BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Kurang dari seminggu sebelum umat Islam Brunei akan menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri, semakin ramai orang berkunjung ke pusat-pusat membeli-belah untuk mendapatkan barangan hebat dengan tawaran harga istimewa.
Jika pembeli ingin untuk berkunjung dan mendapatkan barangan hebat dengan tawaran istimewa setiap hari, mereka boleh berkunjung ke Pasar raya Giant Times Square yang membuka pintu untuk perniagaan di Times Square, Kampung Jaya Setia, Mukim Berakas 'A', hari ini.
Ratusan pembeli menunggu dari awal pagi lagi untuk merebut peluang bukan sahaja mendapatkan produk dengan tawaran harga istimewa tetapi juga untuk mendapatkan produk bagi persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Hadir untuk menyempurnakan pembukaan rasmi cawangan terbaru pasar raya Giant ialah Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya Haji Bakar. Turut hadir ialah Pengarah Giant Brunei, Awang Abdul Halim Haji Md Yussof dan Pengarah Urusan Times Square Mall, Tan Kah Boon serta jemputan khas.
Cawangan Giant Times Square merupakan cawangan ketiga pasar raya itu dibuka di Brunei selepas cawangan pertama di Tasik Rimba dan cawangan kedua yang dibuka kira-kira sebulan lalu di Q-Lap Mall, Kiulap.
Giant bersempena dengan pembukaan rasmi cawangan terbaru pasar raya itu juga memberikan sebanyak 2,000 beg yang boleh diguna semula kepada pelanggan mereka yang berbelanja $50 ke atas dan 1,000 kotak tisu muka Giant 4 X 100's kepada pelanggan yang berbelanja $100 ke atas.
Acara kemuncak sempena pembukaan Giant terbaru itu adalah pertandingan pembukaan selama sebulan dengan setiap pelanggan yang berbelanja lebih dari $50 dalam setiap pembelian akan berpeluang untuk memasuki pertandingan berkenaan dengan Giant akan menyediakan hadiah utama iaitu baucar wang tunai bernilai $1000, $800 dan $500 serta sepuluh hadiah sagu hati berupa baucar wang tunai $200.
Bersempena dengan pembukaan rasmi Giant Times Square, sumbangan cek berjumlah $8,290.96 telah disampaikan oleh Pengurus Besar Operasi Giant, Awang Abdul Latip Haji Isnin kepada Tabung Orang-Orang Cacat, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis diteruskan dengan pemotongan reben oleh Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya, Awang Abdul Halim, Awang Abdul Latip dan Tan Kah Boon. Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya juga dibawa untuk menyaksikan dengan lebih dekat produk dan kemudahan yang terdapat di pasar raya berkenaan.
No comments:
Post a Comment