Saturday, September 11, 2010

Jangan mogok lakukan ketaatan kepada Allah

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri al-Mubarak kepada seluruh rakyat negara ini yang beragama Islam.
"Kita, Zaman dan Keadaan akan terus berubah, tetapi bukan agama," menurut Baginda Sultan dalam titah sempena Hari Raya Aidilfitri 1431 Hijrah.
Baginda Sultan turut menegaskan mengenai kewajipan membayar zakat fitrah sebagai ketentuan Syarak.
"Mari kita amalkan ia, dengan semangat ketaatan yang tidak pernah padam," titah Baginda Sultan sebelum bertitah menegaskan mengenai peluang kita untuk beramal selagi hayat masih ada.
Seterusnya Baginda Sultan mengingatkan agar penduduk negara ini tidak mogok melakukan ketaatan kepada Allah SWT.
Baginda bertitah lagi melarang menjadikan Hari Raya untuk dipenuhi dengan kegiatan anti ketaatan, ingkar amalan solat beralasan kesibukan aktiviti hiburan.
Baginda Sultan juga bertitah menegaskan mengenai sikap berbelanja berlebihan sehingga ke tahap boros yang sepatutnya dielakkan di musim Lebaran ini dan menegaskan, "Hari raya bukanlah hari mengundang dosa."
Menurut Baginda Sultan lagi "umat Islam baru keluar berjuang besar menundukkan musuh utama iaitu nafsu dan dijanjikan pahala berlipat kali ganda daripada perjuangan itu."
"Mengapakah kita harus mengakhirinya dengan menghadiahkan kemenangan percuma kepada musuh yang ditewaskan itu?" tegas Baginda Sultan lagi.
Baginda Sultan seterusnya mengingatkan Iblis amat sakit menyaksikan kita mengaut pahala di bulan Ramadan dan kini akan cuba memperdaya umat Islam menderhakai Allah SWT.
Justeru, penderhakaan boleh saja berlaku lebih-lebih lagi jika kita terlampau asyik atau leka dengan bersuka ria.
Baginda Sultan juga menggesa umat silam untuk berdoa supaya ibadat di bulan Ramadan diterima begitu juga amalan di luar bulan Ramadan sebagai bekalan ke akhirat
"Kita perlu bergantung kepada rahmat untuk dunia fana ini, dan mengharapkan semoga Allah SWT akan terus menurunkan limpah dan nikmat berupa keamanan dan kemakmuran," titah Baginda Sultan lagi.
Baginda Sultan mengharapkan supaya rakyat negara ini akan terus beroleh kekuatan dan petunjuk untuk mempertahankan dan memelihara kurniaan yang ada.

No comments:

Post a Comment