Friday, October 22, 2010

Remaja temui 'anak damit' dalam kereta

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Jabatan Kecemasan dan Kemalangan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pagi ini gempar apabila seorang remaja lelaki menghantar "seorang anak damit" yang belum mencapai usia pramatang ke sana.
Menurut saksi kejadian, remaja lelaki itu melaporkan ke jabatan berkenaan bahawa "janin" berkenaan beliau temui di dalam keretanya, yang beliau percayai diletakkan oleh ibu "janin" berkenaan.
Menurut laporan berkenaan, remaja lelaki berkenaan sedang membeli sesuatu di sebuah kedai runcit di Lumapas dengan meninggalkan kenderaannya di luar kedai berkenaan tanpa menguncinya.
Saksi kejadian yang mendengar sendiri cerita daripada remaja lelaki itu memberitahu Media Permata bahawa remaja lelaki itu menjadi terkejut apabila sekembalinya ke kenderaannya, beliau terlihat "seorang anak damit" yang sangat kecil, sekecil anak kucing yang baru dilahirkan.
Bagaimanapun setelah sampai di hospital dan diperiksa oleh pegawai perubatan di sana, "anak damit" itu disahkan sama ada telah pun tidak bernyawa lagi ataupun sememangnya telah mati ketika sama ada dilahirkan ataupun digugurkan daripada kandungan ibunya.
Jabatan Polis Diraja Brunei ketika dihubungi Media Permata, telah mengesahkan bahawa mereka sememangnya ada menerima laporan mengenai pembuangan dan penemuan "anak damit" berkenaan, yang kemudiannya telah pun dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Kemalangan Hospital RIPAS. Menurut jurucakap Jabatan Polis Diraja Brunei, kes itu masih lagi dalam siasatan, maka, pihak Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat yang boleh membantu pihak Polis menyelesaikan kes berkenaan supaya tampil ke depan dengan menghubungi pihak Polis di talian 993 ataupun mengunjungi balai-balai polis yang berhampiran dengan mereka.

No comments:

Post a Comment