Saturday, September 11, 2010

Jangan mogok lakukan ketaatan kepada Allah

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri al-Mubarak kepada seluruh rakyat negara ini yang beragama Islam.
"Kita, Zaman dan Keadaan akan terus berubah, tetapi bukan agama," menurut Baginda Sultan dalam titah sempena Hari Raya Aidilfitri 1431 Hijrah.
Baginda Sultan turut menegaskan mengenai kewajipan membayar zakat fitrah sebagai ketentuan Syarak.
"Mari kita amalkan ia, dengan semangat ketaatan yang tidak pernah padam," titah Baginda Sultan sebelum bertitah menegaskan mengenai peluang kita untuk beramal selagi hayat masih ada.
Seterusnya Baginda Sultan mengingatkan agar penduduk negara ini tidak mogok melakukan ketaatan kepada Allah SWT.
Baginda bertitah lagi melarang menjadikan Hari Raya untuk dipenuhi dengan kegiatan anti ketaatan, ingkar amalan solat beralasan kesibukan aktiviti hiburan.
Baginda Sultan juga bertitah menegaskan mengenai sikap berbelanja berlebihan sehingga ke tahap boros yang sepatutnya dielakkan di musim Lebaran ini dan menegaskan, "Hari raya bukanlah hari mengundang dosa."
Menurut Baginda Sultan lagi "umat Islam baru keluar berjuang besar menundukkan musuh utama iaitu nafsu dan dijanjikan pahala berlipat kali ganda daripada perjuangan itu."
"Mengapakah kita harus mengakhirinya dengan menghadiahkan kemenangan percuma kepada musuh yang ditewaskan itu?" tegas Baginda Sultan lagi.
Baginda Sultan seterusnya mengingatkan Iblis amat sakit menyaksikan kita mengaut pahala di bulan Ramadan dan kini akan cuba memperdaya umat Islam menderhakai Allah SWT.
Justeru, penderhakaan boleh saja berlaku lebih-lebih lagi jika kita terlampau asyik atau leka dengan bersuka ria.
Baginda Sultan juga menggesa umat silam untuk berdoa supaya ibadat di bulan Ramadan diterima begitu juga amalan di luar bulan Ramadan sebagai bekalan ke akhirat
"Kita perlu bergantung kepada rahmat untuk dunia fana ini, dan mengharapkan semoga Allah SWT akan terus menurunkan limpah dan nikmat berupa keamanan dan kemakmuran," titah Baginda Sultan lagi.
Baginda Sultan mengharapkan supaya rakyat negara ini akan terus beroleh kekuatan dan petunjuk untuk mempertahankan dan memelihara kurniaan yang ada.

Aidilfitri disambut serentak

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Umat Islam di seluruh negara meraikan Hari Raya Aidilfitri serentak dengan rakyat di negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura serta negara-negara Timur Tengah pada hari Jumaat, 1 Syawal 1431 Hijrah, bersamaan dengan 9 September setelah anak bulan kelihatan hari ini.
Pengumuman Hari Raya Aidilfitri dibuat selepas selesai merukyah anak bulan melalui radio dan saluran televisyen tempatan.
Pada awal petang hari ini, pegawai dan kakitangan mahkamah-mahkamah syariah serta warga kerja Kementerian Pembangunan bertugas di lokasi penglihatan anak bulan Syawal di Bukit Shahbandar, Bukit Ambok, Padang Tembak Bukit Agok dan Bukit Lumut.
Majlis bermula kira-kira 5 petang dengan bacaan wirid di lokasi penglihatan dipimpin pegawai Hal ehwal Masjid dan aktiviti merukyah dimulakan kira-kira pukul 6 petang sehingga pukul 7 malam.
Hakim Syar'ie yang bertugas hari ini ialah Hakim Mahkamah Rendah Syariah Haji Hassan Haji Metali, pemangku Hakim Mahkamah Rendah Syariah Pengiran Haji Shahril Azman Pengiran Haji Metusin.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Pehin Dato Seri Setia Haji Suyoi Haji Othman serta setiausaha tetap dan pemangku setiausaha tetap kementerian itu.
Majlis turut dijayakan bersama pegawai-pegawai, kakitangan dan warga Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.

Tuesday, September 07, 2010

Mauri Group Of Restaurant Special Buffet Promotion

Bandar Seri Begawan - For the entire month of Ramadhan until the last day of Hari Raya, the Mauri group of restaurant - Villa Mauri, Prego Mauri and Grazie Mauri - are offering its patrons a special all-you-can-eat buffet.
For just $20 per head (with a 10 per cent service charge), diners can enjoy scrumptious starters, which include tasty meatballs, mouth-watering eggplant cakes, beef carpaccio salads and squid salads.
Patrons can also enjoy appetising main course dishes such as the fillet of fresh fish sautéed in lemon butter sauce and fresh thyme or the chicken breast cooked in fresh pineapple with mushrooms, fresh herbs and cream sauce.
Other special dishes include the medallions of beef, pizza and pasta. There are plenty of choices to select from for the pizza toppings such as chicken, pineapple, vegetarian and beef pepperoni.
The spaghetti and penne can be served with a pasta sauce of the customers preference (bolognese, carbonara and others). And to top it all off, diners can pamper themselves with ice-cream served with fresh fruits.
The $20 buffet excludes drinks and children below the age of 10 are charged at two-dollars per head.
No additional discounts will be offered during this promotion, which excludes drinks. Because the restaurants practise a no wastage policy, additional orders will be served only when all food from initial orders has been consumed.
Villa Mauri at Jalan Muara will be closed on the first day of Hari Raya whereas Grazie Mauri and Prego Mauri will be closed on the second day of Hari Raya

Pasar raya Giant Times Square diserbu pada hari pertama pembukaannya

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Kurang dari seminggu sebelum umat Islam Brunei akan menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri, semakin ramai orang berkunjung ke pusat-pusat membeli-belah untuk mendapatkan barangan hebat dengan tawaran harga istimewa.
Jika pembeli ingin untuk berkunjung dan mendapatkan barangan hebat dengan tawaran istimewa setiap hari, mereka boleh berkunjung ke Pasar raya Giant Times Square yang membuka pintu untuk perniagaan di Times Square, Kampung Jaya Setia, Mukim Berakas 'A', hari ini.
Ratusan pembeli menunggu dari awal pagi lagi untuk merebut peluang bukan sahaja mendapatkan produk dengan tawaran harga istimewa tetapi juga untuk mendapatkan produk bagi persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Hadir untuk menyempurnakan pembukaan rasmi cawangan terbaru pasar raya Giant ialah Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya Haji Bakar. Turut hadir ialah Pengarah Giant Brunei, Awang Abdul Halim Haji Md Yussof dan Pengarah Urusan Times Square Mall, Tan Kah Boon serta jemputan khas.
Cawangan Giant Times Square merupakan cawangan ketiga pasar raya itu dibuka di Brunei selepas cawangan pertama di Tasik Rimba dan cawangan kedua yang dibuka kira-kira sebulan lalu di Q-Lap Mall, Kiulap.
Giant bersempena dengan pembukaan rasmi cawangan terbaru pasar raya itu juga memberikan sebanyak 2,000 beg yang boleh diguna semula kepada pelanggan mereka yang berbelanja $50 ke atas dan 1,000 kotak tisu muka Giant 4 X 100's kepada pelanggan yang berbelanja $100 ke atas.
Acara kemuncak sempena pembukaan Giant terbaru itu adalah pertandingan pembukaan selama sebulan dengan setiap pelanggan yang berbelanja lebih dari $50 dalam setiap pembelian akan berpeluang untuk memasuki pertandingan berkenaan dengan Giant akan menyediakan hadiah utama iaitu baucar wang tunai bernilai $1000, $800 dan $500 serta sepuluh hadiah sagu hati berupa baucar wang tunai $200.
Bersempena dengan pembukaan rasmi Giant Times Square, sumbangan cek berjumlah $8,290.96 telah disampaikan oleh Pengurus Besar Operasi Giant, Awang Abdul Latip Haji Isnin kepada Tabung Orang-Orang Cacat, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis diteruskan dengan pemotongan reben oleh Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya, Awang Abdul Halim, Awang Abdul Latip dan Tan Kah Boon. Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya juga dibawa untuk menyaksikan dengan lebih dekat produk dan kemudahan yang terdapat di pasar raya berkenaan.

Sunday, September 05, 2010

Liau badar ditemui lemas

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Pencarian pelakon tanah air yang disayangi ramai selama empat hari berakhir malam ini setelah mayat beliau ditemui di celah-celah batu di kawasan batu panjang pantai Polo Club Jerudong, di sini, petang ini.
Mayat Haji A.Aris Banih @ Idris atau lebih dikenali sebagai Liau Badar yang hilang pada 29 Ogos lalu ditemui oleh ahli keluarga beliau sendiri yang membuat rondaan menggunakan bot persendirian mereka, sebelum berbuka puasa.
Seorang ahli keluarga beliau, Haji Awang Haji Sidek ketika ditemui berkata beliau bersama Husaini Haji Tuah, Haji Lehan Haji Tengah dan pemandu bot, Rosli Haji Bungsu sedang membuat rondaan akhir sebelum berbuka puasa.
"Ketika hendak pulang ke persisiran pantai, kami berpusing balik untuk membuat rondaan terakhir dengan diiringi bacaan Surah Yasin dan laungan Azan, tiba-tiba Husaini Haji Tuah terlihat bayangan kaki dicelah-celah batu itu kira-kira pukul 6.15 petang," jelas Haji Awang yang pernah dijaga oleh mangsa semasa kecil lagi.
Mereka kemudiannya meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berkhemah di kawasan darat itu untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa.
Anggota Bomba dan Penyelamat terus bertindak ke tempat yang dimaksudkan setelah menerima laporan pada pukul 6.18 petang.
Pasukan berkenaan menyiasat keadaan mangsa lebih kurang 2 minit sebelum memulakan kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa yang tersangkut dicelah-celah batu, bersama Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan pada pukul 8.08 malam oleh ahli Bomba Kanan 108 dari Balai Bomba Jerudong, Duraman Yassin bersama seorang lagi anggota Polis dari Balai Polis Jerudong.
Sejurus selepas mangsa diangkat ke bot Jabatan Bomba dan Penyelamat, pasukan penyelamat yang terdiri dari Bomba dan Penyelamat, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei dan bahagian perubatan membawa mangsa ke persisiran pantai pada pukul 9.10 yang telah pun dibanjiri oleh ratusan teman, peminat dan keluarga mangsa.
Mangsa terus dimasukkan ke dalam kereta Forensik Polis sejurus selepas diturunkan dari bot dengan iringan bacaan surah Al-Fatihah dan dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, di sini untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.
Jenazah disembahyangkan di Masjid Mata-Mata, Gadong dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Makam, Kampung Tamoi, di sini, malam ini juga.
Malam semalam isteri mangsa, Pengiran Simah Pengiran Haji Damit yang pulang ke rumah untuk mandi, dikejarkan ke hospital RIPAS setelah jatuh pengsan akibat khabar angin yang disebarkan melalui rangkaian sosial Facebook dan Twitter.
Allahyarham Haji A.Aris telah pun berkecimpung dalam dunia seni selama lebih 50 tahun dan sering digandingkan dengan pelakon Pengiran Maskuin (Bu Kayah) dalam puluhan drama tempatan di Radio Televisyen Brunei.
Beliau yang sungguh berbakat bukan hanya dalam lakonan TV, tetapi juga teater pentas dan Radio itu diberi penghormatan dengan dianugerahkan Anugerah Insan Seni, Radio Televisyen Brunei pada tahun 2006.
Sejak penglibatan beliau di industri lakonan, beliau sering berkongsi pengalaman dan ilmu bersama pelakon-pelakon baru yang pernah digandingkan bersama beliau, jelas salah seorang pelakon tempatan yang pernah digandingkan bersama beliau ketika berada di tempat kejadian.
Keluarga beliau melahirkan penghargaan kepada pihak-pihak berkuasa yang telah berusaha sedaya upaya dalam gerakan mencari selama empat hari itu dan tidak ketinggalan orang ramai yang terlibat sama.

Times Square jadi tarikan terbaru

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Orang ramai tidak lama lagi akan berpeluang untuk bukan sahaja membeli-belah tetapi juga menikmati pelbagai jenis makanan, hiburan permainan siber dan juga menginap di hotel, apabila sebuah pusat membeli-belah yang baru, Times Square di Berakas akan dibuka bagi kunjungan orang ramai.
Menurut pemaju pusat membeli-belah itu, Times Square akan mula dibuka bagi kunjungan orang ramai pada 5 September ini dengan beberapa kedai dan pasar raya dijangka membuka pintu perniagaan mereka pada hari berkenaan manakala itu, kedai yang lain yang terdapat di pusat membeli-belah itu akan dibuka sepenuhnya pada waktu yang terdekat.
Pusat membeli-belah, Times Square mempunyai 3 tingkat dan selain dari ruangan bagi kedai dan taman permainan elektronik juga akan mempunyai hotel penginapannya tersendiri iaitu, Times Hotel.
Walaupun pusat itu mempunyai tiga tingkat, hanya 2 tingkat adalah dikhaskan bagi kegunaan kedai dengan lebih 80 kedai dari lebih 50 syarikat yang dijangka membuka pintu bagi perniagaan mereka.
Terdapat beberapa pasar raya terkemuka serantau dan tempatan yang akan membuka perniagaan mereka di pusat berkenaan termasuk, Giant dan Ikea. Di samping kedai, terdapat sebuah arked permainan yang luas yang mengetengahkan sebuah permainan simulasi yang berharga lebih $10 ribu dan menawarkan pengalaman permainan yang terkini.
Pusat itu juga mempunyai sebuah medan makanan yang mempunyai lebih 10 gerai makanan yang dapat menampung lebih dari 300 pengunjung. Bagi mereka yang ingin untuk berkunjung ke pusat itu, mereka tidak perlu risau kerana terdapat lebih 300 petak letak kereta di sediakan bagi pusat membeli belah yang berharga lebih dari $28 juta berkenaan.

Tidur semasa terbit fajar singkat rezeki

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Golongan belia di negara ini dinasihatkan supaya bangun mengerjakan Solat Fardu Subuh dan jangan sesekali tidur dari saat terbit fajar sehingga terbit matahari kerana pada ketika itu Allah menurunkan rezeki buat hamba-hambanya yang tidak tidur.
Ibu bapa/penjaga yang bertanggungjawab dan inginkan anak-anaknya mempunyai jiwa yang besar pula disarankan supaya membangunkan anak-anak mereka di awal pagi berkenaan kerana tidur di dalam waktu berkenaan menghalang rezeki daripada datang.
Nasihat dan saranan itu telah diutarakan oleh Penguasa Dakwah dan Tabligh, Ketua Bahagian Kajian dan Penerbitan, Pusat Da'wah Islamiah, Haji Mail Besar dalam Ceramah Keugamaan/Motivasinya yang bertajuk "Belia Berjiwa Besar" pagi ini dalam Majlis Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia Senegara.
Menurutnya ramai kalangan ibu bapa/penjaga masa kini yang terlalu kasihankan anak-anaknya yang tidur lewat tidak akan mendapat tidur yang cukup jika dibangunkan di awal pagi, padahal perbuatan membiarkan mereka tidur itu menyebabkan mereka tertinggal daripada menerima rezeki yang dikurniakan Allah pada waktu berkenaan.
Sedangkan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam sendiri pernah membangunkan anaknya Siti Fatimah Radiallahuanha di awal pagi dengan kakinya sambil antara lain mengatakan "Bangunlah anakku, saksikanlah rezeki yang Allah berikan padamu di pagi hari dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang-orang yang lalai."
Beliau menjelaskan tidur selepas terbit matahari adalah tidak dilarang jika tiada pekerjaan yang akan dilakukan tetapi sekejap saja kerana tidur yang lama itu melesukan badan, umpama bateri yang terlebih cas menyebabkan kuasanya berkurangan pula.
Disebabkan badan yang lemah maka kesihatan pun terganggu sehingga menyebabkan tidak banyak kerja yang dapat dilaksanakan pada hari berkenaan, ujarnya lagi pada majlis yang mengambil tempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah pagi ini.
Haji Mail dalam ceramahnya turut menyentuh mengenai peranan beliau untuk bekerja bagi menyara kehidupan sehariannya sendiri iaitu tidak mengharapkan belas ehsan dari orang lain, walaupun sebab beliau tidak bekerja itu adalah bagi melaksanakan ibadat kepada Allah Ta'ala.
Menurutnya Islam tidak mahu penganutnya bermatlamatkan akhirat semata-mata dan meninggalkan dunia tetapi tidak juga mahu orang-orang Islam bermatlamatkan dunia dan meninggalkan akhirat, kerana Islam menganjurkan penganutnya menjadikan kedua-duanya matlamat.