Tuesday, February 09, 2010

Pakar bedah Singapura disiasat, caj berlebihan ke atas pesakit Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Seorang doktor terkemuka di Singapura yang didakwa mengenakan bayaran berjuta dolar ke atas seorang pesakit wanita dari Brunei telah dihadapkan ke badan penyiasatan perubatan di negara itu.

Akhbar The Straits Times semalam melaporkan bahawa seorang pakar bedah swasta yang terkemuka, Dr Susan Lim dihadapkan ke Majlis Perubatan Singapura (SMC) bagi penyiasatan disiplin berhubung caj yang beliau kenakan ke atas seorang pesakit dari Brunei.

Setelah pesakit itu meninggalkan Singapura, beliau pergi ke Britain untuk mendapatkan rawatan susulan, tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Penyiasatan itu yang bermula minggu lalu, masih diteruskan semalam. Akhbar The Straits Times melaporkan bahawa kes itu mengambil masa yang lama kerana keadaan bil yang rumit, yang mencecah sehingga berjuta dolar.

Selain daripada yuran yang dikenakan oleh Dr Lim, bil tersebut turut termasuk perkhidmatan yang disediakan oleh pakar-pakar lain. Tetapi ia tidak termasuk caj hospital.

Dr Lim, merupakan salah seorang anggota pasukan pakar bedah yang menjalankan pemindahan hati pertama di Singapura kira-kira dua dekad lalu, telah diwakili oleh Peguam Kanan Sundaresh Menon dan Edwin Tong. Manakala peguam Alvin Yeo mewakili SMC, iaitu badan pengawasan perubatan Singapura.

Apabila ditanya mengenai prosiding itu, Tong berkata beliau tidak boleh memberi ulasan kerana kes itu masih berjalan, lapor The Straits Times.

Penyiasatan SMC adalah sulit. Bagaimanapun majlis itu akan mengeluarkan satu kenyataan akhbar jika doktor berkenaan didapati bersalah. Kenyataan itu akan dikeluarkan sebulan selepas penghakiman dibuat, untuk memberi masa kepada doktor berkenaan, jika dia memutuskan untuk membuat rayuan.

Bagaimanapun, jika doktor tersebut memutuskan untuk membuat rayuan, maka tiada sebarang kenyataan akan dikeluarkan.

Di bawah peraturan yang sedia ada, SMC boleh mengenakan denda maksimum sebanyak $10,000 atau penggantungan sehingga tiga tahun.

Dalam kes yang lebih serius, seseorang doktor boleh dibatalkan pendaftarannya, bermakna beliau tidak lagi boleh mengamalkan profesion kedoktoran.

Dr Lim mempunyai dua buah klinik, Susan Lim Surgery di Pusat Perubatan Gleneagles dan Mount Elizabeth.

Laman web kliniknya turut menyenaraikan beliau sebagai pakar bedah pemindahan dan Profesor Pelawat di Blizard Institute of Cell & Molecular Science, Barts & The London School of Medicine and Dentistry dan seorang felo di Havard Stem Cell Institute, kata laporan itu.

No comments:

Post a Comment