BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kewangan hari ini memaklumkan bahawa Baginda telah memperkenankan pindaan ke atas duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk-produk tembakau melalui penguatkuasaan Perintah Duti Import Kastam (Pindaan) 2010 dan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2010.
Perintah-perintah tersebut akan berkuatkuasa mulai hari Isnin 1 November 2010 dan melibatkan perubahan ke atas duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk tembakau seperti mana Jadual Kedua Pindaan Perintah tersebut dan juga melibatkan penghapusan keistimewaan konsesi bebas duti yang diberikan dalam perkara-perkara tertentu. Di bawah Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2010, kadar cukai eksais bagi komoditi rokok akan dikenakan cukai sebanyak 25 sen sebatang berbanding $60 sekilogram yang dikenakan pada masa ini.
Bagi "unmanufactured tobacco and tobacco refuce" kadar duti akan dinaikkan sekali ganda daripada $30 sekilo kepada $60 sekilo. Bagi lain-lain "manufactured tobacco," kadar duti akan dinaikkan daripada $35 sekilo (manufactured tobacco blended for cigarettes making - not finish products) dan $60 sekilo (blended for retail sale) kepada $120 sekilo.
Bagi "cigar, cheroots dan cigarillos" kadar duti akan dinaikkan sekali ganda daripada $60 sekilo kepada $120 sekilo dan daripada $100 sekilo kepada $200 sekilo.
Sementara itu Pindaan di bawah Jadual Kedua Perintah Duti Import Kastam (Pindaan) 2010 telah meniadakan keistimewaan konsesi bebas duti kepada penumpang-penumpang berumur 17 tahun ke atas yang membawa rokok yang tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas dan pintu-pintu masuk ke negara ini yang dibebaskan daripada membayar duti bagi jumlah rokok yang dibawa tidak melebihi 200 batang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, tujuan utama pindaan tersebut adalah sebagai usaha berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjaga kepentingan kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, terutama dalam membantu mengurangkan risiko penyakit kronik yang berkaitan dengan rokok di negara ini.
Oleh itu selaras dengan kuasa yang diperuntukkan dibawah Perintah Kastam 2006, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja akan mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian ke atas sebarang kesalahan yang melanggar kehendak-kehendak pindaan baru itu dan syarat-syarat yang dikenakan seperti kegagalan mengikrarkan kemasukan komoditi-komoditi tersebut ke negara ini dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment