Thursday, October 01, 2009

Jadi hamba Allah, bukan hamba Ramadan

SESETENGAH remaja kita sedang asyik beraya. Ziarah, majlis makan dan rumah terbuka masih rancak. Malah, ketika ini masih ada bergaya tayang baju raya. Tak salah semua itu dan memang hak kita beraya selepas berpuasa dan berlapar selama sebulan.

Sebagaimana pernah disebut sebelum ini, sambut raya bukan dengan baju baru saja tetapi yang lebih penting ialah 'jiwa baru' iaitu jiwa yang dididik oleh proses puasa sepanjang Ramadan.

Antara tanda jiwa baru ialah jiwa yang suka kepada kebaikan. Selepas dapat kebaikan, biasanya diikuti dengan kebaikan.

Kalau di sepanjang Ramadan ada solat Tarawih, sepatutnya diikuti dengan kerajinan bersolat selepas Ramadan.

Jika Ramadan suka menderma, sepatutnya diikuti dengan ibadat zakat iaitu membayar sejumlah wang sebagai tanda kebaikan.

Kalau ketika Ramadan banyak berpuasa, maka selepas Ramadan patut diikuti dengan satu lagi kebaikan iaitu puasa enam.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal seolah-olah dia berpuasa selama setahun."

Dengan tambah enam hari dapat kualiti setahun. Buat sedikit tetapi dapatnya banyak. Allah Taala berfirman maksudnya: "Sesiapa yang buat satu kebaikan akan dapat sepuluh kali kebaikan sebagai ganda."

Berpuasa sepanjang Ramadan adalah suatu kewajipan. Suka tak suka, mesti kena buat sebab ia perkara wajib dan fardu. Kalau tidak buat juga, nahaslah kita.

Sementara puasa sunat enam hari pada Syawal ini adalah pilihan kita. Hendak buat boleh dan kalau tidak larat buat, tidaklah mengapa. Tetapi bagi mereka yang mendapat kebaikan pada bulan Ramadan dulu, tidak akan lepaskan peluang ini.

Sebenarnya puasa sunat enam Syawal ini sama juga seperti solat sunat yang mengiringi solat fardu.

Antara fungsi solat sunat ialah hendak menunjukkan cinta kita kepada Tuhan dan ia juga bertindak sebagai penyempurna kepada sebarang kekurangan solat fardu. Sebarang kekurangan ketika puasa Ramadan akan dilindungi puasa sunat enam Syawal.

Manusia ada kelemahan dan kita sering buat silap. Maka puasa kita pun mungkin ada silap. Pertama ialah silap kerana jahil, jadi puasa yang kita laksanakan kurang kualiti.

Silap yang kedua ialah kerana dosa yang kita lakukan ketika berpuasa. Dosa ini akan mengurangkan kualiti puasa.

Remaja yang akan menjadi pewaris agama, bangsa dan negara sepatutnya mengutamakan budaya kualiti. Buat sesuatu itu biarlah dengan sempurna dan terbaik.

Hendak menjaga agama, negara dan bangsa tidak boleh main-main dan 'cincai bocai' saja. Aspek kualiti pula mesti dilatih dan dibudayakan. Antara pusat latihannya ialah puasa enam Syawal.

Kualiti juga semestinya bukan terhad pada masa tertentu dan bukan juga terbatas pada tempat tertentu. Ia semestinya berada di mana-mana, dalam apa keadaan sekalipun dan pada bila-bila masa.

Jadi, beribadat, bersedekah serta bersolat bukan hanya pada Ramadan. Kata ulama, jadilah kamu 'rabbaaniyyiin' dan janganlah jadi 'ramadhaaniyyiin' iaitu jadilah hamba Allah dan janganlah menjadi hamba Ramadan.

Hamba Allah yang berkualiti ialah yang beribadat sepanjang masa, bukan hanya bermusim pada Ramadan. Generasi inilah yang akan memelihara dan mempertahankan negara, agama dan bangsa.

No comments:

Post a Comment