Thursday, February 18, 2010

BSB di tempat ke 100 dalam tinjauan The Economist

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Bandar Seri Begawan mencatat penarafan yang tinggi daripada segi kestabilan, penjagaan kesihatan dan pendidikan, tetapi berada di tempat agak rendah dari segi infrastruktur, budaya dan persekitaran kehidupan dalam tinjauan bandar raya paling seronok didiami.

Kedudukan BSB berlegar sekitar tempat ke 100 dalam tinjauan tahunan terbaru oleh Unit Inteligensia The Economist, yang membandingkan 140 bandar raya di seluruh dunia.

Kedudukan Brunei tahun ini meningkat sedikit berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Pada 2008, Brunei menduduki tempat ke 108.

Vancouver sekali lagi menduduki tempat teratas senarai, diikuti oleh Vienna dan Melbourne di Australia. Tiga lagi bandar raya di Australia iaitu Sydney, Perth dan Adelaide turut disenaraikan dalam kedudukan 10 teratas.

Penarafan keselesaan relatif bagi 30 petunjuk dinilai berdasarkan lima kategori iaitu kestabilan, penjagaan kesihatan, budaya dan alam sekitar, pendidikan dan juga infrastruktur. Tinjauan itu memberikan penarafan keseluruhan mengikut skala 0 - 100 di mana 0 adalah paling tidak boleh diterima dan 100 adalah yang terbaik dan paling selesa.

Bandar raya-bandar raya ASEAN mendapat penilaian seimbang dalam skala itu (baik dan buruk) memandangkan perbezaan ketara dalam suasana kehidupan di rantau ini. Kedudukan keseluruhan tujuh negara rantau ini tidak menunjukkan sebarang masalah yang signifikan (Australia, New Zealand, Jepun, Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan).

Bagaimanapun, Asia juga menjadi tempat bagi lima bandar raya yang mana kebanyakan aspek kehidupannya amat terhad: Phnom Penh (Kemboja di tempat ke 130), Colombo ( Sri Lanka - 131), Karachi (Pakistan - 135), Port Moresby (Papua New Guinea - 137) dan Dhaka ( Bangladesh - 139).

Ketidakstabilan merupakan perkara paling ketara dalam kedudukan yang mendapat markah rendah, selalunya dalam bentuk kekacauan awam, keganasan dan perang yang mana keadaan ini memburukkan lagi tahap jenayah dan faktor-faktor lain seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur.

Di tempat lain, bandar raya-bandar raya Eropah dan Amerika Utara terus mendominasi kumpulan atasan rangking, bersama-sama dengan bandar raya di Australia dan New Zealand.

Rantau lain turut menerima penarafan kurang memuaskan, terutama di Sub Sahara Afrika dengan kebimbangan keselamatan terus diperhatikan ekoran serangan ke atas pasukan bola sepak kebangsaan Togo semasa kejohanan Piala Negara-negara Afrika 2010 di Angola.

Krisis ekonomi dan sosial yang berterusan di Zimbabwe telah mengakibatkan Harare diletakkan di tempat paling bawah, 140 di kalangan bandar raya-bandar raya yang ditinjau.

Bandar Seri Begawan akan bertukar wajah dengan Pelan Induk Pembangunannya yang merupakan satu pelan komprehensif merangka strategi dan panduan yang jelas bagi pembangunan masa depan ibu negara Brunei ini.

Mengatasi kekhuatiran umat Islam

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Kekhuatiran yang sering timbul dalam diri masyarakat negara ini terutama yang beragama Islam terhadap daging yang dijual sama ada dalam tin atau mentah, kini boleh diatasi menerusi satu ujian mudah bagi mengesan daging babi dalam kandungan makanan menggunakan jalur uji khusus.

Demonstrasi terhadap penggunaan jalur uji bagi mengesan daging babi itu berlangsung di Bilik Harmoni, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan di Lapangan Terbang Lama Berakas hari ini.

Tunjuk cara menggunakan jalur uji bagi mengesan daging babi yang terdapat dalam contoh makanan disampaikan oleh Konsultan Kanan di Jabatan Perubatan Tanaka Kikinzoku Group, Quamrul Hasan dan Jurutera Penyelidikan, Ahli Farmasi di Jabatan Perubatan Jepun, Yuhiro Sakakibara.

Semasa tunjuk cara itu mana-mana jalur uji yang menghasilkan dua baris merah setelah mengujinya ke atas contoh makanan yang dicampur dengan campuran air khusus, bermakna kandungan makanan tersebut menunjukkan mengandungi daging babi. Bagaimanapun jika sebaliknya ia adalah bebas daripada kandungan yang meragukan.

Jalur uji itu dijangka digunakan oleh Juruaudit dan Penganalisis Brunei Halal dalam aktiviti mengesan makanan halal.

Antara objektif tunjuk cara itu adalah untuk menunjukkan cara mudah dan cepat bagi mengesan kandungan babi yang terdapat dalam makanan hanya dengan menggunakan jalur uji berkenaan.

Di samping itu kaedah baru itu juga dapat meyakinkan pembuat keputusan dengan keputusan yang memuaskan akan keberkesanan jalur uji baru itu.

Tanaka Kikinzoku Group dan Jabatan Perubatan Jepun berjaya mengembangkan dan jalur uji sensitif yang pantas dan boleh dipercayai untuk mengesan daging babi dalam contoh makanan.

Keputusan jalur uji boleh dilihat dalam tempoh 10 minit setelah ia dicelup dalam air khas yang dicampurkan dengan contoh daging yang diragui kehalalannya.

Jalur uji yang direka khas bagi mengesan kandungan daging babi tidak memerlukan kemudahan makmal dan kemahiran tertentu untuk mendapatkan keputusannya.

Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bekerjasama dengan Syarikat Tanaka lebih setahun lalu mengenai perkembangan jalur uji di samping sokongan yang diberikan oleh Tanaka ke arah melancarkan Jalur Uji Halal di pasaran.

Dalam mencapai matlamat itu Brunei menyediakan aktiviti halal termasuk potensi besar untuk kejayaan terutama dalam pasaran halal global.

Sementara itu Tanaka diberikan keistimewaan untuk menubuhkan kerjasama tidak rasmi yang pertama dengan Kerajaan Brunei dalam pembangunan jalur uji daging babi di peringkat awal.

Kerjasama itu diharap dapat memberi ruang kerjasama yang dapat memberikan kebaikan untuk kedua-dua negara.

Friday, February 12, 2010

20 sen untuk guna tandas awam mulai 15 Februari

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Ke arah menjadikan negara sebagai sebuah negara bersih dari segala hal, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan mengambil langkah mempertingkatkan tahap kebersihan tandas awam yang di bawah kawalan jabatan berkenaan yang mana akan mula berkuat kuasa pada 15 Februari 2010 ini.

Dalam sidang media bersama Pengerusi Lembaga Bandaran Pengiran Mohammad Ali Pengiran Haji Othman hari ini mengumumkan, "bermula dari tarikh tersebut, tandas awam di bawah kawalan jabatan berkenaan akan dikenakan bayaran 20 sen setiap yang masuk menggunakan tandas awam".

"Penswastaan kerja pembersihan tandas awam adalah bagi memastikan kawalan kebersihan tandas awam sentiasa teratur dan efisien sepanjang masa yang mana syarikat pembersihan SA Glossilite Enterprise akan mengendalikan kerja pembersihan selama dua tahun," tambahnya.

Tandas yang dijaga dengan teratur dan sentiasa dalam keadaan bersih dapat memberikan keselesaan kepada pengguna, tambahan lagi dunia ketika ini diancam dengan wabak penyakit H1N1.

Sepanjang tempoh dua tahun bermula pada 15 Februari 2010, SA Glossilite Enterprise akan mengendalikan kerja pembersihan bagi tujuh tandas awam di bawah kawalan jabatan berkenaan.

Pengerusi Lembaga Bandaran Pengiran Mohammad Ali seterusnya menjelaskan, tandas awam yang akan dikendalikan oleh SA Glossilite Enterprise seperti Gerai Jalan Residency, Tamu Kianggeh, Bangunan Letak Kereta Bertingkat, Letak kereta di Jalan Bendahara, Bangunan Pasar Gadong, Tamu Selera dan Bangunan Pusat Komersial dan Perdagangan Bumiputera Tingkat 1 dan 7.

Kerja pembersihan tanda awam sebelum ini dikendalikan oleh Jabatan Bandaran sehingga pukul 5 petang saja dan dengan penswastaan kerja pembersihan tandas awam ini ia akan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam dan ini tertakluk kepada waktu operasi kawasan dan tempat tersebut.

Sehubungan itu, SA Glossilite Enterprise bertanggungjawab bagi penjagaan kebersihan dan kemudahan tandas di samping itu, orang ramai khususnya pengguna diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjaga kebersihan dan kemudahan tandas.

Pengguna yang menggunakan tandas awam di salah satu tujuh dari lokasi itu akan diberikan resit resmi oleh syarikat berkenaan sejurus membuat pembayaran.

Warga M'sia hadapi tuduhan pecah amanah

BANDAR SERI BEGAWAN - Seorang warganegara Malaysia mengaku tidak bersalah menyalahgunakan wang melebihi $100,000 kepunyaan Abadi Indah Mover Services Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Tertuduh, Richard Ernest Downs, berumur 48 tahun hadir di Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan dan menghadapi tuduhan melakukan kesalahan berkenaan melibatkan wang berjumlah $110,140.05 beberapa kali pada tahun 2006.

Mahkamah menetapkan 10 hingga 18 November ini sebagai tarikh perbicaraan kes berkenaan.

Jika didapati bersalah, Downs boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 5 tahun dan denda.

Tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $10,000 atau seorang penjamin tempatan sehingga perbicaraan selanjutnya.

Brunei Halal diiktiraf dunia

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Jenama halal Brunei boleh menjadi Jenama Halal global pertama yang diiktiraf di dunia.

Pemangku Ketua Eksekutif Ghanim International Food Corporation Sdn. Bhd. Noel Shield menyatakan keyakinan ini semasa membentangkan taklimat peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat Brunei dan Thailand dan Brunei Halal pada seminar Pembinaan Kapasiti : Memenangi Pasaran Asean di sini hari ini.

Dalam taklimatnya itu, beliau berkata: "Jika kita melihat ke seluruh dunia sekarang, belum ada lagi satu Jenama Halal yang diiktiraf, maka itu kami berhasrat untuk menjadikan Brunei Halal sebagai yang pertama mendapat pengiktirafan dunia."

Ghanim International Food Corporation Sdn. Bhd. telah menjadi agen pemasaran bagi Jenama Brunei Halal ke peringkat antarabangsa.

Mengenai produk-produk di bawah Jenama Brunei Halal, Shield berkata: "Kesemua produk yang dijual di bawah label Jenama Brunei Halal ditumpukan kepada operasi peruncitan besar dengan reka pembungkusan yang menarik.

"Program-program pemasaran termasuklah promosi melalui TV, akhbar, majalah, promosi peruncitan serta acara negara.

"Mengenai penubuhan pejabat-pejabat jualan dan pemasaran di peringkat antarabangsa, beliau berkata, seorang ketua eksekutif yang baru akan dilantik tidak lama lagi.

Katanya, Jenama Brunei Halal sekarang ini mengambil kesempatan daripada pengiktirafan tinggi dunia terhadap Kerajaan Brunei yang begitu disanjung tinggi oleh dunia.

Seramai 26 pengeksport dari Thailand kini berada di Brunei untuk mencari peluang perniagaan dengan usahawan tempatan.

Tuesday, February 09, 2010

Pakar bedah Singapura disiasat, caj berlebihan ke atas pesakit Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Seorang doktor terkemuka di Singapura yang didakwa mengenakan bayaran berjuta dolar ke atas seorang pesakit wanita dari Brunei telah dihadapkan ke badan penyiasatan perubatan di negara itu.

Akhbar The Straits Times semalam melaporkan bahawa seorang pakar bedah swasta yang terkemuka, Dr Susan Lim dihadapkan ke Majlis Perubatan Singapura (SMC) bagi penyiasatan disiplin berhubung caj yang beliau kenakan ke atas seorang pesakit dari Brunei.

Setelah pesakit itu meninggalkan Singapura, beliau pergi ke Britain untuk mendapatkan rawatan susulan, tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Penyiasatan itu yang bermula minggu lalu, masih diteruskan semalam. Akhbar The Straits Times melaporkan bahawa kes itu mengambil masa yang lama kerana keadaan bil yang rumit, yang mencecah sehingga berjuta dolar.

Selain daripada yuran yang dikenakan oleh Dr Lim, bil tersebut turut termasuk perkhidmatan yang disediakan oleh pakar-pakar lain. Tetapi ia tidak termasuk caj hospital.

Dr Lim, merupakan salah seorang anggota pasukan pakar bedah yang menjalankan pemindahan hati pertama di Singapura kira-kira dua dekad lalu, telah diwakili oleh Peguam Kanan Sundaresh Menon dan Edwin Tong. Manakala peguam Alvin Yeo mewakili SMC, iaitu badan pengawasan perubatan Singapura.

Apabila ditanya mengenai prosiding itu, Tong berkata beliau tidak boleh memberi ulasan kerana kes itu masih berjalan, lapor The Straits Times.

Penyiasatan SMC adalah sulit. Bagaimanapun majlis itu akan mengeluarkan satu kenyataan akhbar jika doktor berkenaan didapati bersalah. Kenyataan itu akan dikeluarkan sebulan selepas penghakiman dibuat, untuk memberi masa kepada doktor berkenaan, jika dia memutuskan untuk membuat rayuan.

Bagaimanapun, jika doktor tersebut memutuskan untuk membuat rayuan, maka tiada sebarang kenyataan akan dikeluarkan.

Di bawah peraturan yang sedia ada, SMC boleh mengenakan denda maksimum sebanyak $10,000 atau penggantungan sehingga tiga tahun.

Dalam kes yang lebih serius, seseorang doktor boleh dibatalkan pendaftarannya, bermakna beliau tidak lagi boleh mengamalkan profesion kedoktoran.

Dr Lim mempunyai dua buah klinik, Susan Lim Surgery di Pusat Perubatan Gleneagles dan Mount Elizabeth.

Laman web kliniknya turut menyenaraikan beliau sebagai pakar bedah pemindahan dan Profesor Pelawat di Blizard Institute of Cell & Molecular Science, Barts & The London School of Medicine and Dentistry dan seorang felo di Havard Stem Cell Institute, kata laporan itu.

Bendera Besar mula berkibar



BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Lagu Allah Peliharakan Sultan mengisi ruang dataran Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien di ibu negara hari ini menandakan bermulanya sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke 26 Tahun 2010.

Majlis menaikkan Bendera Besar hari ini menjadi membuka tirai kepada sambutan yang bakal dimeriahkan dengan kemuncak perbarisan pada 23 Februari nanti, disempurnakan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Pehin Dato Seri Setia Dr Haji Ahmad Haji Jumat.

Beliau menyampaikan Bendera Besar yang akan berkibar di sepanjang Februari ini kepada Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei hari ini sebelum ia dinaikkan dan iringi nyanyian lagu kebangsaan negara.

Majlis hari ini di mulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Tetap Kementerian kebudayaan Belia dan Sukan Dato Paduka Haji Jemat Haji Ampal sebelum penyerahan bendera dan poster hari kebangsaan kepada pegawai-pegawai daerah.

Suasana di majlis itu hari ini dimeriahkan lagi dengan nyanyian lagu-lagu patriotik yang di sampaikan oleh kumpulan koir Putera-Puteri Darussalam yang menggabungkan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri dan Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien di iringi Pasukan pancaragam Polis Diraja Brunei.

Menurut Dato Paduka Haji Jemat, tema "Negara ku Brunei Darussalam" merupakan ungkapan pengakuan dengan lidah dan difahami dengan minda serta dipersetujui dengan indera bagi pelaksanaan maksud yang di bawanya.

Katanya, perasaan cintakan negara akan terabai jika metafora yang diungkapkan berkenaan tidak difahami dan tidak di dalami dan lebih menakutkan lagi jika tiada rasa cinta akan negara di dalam warganya.

Justeru jelas beliau, bendera menjadi lambang negara dan wajarlah ia di kibarkan secara besar-besaran sempena sambutan hari kebangsaan sebagai tuntutan negara dan tanggungjawab warga negara ini kepada negara.