Friday, October 22, 2010

Maher Zain hiburkan pelajar Pusat Ehsan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Bukan mudah untuk mendapat peluang bertemu muka dengan bintang kegemaran awda.
Bagaimanapun, bagi para pelajar di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Kampung Bengkurong baru-baru ini dihiburkan dengan penampilan istimewa penyanyi dan pencipta lagu terkenal, Maher Zain, yang kebetulan berada di sini atas jemputan Kumpulan Bank Baiduri.
Maher tiba di Pusat Ehsan sejurus selepas solat Zuhur dan disambut Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan Pengiran Datin Hajah Noraini Pg Haji Abd Momin dan Pengurus Kanan Jabatan Perbendaharaan Bank Baiduri Pengiran Azaleen Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Semasa kunjungan itu, Maher beramah mesra dengan pelajar-pelajar sambil memberi galakan dan dorongan serta berkesudian menandatangani autograf dan bergambar bersama mereka.
Kunjungan Maher ke Pusah Ehsan itu diatur khas sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Kumpulan Bank Baiduri.
Antara mereka yang hadir semasa kunjungan itu ialah Pengurus Pemasaran dan Perhubungan Korporat Bank Baiduri Dayang Dorothy Newn dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Baiduri Finance, Haji Mohd Rayme Haji Bakri serta ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah dan kakitangan Pusat Ehsan.
Pusat Ehsan merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan tidak bermotifkan keuntungan, yang komited untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan khidmat pemulihan bagi individu-individu istimewa yang kurang upaya fizikal dan minda.
Sementara itu, satu sesi bertemu peminat antara penyanyi dan pencipta lagu Maher Zain dengan kakitangan Kumpulan Bank Baiduri diadakan secara eksklusif di kawasan Foyer Panggung Wayang Hotel Empire and Country Club, Jerudong baru-baru ini.
Lebih 3,000 kakitangan Baiduri dan keluarga mereka hadir untuk bersua muka dengan penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu dakwah itu.
Maher Zain begitu pantas mencipta nama di kalangan para peminat di Brunei menerusi lagu-lagu moden berunsur dakwah yang mempunyai elemen R&B, muzik kerohanian tradisional, pop, Arab dan Turki, kesemuanya digabungkan ke dalam satu bentuk susunan baru dan jarang didengar dalam lingkungan muzik Islam.
Pada malam minggu lalu, Maher membuat persembahan untuk Malam Silaturahim Kumpulan Bank Baiduri yang menyaksikan sambutan hangat dari lebih 3,000 tetamu jemputan menerusi lagu popularnya Thank You Allah.
Para tetamu pada malam itu turut dihiburkan oleh artis-artis tempatan terdiri daripada Fakhrul Razi, Fairuzneezan dan Maria. Selain sesi bertemu peminat secara eksklusif itu, para peminat Maher turut mendapat CD percuma dari album sulung Maher Thank You Allah yang disenaraikan sebagai antara paling laris jualannya dalam carta Muzik Dunia Amazon.

No comments:

Post a Comment