Friday, July 16, 2010

Gandingan mantap Wings-Search di Limbang 23 Julai ini

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa. - Dua kumpulan rock yang tidak asing lagi, Wings dan Search akan mengadakan Konsert Double Trouble Borneo Tour 2010 yang bakal berlangsung di Stadium Terbuka Limbang pada 23 Julai, pukul 9 malam.

Konsert yang julung-julung kalinya diadakan di luar kota itu akan menampilkan tiga buah lagu hits yang dipersembahkan oleh Wings dan Search seperti Gemuruh, Opera Hidup, Fantasia Bulan Madu, Isabela dan Derap Komando.

Satu sidang media yang berlangsung di Hotel International Rizqun, di sini hari ini menampilkan kehadiran dua wakil kumpulan itu iaitu Amy Search dan Black Wings untuk menjawab pertanyaan wartawan.

Menurut wakil penganjur, Ahzu (M) Sdn Bhd menjelaskan konsert kali ini diadakan di luar kota adalah untuk memberi penghargaan kepada para peminat dua kumpulan itu.Sambutan sebelum sidang media itu juga sangat membanggakan sehinggakan pihak kastam dan imigresen mengambil peluang untuk bergambar dengan penyanyi yang tidak asing lagi itu.

Konsert yang diadakan di Limbang itu nanti juga adalah bagi peminat-peminat yang berada di Miri, Labuan, Lawas, Negara Brunei Darussalam dan kawasan-kawasan di sekitarnya.Stadium Terbuka Limbang itu dianggarkan mampu menampung sehingga 30,000 penonton.

Amy Search dalam sidang media itu menjelaskan Konsert Double Trouble itu adalah lanjutan bagi konsert yang telah diadakan di Kuala Lumpur dan Johor Baru yang mendapat sambutan hangat.

Beliau menasihatkan kepada para peminat supaya mendapatkan tiket yang asli untuk mengelakkan kehampaan memandangkan terjadinya cetak rompak tiket yang berlaku pada konsert di Johor Baru yang lalu.

Konsert yang kira-kira berlangsung dalam dua jam itu juga akan menampilkan artis tempatan pada pukul 7.30 hingga 9 malam dan diikuti dengan penampilan dua kumpulan rock berkenaan.

Tiket-tiket berharga RM70 untuk Zon A dan RM40 untuk Zon B akan mula dijual pada 19 Julai di lokasi seperti Stadium Terbuka Limbang, Pasar Raya Boulevard, Miri, Kompleks Jeti Lawas, Kompleks Jati Limbang, Kawasan Imigresen Limbang/ Temburong, Kawasan Imigresen Limbang / Brunei dan Kompleks Ujana Labuan.

Sebarang pertanyaan berkaitan tiket dan konsert itu bolehlah menghubungi talian 019 3520 409 atau 014 8817 688 atau 010 5829 828 dan 014 9580 878 untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment