Oleh Sim Y. H.
Gambar menunjukkan perompak mengacukan sebilah pisau ke atas pekerja kedai. - Gambar ihsan Polis Diraja Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Pasukan Polis Diraja Brunei sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya menahan seorang pemuda warga tempatan dalam tempoh 48 jam selepas dia melakukan rompakan menggunakan senjata di sebuah kawasan perniagaan di Gadong.
Menurut kenyataan polis, kejadian rompakan itu berlaku pada kira-kira pukul 9.30 pagi 28 Oktober lalu dan polis berjaya memberkas pemuda berusia 25 tahun sekitar pukul 5 petang 30 November.
Lelaki berkenaan telah dihadapkan ke mahkamah pada 1 November dan akan dihadapkan sekali lagi ke mahkamah pada 4 November nanti.
Kenyataan itu berkata, dalam kejadian berkenaan seorang perompak lelaki bersendirian mengacukan sebilah pisau kepada pekerja kedai di sebuah premis perniagaan di Gadong.
Lelaki yang menyembunyikan identitinya, meluru masuk ke kedai itu sambil mengacukan sebilah pisau kepada seorang pekerja kedai yang sedang mengira stok barang.
Polis berkata, perompak berkenaan memakai baju lengan panjang berwarna biru, seluar jeans hitam, topi berwarna krim, kaca mata gelap dan kasut hitam berjalur putih, memasuki kedai berkenaan dan menutup penutup besi kedai berkenaan serta mengancam pekerja wanita yang bersendirian pada masa kejadian.
Perompak itu mengarahkan pekerja terbabit supaya menyerahkan semua wang yang ada dan pekerja itu dengan perasaan takut, telah membuka mesin daftar tunai serta menunjukkan bahawa mesin itu tidak mengandungi wang.
Pekerja kedai itu kemudian menyerahkan beg duitnya dan perompak itu terus melarikan diri dari tempat kejadian.
Menurut kenyataan itu lagi, susulan kejadian itu polis berkejar ke tempat kejadian dan berusaha untuk mengenal pasti perompak berkenaan. Hasil maklumat yang diperoleh daripada orang ramai dan penyelidikan rapi terhadap rakaman dari kamera litar tertutup, anggota dari Balai Polis Pusat Bandar berjaya mengenal pasti identiti lelaki berkenaan dan seterusnya memberkasnya.
|
No comments:
Post a Comment