BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Ke arah menjadikan negara sebagai sebuah negara bersih dari segala hal, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan mengambil langkah mempertingkatkan tahap kebersihan tandas awam yang di bawah kawalan jabatan berkenaan yang mana akan mula berkuat kuasa pada 15 Februari 2010 ini.
Dalam sidang media bersama Pengerusi Lembaga Bandaran Pengiran Mohammad Ali Pengiran Haji Othman hari ini mengumumkan, "bermula dari tarikh tersebut, tandas awam di bawah kawalan jabatan berkenaan akan dikenakan bayaran 20 sen setiap yang masuk menggunakan tandas awam".
"Penswastaan kerja pembersihan tandas awam adalah bagi memastikan kawalan kebersihan tandas awam sentiasa teratur dan efisien sepanjang masa yang mana syarikat pembersihan SA Glossilite Enterprise akan mengendalikan kerja pembersihan selama dua tahun," tambahnya.
Tandas yang dijaga dengan teratur dan sentiasa dalam keadaan bersih dapat memberikan keselesaan kepada pengguna, tambahan lagi dunia ketika ini diancam dengan wabak penyakit H1N1.
Sepanjang tempoh dua tahun bermula pada 15 Februari 2010, SA Glossilite Enterprise akan mengendalikan kerja pembersihan bagi tujuh tandas awam di bawah kawalan jabatan berkenaan.
Pengerusi Lembaga Bandaran Pengiran Mohammad Ali seterusnya menjelaskan, tandas awam yang akan dikendalikan oleh SA Glossilite Enterprise seperti Gerai Jalan Residency, Tamu Kianggeh, Bangunan Letak Kereta Bertingkat, Letak kereta di Jalan Bendahara, Bangunan Pasar Gadong, Tamu Selera dan Bangunan Pusat Komersial dan Perdagangan Bumiputera Tingkat 1 dan 7.
Kerja pembersihan tanda awam sebelum ini dikendalikan oleh Jabatan Bandaran sehingga pukul 5 petang saja dan dengan penswastaan kerja pembersihan tandas awam ini ia akan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam dan ini tertakluk kepada waktu operasi kawasan dan tempat tersebut.
Sehubungan itu, SA Glossilite Enterprise bertanggungjawab bagi penjagaan kebersihan dan kemudahan tandas di samping itu, orang ramai khususnya pengguna diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjaga kebersihan dan kemudahan tandas.
Pengguna yang menggunakan tandas awam di salah satu tujuh dari lokasi itu akan diberikan resit resmi oleh syarikat berkenaan sejurus membuat pembayaran.
No comments:
Post a Comment