Baginda Sultan berkenan berangkat meninjau kawasan yang dilanda banjir di Daerah Belait dan Tutong. | |
|
TUTONG, 19 Jan - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat meninjau kawasan yang dilanda banjir di Daerah Tutong dan Belait.
Di Daerah Tutong, Baginda Sultan berkenan mendengarkan sembah taklimat oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Yahya Haji Abdul Rahman di Bilik Gerakan di Lamunin sebelum berangkat meninjau dengan lebih dekat ke kawasan yang terlibat di Mukim Rambai, Lamunin dan Mukim Tanjung Maya.
Di Tanjung Maya, Baginda Sultan berkenan melawat beberapa rumah kediaman yang terlibat termasuk sekolah-sekolah yang terjejas dengan menggunakan hovercraft.
Sebahagian daripada suasana di kawasan yang dilanda banjir di pendalaman daerah Tutong dan Belait. | |
Keberangkatan tinjauan Baginda Sultan diteruskan lagi ke Daerah Belait di Kampung Bukit Puan Labi dan beberapa kawasan yang terjejas di mukim berkenaan setelah berkenan mendengar sembah penerangan ringkas oleh Pegawai Daerah Belait Matusin Haji Tuba.
Menjunjung keberangkatan Baginda Sultan hari ini ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Utama Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair Haji Abdullah.
Turut menjunjung keberangkatan Baginda Sultan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi Haji Mohd Yussof.
No comments:
Post a Comment