BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Orang ramai tidak lama lagi akan berpeluang untuk bukan sahaja membeli-belah tetapi juga menikmati pelbagai jenis makanan, hiburan permainan siber dan juga menginap di hotel, apabila sebuah pusat membeli-belah yang baru, Times Square di Berakas akan dibuka bagi kunjungan orang ramai.
Menurut pemaju pusat membeli-belah itu, Times Square akan mula dibuka bagi kunjungan orang ramai pada 5 September ini dengan beberapa kedai dan pasar raya dijangka membuka pintu perniagaan mereka pada hari berkenaan manakala itu, kedai yang lain yang terdapat di pusat membeli-belah itu akan dibuka sepenuhnya pada waktu yang terdekat.
Pusat membeli-belah, Times Square mempunyai 3 tingkat dan selain dari ruangan bagi kedai dan taman permainan elektronik juga akan mempunyai hotel penginapannya tersendiri iaitu, Times Hotel.
Walaupun pusat itu mempunyai tiga tingkat, hanya 2 tingkat adalah dikhaskan bagi kegunaan kedai dengan lebih 80 kedai dari lebih 50 syarikat yang dijangka membuka pintu bagi perniagaan mereka.
Terdapat beberapa pasar raya terkemuka serantau dan tempatan yang akan membuka perniagaan mereka di pusat berkenaan termasuk, Giant dan Ikea. Di samping kedai, terdapat sebuah arked permainan yang luas yang mengetengahkan sebuah permainan simulasi yang berharga lebih $10 ribu dan menawarkan pengalaman permainan yang terkini.
Pusat itu juga mempunyai sebuah medan makanan yang mempunyai lebih 10 gerai makanan yang dapat menampung lebih dari 300 pengunjung. Bagi mereka yang ingin untuk berkunjung ke pusat itu, mereka tidak perlu risau kerana terdapat lebih 300 petak letak kereta di sediakan bagi pusat membeli belah yang berharga lebih dari $28 juta berkenaan.
No comments:
Post a Comment