Saturday, January 22, 2011

Sultan prihatin

Baginda Sultan ketika berkenan melawat di salah sebuah rumah di Kampong Penapar, Mukim Tanjong Maya, Tutong. - Gambar oleh Infofoto

Baginda Sultan berkenan menaiki hoverkraf semasa meninjau kawasan banjir di Tutong.

TUTONG, 19 Jan - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat meninjau kawasan yang dilanda banjir di Daerah Tutong dan Daerah Belait.
Mengiringi keberangkatan Baginda semasa lawatan hari ini ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair Haji Abdullah dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Haji Awang Halbi Haji Mohd Yussof.
Semasa lawatan ke Daerah Tutong, Baginda Sultan berkenan mendengarkan sembah taklimat oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya Haji Abdul Rahman di Bilik Gerakan di Lamunin sebelum berangkat meninjau dengan lebih dekat kawasan-kawasan yang terlibat dengan bencana banjir di Mukim Rambai, Lamunin dan Mukim Tanjung Maya.
Di Tanjung Maya, Baginda Sultan berkenan melawat ke beberapa buah rumah kediaman yang terlibat termasuk sekolah-sekolah yang terjejas dengan menggunakan Hoverkraf.
Setelah itu Baginda Sultan meneruskan tinjauan ke Kampung Bukit Puan Labi di Daerah Belait dan beberapa kawasan yang terjejas di mukim berkenaan. Di Daerah Belait, Baginda telah berkenan mendengar sembah penerangan ringkas oleh Pegawai Daerah Belait Awang Matusin OKS Haji Tuba.
Keberangkatan Baginda Sultan mengadakan tinjauan hari ini mencerminkan keprihatinan dan pemedulian Baginda terhadap kesusahan yang menimpa rakyat dan penduduk negara ini, sekali gus memberi semangat kepada mereka untuk tabah dalam menghadapi ujian Allah ini.
Walaupun dalam keadaan yang susah, rakyat dan penduduk di kawasan terjejas begitu terharu dengan keprihatinan Baginda itu yang begitu tinggi dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda meredah air melintasi jalan yang dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter di kawasan yang terjejas.
Dalam temu bual Media Permata dengan Pegawai Pemerintah Operasi B Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Belait, Abdul Azis Haji Mohamad menyatakan, beberapa kemudahan seperti kenderaan ABDB disediakan untuk membantu penduduk kawasan yang terjejas.
Bantuan termasuk bagi pengangkutan melalui jalan menggunakan kenderaan biasa berulang alik ke destinasi tertentu, serta bantuan Pasukan Polis Diraja Brunei, dan Jabatan Kerja Raya yang menyediakan kemudahan-kemudahan kem dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sentiasa membuat pengawalan rutin.
Bagaimanapun menurutnya keadaan banjir di kawasan pedalaman itu tidaklah seteruk mana setakat ini, cuma hanya kenaikan paras air di kawasan jalan raya setinggi 0.2 ke 0.3 meter sahaja.
Keadaan itu memaksa pihak berkenaan menggunakan trak pengangkutan bagi mengangkut kanak-kanak sekolah dan juga penduduk pergi ke tempat kerja.
Jabatan Kerja Raya dalam satu kenyataan lewat malam tadi memberitahu, paras air di Stesen Pam Air di Badas, Belait dilaporkan naik begitu cepat ekoran hujan yang lebat berlaku di kawasan pedalaman. Begitu juga dengan Jalan Bukit Puan dan Jalan Kampung Bukit Sawat.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan kadar turunan yang lebih tinggi daripada biasa sejak tiga hari lalu dengan catatan di Bukit Sawat sebanyak 180.5mm dan ia adalah yang tertinggi sejak lima tahun lalu berbanding 121mm Januari 2010.
Sementara itu Stesen JKR di Badas Waterwork turut mencatatkan kadar turunan yang tinggi iaitu 150.5mm, menyamai kadar tempoh lima tahun yang dulu.
Jabatan itu telah menggerakkan semua sumbernya untuk membantu orang ramai berulang alik di kawasan yang terjejas. JKR juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dalam menghulurkan bantuan bagi meringankan beban penduduk yang ditimpa kesusahan ini.
Maklumat kaji cuaca yang diperoleh daripada Jabatan Penerbangan Awam meramalkan lebih banyak hujan dijangka turun antara 24 hingga 27 Januari ini. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengelak daripada air bah yang mengalir deras, tidak melakukan sebarang aktiviti dalam banjir atau mula berpindah apabila diarahkan berbuat demikian. Orang ramai juga boleh berkongsi maklumat berhubung dengan banjir atau jika memerlukan bantuan, bolehlah menghubungi talian hotline JKR 140 yang dibuka 24 jam.

No comments:

Post a Comment