BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Golongan belia di negara ini dinasihatkan supaya bangun mengerjakan Solat Fardu Subuh dan jangan sesekali tidur dari saat terbit fajar sehingga terbit matahari kerana pada ketika itu Allah menurunkan rezeki buat hamba-hambanya yang tidak tidur.
Ibu bapa/penjaga yang bertanggungjawab dan inginkan anak-anaknya mempunyai jiwa yang besar pula disarankan supaya membangunkan anak-anak mereka di awal pagi berkenaan kerana tidur di dalam waktu berkenaan menghalang rezeki daripada datang.
Nasihat dan saranan itu telah diutarakan oleh Penguasa Dakwah dan Tabligh, Ketua Bahagian Kajian dan Penerbitan, Pusat Da'wah Islamiah, Haji Mail Besar dalam Ceramah Keugamaan/Motivasinya yang bertajuk "Belia Berjiwa Besar" pagi ini dalam Majlis Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia Senegara.
Menurutnya ramai kalangan ibu bapa/penjaga masa kini yang terlalu kasihankan anak-anaknya yang tidur lewat tidak akan mendapat tidur yang cukup jika dibangunkan di awal pagi, padahal perbuatan membiarkan mereka tidur itu menyebabkan mereka tertinggal daripada menerima rezeki yang dikurniakan Allah pada waktu berkenaan.
Sedangkan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam sendiri pernah membangunkan anaknya Siti Fatimah Radiallahuanha di awal pagi dengan kakinya sambil antara lain mengatakan "Bangunlah anakku, saksikanlah rezeki yang Allah berikan padamu di pagi hari dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang-orang yang lalai."
Beliau menjelaskan tidur selepas terbit matahari adalah tidak dilarang jika tiada pekerjaan yang akan dilakukan tetapi sekejap saja kerana tidur yang lama itu melesukan badan, umpama bateri yang terlebih cas menyebabkan kuasanya berkurangan pula.
Disebabkan badan yang lemah maka kesihatan pun terganggu sehingga menyebabkan tidak banyak kerja yang dapat dilaksanakan pada hari berkenaan, ujarnya lagi pada majlis yang mengambil tempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah pagi ini.
Haji Mail dalam ceramahnya turut menyentuh mengenai peranan beliau untuk bekerja bagi menyara kehidupan sehariannya sendiri iaitu tidak mengharapkan belas ehsan dari orang lain, walaupun sebab beliau tidak bekerja itu adalah bagi melaksanakan ibadat kepada Allah Ta'ala.
Menurutnya Islam tidak mahu penganutnya bermatlamatkan akhirat semata-mata dan meninggalkan dunia tetapi tidak juga mahu orang-orang Islam bermatlamatkan dunia dan meninggalkan akhirat, kerana Islam menganjurkan penganutnya menjadikan kedua-duanya matlamat.
No comments:
Post a Comment