja, semangatnya luntur. Yang menonjol adalah kemalasannya.

2. Lemah IQ dan EQnya

Minda tumpul dan hatinya tidak dapat selari dengan kemajuan yang sedang bergerak pantas di sekelilingnya.

3. Gelisah

Hati yang bahagia akan terpancar pada wajah yang jernih. Tanpa hati yang bahagia kemurungan akan terjadi. Kemurungan yang keterlaluan boleh menyebabkan penyakit mental dan juga berjangkit kepada tindakan-tindakan bodoh lagi membahayakan.

4. Kuat prasangka

Salah satu tanda penyakit rohani ialah buruk sangka. Selain buruk sangka terhadap ALLAH dan Rasulnya, orang begini juga kerap berburuk sangka terhadap orang lain tanpa alasan dan juga sebab.

5. Menghasut

Hati orang yang tidak bahagia mudah menjadi PENGHASUT.

6. Keinginan-keinginan yang tidak munasabah

Misalnya, menaruh hati terhadap isteri atau suami orang. Setakat menaruh hati mungkin tidak begitu menakutkan tetapi melakukan sesuatu yang ‘memudaratkan’.

7. Merosakan jasmani

Rasa tidak bahagia menyebabkan tidak boleh tidur, hilang selera makan dan lain-lain. Para ahli kesihatan pada umumnya sependapat mengatakan beberapa penyakit berpunca dari penyakit-penyakit rohani (hati).

8. Kian jauh dari TUHAN

Hati yang tidak tenang dan bahagia sudah tentu jauh dari perhatian ALLAH. Jarak ini berlaku kerana dia tidak dapat memberikan tumpuan terhadap ALLAH tatakala beribadah sedangkan beribadah bererti mengingati ALLAH.

Demikianlah hati sebagai titik mula sesuatu yang dinamakan motivasi. Semuanya bermula di sini.

No comments:

Post a Comment