Wednesday, October 07, 2009

Microsoft sekat akses ke Hotmail

SAN FRANCISCO 6 Okt. - Microsoft menyekat akses kepada beribu-ribu akaun Hotmail sebagai tindak balas terhadap penggodam komputer yang mencuri maklumat kata laluan dan menyiarkannya di Internet.

Penyangak siber dipercayai menggunakan taktik phishing untuk memperdayakan pengguna perkhidmatan e-mel percuma Microsoft itu supaya mendedahkan maklumat tentang akaun dan kata laluan mereka, menurut syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) itu semalam.

"Kami menyedari maklumat peribadi sebilangan pelanggan Windows Live Hotmail diperoleh secara haram menerusi skim phishing dan didedahkan di sebuah laman web.

"Kami telah mengambil langkah untuk menyekat akses kepada semua akaun yang terdedah dan menyediakan sumber bagi membantu pengguna terlibat mendapat balik akaun mereka," menurut Microsoft.

Syarikat tersebut mendapat tahu tentang masalah itu pada hujung minggu selepas maklumat akaun Hotmail 'beberapa ribu' pengguna, ramai antaranya dilaporkan di Eropah, dipaparkan di sebuah laman web.

Phishing adalah masalah yang membelenggu pengguna Internet dan melibatkan penggunaan apa yang disebut oleh penggodam sebagai 'kejuruteraan sosial' untuk memperdayakan pengguna supaya mendedahkan maklumat di Internet atau memuat turun virus perosak ke dalam komputer.

Taktik phishing termasuk mengirim lampiran e-mel tercemar yang menawarkan isi kandungan menarik seperti gambar seksi selebriti dan menarik pengguna supaya membuka laman web palsu yang kelihatan tidak ubah seperti laman web sah.

"Insiden ini tidak melibatkan kecurian data dalaman Microsoft," jelas firma teknologi berpangkalan di Redmond, Washington itu.

Microsoft juga menasihatkan pengguna Hotmail supaya mengubah kata laluan akaun mereka setiap 90 hari. - AFP

No comments:

Post a Comment