Sunday, July 25, 2010

Kes Pan Phoenix Dina ditangguhkan, didengar semula 27 Julai ini

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kes ke atas Pan Phoenix Dina (B) Sdn Bhd dan tiga pengarahnya yang didakwa mengambil deposit secara haram ditangguhkan hari ini dan kes akan didengar semula pada Selasa, 27 Julai 2010.
Bagaimanapun, dua daripada defendan, Md Azlan Haji Md Yussof dan Abdul Hamid Haji Simpol yang mengaku bersalah ke atas pertuduhan, telah diikat jamin untuk hadir pada Khamis 29 Julai, pada pukul 11 pagi.
Merujuk kepada laporan yang dibuat kelmarin mengenai prosiding kes itu, pihak pendakwa hari ini menjelaskan bahawa tiada perjanjian atau syarat telah dicapai atau dipersetujui dengan ketiga-tiga defendan, seperti yang dilaporkan dalam terbitan surat khabar kelmarin berhubung kes berkenaan.
Pihak Pendakwa raya diminta untuk mempertimbangkan beberapa perkara dan boleh mengesahkan bahawa pihak pendakwa tidak berhasrat jika bayaran dikenakan bagi menggunakan khidmat Queen's Counsel, Nigel Peters terhadap Md Azlan dan Abdul Hamid.
Queen Counsel, Nigel Peters menerangkan bahawa perkara itu tidak menjejaskan kedudukan atau pendirian pihak pendakwa raya terhadap defendan-defendan yang lain.

Friday, July 16, 2010

Baginda Sultan bersama rakyat dalam majlis doa kesyukuran

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam malam ini berkenan berangkat bersama-sama rakyat Baginda ke Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah bagi menunaikan solat fardu Maghrib berjemaah, membaca surah yaasin, tahlil dan doa kesyukuran bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-64.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah telah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman.
Majlis bermula dengan solat fardu Maghrib berjemaah diimamkan oleh Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Yahya Haji Ibrahim, disusuli dengan solat sunat hajat diimamkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Salim Haji Besar.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan membaca surah yaasin dan tahlil yang dipimpin oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Suhaili Haji Mohidin. Sesudah itu Doa Kesyukuran pun dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Pehin Dato Paduka Seri Setia Dr Haji Abdul Aziz Juned.



Mengakhiri majlis ialah solat fardu Isyak berjemaah yang telah diimamkan oleh Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Hamid Bakal. Turut kelihatan di saf pertama sebaris dengan Baginda Sultan ialah bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Gandingan mantap Wings-Search di Limbang 23 Julai ini

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa. - Dua kumpulan rock yang tidak asing lagi, Wings dan Search akan mengadakan Konsert Double Trouble Borneo Tour 2010 yang bakal berlangsung di Stadium Terbuka Limbang pada 23 Julai, pukul 9 malam.

Konsert yang julung-julung kalinya diadakan di luar kota itu akan menampilkan tiga buah lagu hits yang dipersembahkan oleh Wings dan Search seperti Gemuruh, Opera Hidup, Fantasia Bulan Madu, Isabela dan Derap Komando.

Satu sidang media yang berlangsung di Hotel International Rizqun, di sini hari ini menampilkan kehadiran dua wakil kumpulan itu iaitu Amy Search dan Black Wings untuk menjawab pertanyaan wartawan.

Menurut wakil penganjur, Ahzu (M) Sdn Bhd menjelaskan konsert kali ini diadakan di luar kota adalah untuk memberi penghargaan kepada para peminat dua kumpulan itu.Sambutan sebelum sidang media itu juga sangat membanggakan sehinggakan pihak kastam dan imigresen mengambil peluang untuk bergambar dengan penyanyi yang tidak asing lagi itu.

Konsert yang diadakan di Limbang itu nanti juga adalah bagi peminat-peminat yang berada di Miri, Labuan, Lawas, Negara Brunei Darussalam dan kawasan-kawasan di sekitarnya.Stadium Terbuka Limbang itu dianggarkan mampu menampung sehingga 30,000 penonton.

Amy Search dalam sidang media itu menjelaskan Konsert Double Trouble itu adalah lanjutan bagi konsert yang telah diadakan di Kuala Lumpur dan Johor Baru yang mendapat sambutan hangat.

Beliau menasihatkan kepada para peminat supaya mendapatkan tiket yang asli untuk mengelakkan kehampaan memandangkan terjadinya cetak rompak tiket yang berlaku pada konsert di Johor Baru yang lalu.

Konsert yang kira-kira berlangsung dalam dua jam itu juga akan menampilkan artis tempatan pada pukul 7.30 hingga 9 malam dan diikuti dengan penampilan dua kumpulan rock berkenaan.

Tiket-tiket berharga RM70 untuk Zon A dan RM40 untuk Zon B akan mula dijual pada 19 Julai di lokasi seperti Stadium Terbuka Limbang, Pasar Raya Boulevard, Miri, Kompleks Jeti Lawas, Kompleks Jati Limbang, Kawasan Imigresen Limbang/ Temburong, Kawasan Imigresen Limbang / Brunei dan Kompleks Ujana Labuan.

Sebarang pertanyaan berkaitan tiket dan konsert itu bolehlah menghubungi talian 019 3520 409 atau 014 8817 688 atau 010 5829 828 dan 014 9580 878 untuk maklumat lanjut.