Saturday, October 10, 2009

Umat Islam dinasihatkan jauhi rokok


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Merokok adalah perbuatan membunuh diri dan lebih parah lagi tabiat itu turut membunuh orang lain yang ada di sekelilingnya terutama ibu bapa dan anak isteri, serta 'hobi' yang sangat mahal harganya sehingga bukan saja boleh menjejaskan kewangan diri perokok dan keluarganya bahkan juga ekonomi negara.

Oleh itu Khatib dalam khutbahnya hari ini menasihatkan umat Islam supaya menjauhkan diri daripada perbuatan merokok kerana agama Islam melarang keras umatnya daripada melakukan apa jua perkara yang boleh membinasakan diri.

Khatib seterusnya menegaskan rokok juga memudaratkan kesihatan orang lain iaitu melalui asap yang dikeluarkan oleh si perokok, sedang asap rokok yang dihembuskan keluar itu adalah lebih berbahaya daripada asap yang disedut si perokok.

Maka orang yang berada di sekeliling perokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit berbanding orang yang merokok dan perbuatan mereka itu samalah seperti mereka membunuh orang lain, tegas Khatib lagi.

Menurut Khatib, rokok bukan saja menjejaskan kesihatan bahkan penyebab pembaziran wang kerana orang yang merokok akan sanggup membelanjakan wang semata-mata untuk kepuasan merokok.

"Memang akan ada orang yang berkata "Ini duitku, bukan duitmu" kerana mereka bebas membelanjakan untuk membeli apa yang mereka suka, tetapi Khatib mengingatkan pembaziran yang dilakukannya bukan saja menjejaskan kewangan dirinya bahkan juga keluarganya dan ekonomi negara.

Khatib memberi contoh jika perokok biasa membelanjakan $3 sehari untuk membeli rokok, maka dalam seminggu ialah $21, dalam sebulan $90, dalam setahun berjumlah $1080, maka itu satu pembaziran sedangkan dalam al-Quran menjelaskan orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.

Selain itu kerajaan terpaksa membelanjakan wang yang banyak bagi kos rawatan untuk merawat penyakit yang diakibatkan oleh asap rokok itu, tambahnya.

Khatib seterusnya menyatakan kajian membuktikan rokok mengandungi bahan yang sangat berbahaya antaranya kimia dan racun yang memudaratkan kesihatan.

Rokok juga penyebab kepada pelbagai jenis penyakit kronik yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru, kanser kerongkong, kanser mulut, katarak, ulser perut, penyakit jantung , strok dan sebagainya, ujar Khatib lagi.

Tidak dinafikan orang yang merokok beranggapan rokok itu boleh memberikan ketenangan dan menghilangkan kerunsingan tetapi hakikatnya rokok bukannya Memberi ketenangan, kata Khatib.

Ketenangan yang mereka sangka itu sebenarnya berpunca daripada ketagihan si perokok terhadap nikotin yang terkandung di dalam rokok, sambungnya, sambil menjelaskan nikotin adalah sejenis racun/dadah yang terdapat dalam daun tembakau yang lebih bisa atau keras kesannya dari segala racun.

Melihat kepada banyaknya keburukan akibat rokok, maka pelbagai langkah telah dibuat untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap bahaya rokok seperti pendidikan kesihatan melalui kempen, forum, ceramah, poster dan risalah, dedah Khatib.

Di samping itu juga kerajaan telah menggubal peraturan larangan merokok di semua bangunan kerajaan, sekolah, tempat awam dan banyak lagi, ujarnya lagi.

"Oleh itu patuhilah peraturan berkenaan yang tidak lain hanyalah bertujuan untuk kebaikan dan keselamatan kita semua dan terimalah nasihat yang baik dan berguna kerana ia menunjukkan diri masih disayangi oleh keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan masyarakat."

Memang berhenti merokok itu sukar, namun yang penting ialah kemahuan, keazaman dan kesabaran serta sentiasa berdoa kepadaNYA diberikan kekuatan dapat melepaskan diri daripada belenggu rokok itu, nasihat Khatib.

No comments:

Post a Comment