Saturday, August 14, 2010

Rakyat Malaysia didakwa di Singapura, Brunei kerana skim pelaburan haram

KUALA LUMPUR, Rabu (Bernama) - Dua rakyat Malaysia dan seorang rakyat Singapura, didakwa di mahkamah Singapura dan Brunei, kerana menjalankan kegiatan perniagaan secara penipuan dan menerima deposit daripada orang ramai tanpa lesen yang sah, kata Bank Negara.
Pada 30 Julai, rakyat Singapura Phang Wah dan rakyat Malaysia, Jackie Hoo Choon Cheat, kedua-duanya dari Sunshine Empire, masing-masing dihukum penjara sembilan tahun dan tujuh tahun oleh Mahkamah Daerah Singapura kerana menjalankan kegiatan pelaburan secara penipuan.
Mereka disabitkan mengikut Seksyen 340 Akta Syarikat Singapura dan pecah amanah jenayah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan Singapura.
Pada 3 Jun 2010, Sunshine Empire Sdn Bhd didenda RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur apabila mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 kerana menerima deposit daripada orang ramai tanpa lesen yang sah.
Dalam perkembangan lain, Hasri Mohd Noor, Pengarah Business Time Dina Sdn. Bhd., syarikat berkaitan Pan Phoenix Dina Sdn. Bhd., dihukum penjara selama enam tahun oleh Mahkamah Tinggi Brunei pada 7 Ogos 2010 mengikut Perkara 93 (1) Order Perbankan 2006 kerana menerima deposit secara haram.
Hasri Mohd Noor sedang menghadapi pertuduhan di Malaysia atas kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Bank Negara menasihatkan orang ramai supaya tidak menyimpan wang atau deposit dengan institusi yang tidak berlesen atau terlibat dalam sebarang bentuk skim cepat kaya bagi mengelak daripada kehilangan wang mereka.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berhubung skim kewangan haram dan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh Bank Negara Malaysia di Laman Web Amaran Penipuan Kewangan (http://fraudalert.bnm.gov.my).
Untuk maklumat dan keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bank Negara di 1-300-88-5465.

No comments:

Post a Comment