Friday, October 22, 2010

Tingkatkan khidmat kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa kesihatan merupakan perkara yang amat penting bagi penduduk serta rakyat negara dan semua pihak khususnya pihak kesihatan memainkan peranan yang penting untuk menyediakan pelbagai kemudahan serta asas kesihatan.
"Kemudahan itu merupakan perkara utama dalam kehidupan dan tidak boleh dianggap kecil,"titah Baginda semasa berangkat membuat lawatan ke Kementerian Kesihatan tengah hari tadi.
Berkenan berangkat sama ialah Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik.
"Dengan apakah kita mengusahakan kesihatan itu. Dengan pelbagai cara, seperti dengan mengawal pemakanan menjaga kebersihan, bersenam dan seumpamanya. Ini adalah disiplin persendirian."
"Namun disiplin persendirian sahaja belum juga memadai. Kerana bukan semua orang dapat membuatnya melainkan ia perlu juga kepada bimbingan dan nasihat pihak-pihak berkenaan."
Baginda Sultan bertitah bahawa peranan yang lebih besar dan lebih mencabar lagi ialah bagi pihak kesihatan yang berkenaan ialah untuk menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan termasuk perkhidmatan.
"Kemudian kemudahan-kemudahan perkhidmatan adalah perkara asasi.
Ia meliputi prasarana sampai kepada pegawai kakitangan dan khasnya, doktor.
"Mereka ini menjadi fokus utama kepada masyarakat terutama sekali para doktor, kerana yang akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan mereka itu ialah masyarakat."
Baginda Sultan seterusnya bertitah menyarankan supaya perhatian masyarakat itu harus terus diberikan kepada mereka dan supaya tidak dipalingkan kepada perkara yang lain.
"Perhatian masyarakat tidak boleh dipalingkan kepada yang lain-lain melainkan akan tetap kepada mereka juga. Sebab itulah beta pernah menyebut supaya para doktor tidak akan jadi bayang-bayang yang menakutkan kepada masyarakat tetapi jadilah suluh harapan bagi mereka."
Baginda Sultan menyeru supaya doktor-doktor harus memberikan perhatian dan mengenali pesakit mereka serta terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka dan jujur mengenai masalah yang dihadapi oleh pesakit-pesakit mereka itu.
"Untuk itu para pegawai perubatan atau doktor-doktor mereka itu mustahilkah sukses dalam perkhidmatan mereka? Mereka tidak boleh lebih kurang atau ambil ringan terhadap pesakit.
Mereka mesti betul-betul mengenali pesakit mereka, apa jenis penyakit dan apa jenis rawatan yang sesuai dengan penyakit itu, serta termasuk juga tentang tinggi rendah risiko sesudah rawatan dibuat."
Baginda Sultan bertitah, "Semua ini perlu kemas dan mendalam, bukan ikut-ikut sedap memberi jaminan atau meramal."


Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah dari seorang pesakit semasa mengadakan lawatan di RIPAS semalam.

No comments:

Post a Comment