TIDAK ramai yang tahu penyanyi Britney Spears suka mengumpul anak patung antik, atau kegemaran hero filem Pirates Of The Caribbean, Johnny Depp membeli rangka burung merpati.
Dua kisah ini antara kegemaran pelik selebriti. Kegemaran Britney itu turut disertai aktres Demi Moore. Kedua-duanya gemar mengumpul anak patung porselin dan antik. Demi didakwa memiliki satu rumah khas untuk menyimpan koleksi anak patungnya.
Bagi pengarah filem, Quentin Tarantino pula, beliau gemar mengumpul pelbagai jenis papan permainan yang berkaitan dengan siri televisyen seperti I Dream of Jeannie (1965), The Dukes of Hazzard (1979) dan The A-Team (1983).
Bintang filem Eyes Wide Shut, Nicole Kidman pula suka mengumpul wang syiling dan beliau didakwa memiliki koleksi syiling zaman Judean.
Bagi Depp, selain rangka burung merpati, beliau turut mengumpul serangga dan kelawar. Beliau turut dilapor membelanjakan RM58,000 untuk membeli baju hujan milik penulis terkenal, Jack Kerouac.
Hero filem Forrest Gump, Tom Hanks pula didakwa memiliki koleksi mesin taip. Beliau terlalu gilakan hobinya hingga sanggup membelanjakan wang besar untuk membawa mesin taip antik dari seluruh dunia ke kediamannya.
Ketika dalam proses perceraian dengan bekas suami, Billy Bob Thornton, aktres Angelina Jolie dilapor memiliki koleksi pisau antik. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada koleksi itu masih disimpannya pada masa ini, terutama selepas bersama Brad Pitt dan juga kehadiran anaknya yang semakin ramai.
Raja Pop, Michael Jackson pula memiliki koleksi alat muzik Mesir dan juga kereta kuda. Namun barangan peribadinya kini menjadi koleksi ramai. Baru-baru ini sarung tangan yang pernah dibalingnya kepada penonton konsert dijual lebih dengan harga RM145,000.
Supermodel Jerman, Claudia Schiffer pula tertarik kepada serangga dan beliau sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk membeli lukisan dan juga serangga yang dikeringkan dan digantung di dinding rumahnya.
Hero siri televisyen 24, Kiefer Sutherland memiliki koleksi 28 gitar baru dan klasik Gibson yang disimpan di studio rakaman miliknya untuk menjadi sumber inspirasi kepada kumpulan baru.
No comments:
Post a Comment