BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Negara akan memulakan dekad baru dengan penubuhan sebuah organisasi yang sangat penting iaitu Autoriti Monetari Brunei Darussalam pada 1 Januari 2011.
Autoriti ini akan memastikan sektor monetari dan kewangan negara berfungsi dengan stabil dan teratur termasuk mengekal dan meneruskan Perjanjian Kesalingbolehtukaran matawang negara ini dan Republik Singapura yang dilihat banyak mendatangkan kemanfaatan kepada kedua-dua buah negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian sempena Awal Tahun Masehi 2011 yang disiarkan secara langsung melalui Radio dan Televisyen di seluruh negara malam ini.
Titah Baginda, lebih banyak usaha perlu diteruskan bagi merealisasikan visi untuk menjadikan negara ini sebagai salah sebuah pusat kewangan Islam yang setanding dengan pusat-pusat kewangan Islam terkemuka di dunia.
Mulai 1 Januari juga, titah Baginda peraturan baru akan dikuatkuasakan iaitu Peraturan Cuti Beranak 2011, yang sebelum ini menaikkan cuti beranak bagi kesemua pegawai dan kakitangan wanita dalam perkhidmatan awam dari 56 hari kepada 105 hari.
Peraturan ini juga dilaratkan kepada pekerja wanita di sektor swasta yang terdiri dari rakyat dan penduduk tetap sebagai tambahan dan pindaan kepada Perintah Pekerjaan 2009 yang ada pada masa ini.
Peraturan ini adalah sebagai langkah menyelaras keperluan dan kepentingan kesihatan ibu-ibu, sebelum dan selepas mereka melahirkan.
Mengenai bidang kesihatan, Baginda bertitah usaha-usaha kesihatan secara intensif telah diambil melalui pencegahan dan kesedaran selain meningkatkan kapasiti perkhidmatan perubatan di peringkat pakar.
Dan ini, termasuk menguatkan lagi usaha membanteras tabiat merokok yang amat merbahaya melalui Pindaan Duti Eksais bagi rokok, tembakau dan produk-produk tembakau.
"Kerajaan Beta juga memperkenankan Skim Baru Perkhidmatan Kedoktoran pada 9 Oktober lalu yang antara lain bertujuan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan bagi mendapatkan perkhidmatan doktor berkualiti tinggi dari dalam dan luar negara.
"Bagi anak-anak tempatan pula, skim baru ini diharap mampu menyuntik semangat mereka untuk menceburi pelbagai bidang perubatan sehingga ke peringkat kepakaran," titah Baginda Sultan.
Demi kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini juga, titah Baginda usaha bersepadu kerajaan telah diambil untuk memastikan keselamatan makanan di negara ini adalah bebas dari pencemaran racun dan bahan-bahan yang membahayakan.
Menyentuh mengenai tahun 2010, Baginda bertitah tahun ini telah melakar kejayaan dan cabaran yang dikecapi oleh negara ini dalam usaha negara mengukuhkan masa depan ekonominya yang telahpun menampakkan hasil dengan bermulanya pengeluaran metanol untuk eksport.
Ini ditambah lagi dengan usaha-usaha meningkatkan penanaman padi yang berterusan di samping langkah mempromosi dan menghasilkan produk makanan di bawah jenama 'Brunei Halal'.
"Namun prospek ini tidak akan melalaikan kita dari terus memantapkan langkah pencegahan dan perlindungan dari impak pelbagai krisis, antaranya kewangan, harga minyak, makanan, kesihatan dan cuaca.
"Bagi kepentingan ini, kita juga perlu membuat penilaian ke atas dasar-dasar kerajaan, perancangan pembangunan jangka panjang, tata-cara untuk memenuhi keperluan orang ramai dan kemudahan pelaburan demi kesejahteraan dan kestabilan negara," titah Baginda.
Baginda Sultan turut mengingatkan rakyat dan penduduk negara ini supaya tidak leka dari bersiap siaga bagi menangani sebarang kesulitan dan cabaran yang tidak diduga dan dalam masa yang sama turut bertitah melahirkan penghargaan dan gembira dengan sifat keprihatinan rakyat dan penduduk negara ini terhadap pihak yang kurang bernasib baik, khasnya mereka yang ditimpa musibah berat.
Baginda memuji sifat murah hati dan ringan tangan yang dihulurkan kepada pihak negara sahabat yang ditimpa musibah seperti banjir besar, gempa bumi, tsunami, gunung berapi dan seumpamanya dan semua ini merupakan nila-nilai positif yang perlu dikekalkan sehingga bila-bila.
No comments:
Post a Comment