Saturday, September 11, 2010

Aidilfitri disambut serentak

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Umat Islam di seluruh negara meraikan Hari Raya Aidilfitri serentak dengan rakyat di negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura serta negara-negara Timur Tengah pada hari Jumaat, 1 Syawal 1431 Hijrah, bersamaan dengan 9 September setelah anak bulan kelihatan hari ini.
Pengumuman Hari Raya Aidilfitri dibuat selepas selesai merukyah anak bulan melalui radio dan saluran televisyen tempatan.
Pada awal petang hari ini, pegawai dan kakitangan mahkamah-mahkamah syariah serta warga kerja Kementerian Pembangunan bertugas di lokasi penglihatan anak bulan Syawal di Bukit Shahbandar, Bukit Ambok, Padang Tembak Bukit Agok dan Bukit Lumut.
Majlis bermula kira-kira 5 petang dengan bacaan wirid di lokasi penglihatan dipimpin pegawai Hal ehwal Masjid dan aktiviti merukyah dimulakan kira-kira pukul 6 petang sehingga pukul 7 malam.
Hakim Syar'ie yang bertugas hari ini ialah Hakim Mahkamah Rendah Syariah Haji Hassan Haji Metali, pemangku Hakim Mahkamah Rendah Syariah Pengiran Haji Shahril Azman Pengiran Haji Metusin.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Pehin Dato Seri Setia Haji Suyoi Haji Othman serta setiausaha tetap dan pemangku setiausaha tetap kementerian itu.
Majlis turut dijayakan bersama pegawai-pegawai, kakitangan dan warga Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.

No comments:

Post a Comment