Thursday, November 04, 2010

Rokok: Kawalan pintu masuk diperketat

KUALA BELAIT, Selasa - Jabatan Kastam dan Eksais Diraja di sini telah meningkatkan pemeriksaan keselamatan di pintu masuk Sungai Tujoh susulan Penguatkuasan Perintah Duti Import Kastam (Pindaan) 2010 dan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2010 mulai 1 Oktober lalu.
Menurut seorang pegawai Kastam dan Eksais Diraja di situ, orang ramai masih lagi dibenarkan membawa masuk rokok-rokok ke negara ini tetapi mereka perlu mengisytiharkannya bagi tujuan percukaian.
Dibawah sistem percukaian yang baru, setiap batang rokok yang dibawa masuk ke Brunei akan dicukai sebanyak 25 sen, iaitu bermakna cukai yang dikenakan bagi setiap kartun (10 kotak - 20 batang), ialah sebanyak $50.
Beliau berkata, mereka telah meningkatkan pemeriksaan keselamatan di sempadan dengan bertanya kepada pemandu sama adamereka ada membawa sebarang rokok.
"Ramai yang masih tidak sedar mengenai peraturan baru dan kerana itu adalah wajar kami bertanya kepada mereka sama ada mereka membawa sebarang rokok. Jika ya, kami akan meminta mereka membayar cukainya," ujar beliau.
Katanya, pihak kastam juga membuat pemeriksaan rapi secara rambang ke atas kenderaan yang melalui pintu masuk di Sungai Tujoh bagi mencegah penyeludupan rokok.
Harga satu kartun rokok berjenama di kedai bebas cukai di Miri kini ialah RM64 (kira-kira $27) dan ditambah dengan cukai $50 dikenakan, bermakna seorang pelanggan terpaksa membayar sekitar $77 bagi satu kartun rokok kotak 20 batang.
Sejak pengumuman pindaan itu dibuat, orang ramai khususnya perokok telah cuba mendapatkan stok lama rokok, namun kebanyakan kedai telah kehabisan stok rokok sementara pembekal pula masih menahan bekalan sehingga pengesahan harga baru bagi jualan.
Setakat ini, belum ada sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa atau pembekal mengenai harga baru jualan rokok di Brunei selepas peraturan baru itu dikuatkuasakan.

No comments:

Post a Comment