BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Kekhuatiran yang sering timbul dalam diri masyarakat negara ini terutama yang beragama Islam terhadap daging yang dijual sama ada dalam tin atau mentah, kini boleh diatasi menerusi satu ujian mudah bagi mengesan daging babi dalam kandungan makanan menggunakan jalur uji khusus.
Demonstrasi terhadap penggunaan jalur uji bagi mengesan daging babi itu berlangsung di Bilik Harmoni, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan di Lapangan Terbang Lama Berakas hari ini.
Tunjuk cara menggunakan jalur uji bagi mengesan daging babi yang terdapat dalam contoh makanan disampaikan oleh Konsultan Kanan di Jabatan Perubatan Tanaka Kikinzoku Group, Quamrul Hasan dan Jurutera Penyelidikan, Ahli Farmasi di Jabatan Perubatan Jepun, Yuhiro Sakakibara.
Semasa tunjuk cara itu mana-mana jalur uji yang menghasilkan dua baris merah setelah mengujinya ke atas contoh makanan yang dicampur dengan campuran air khusus, bermakna kandungan makanan tersebut menunjukkan mengandungi daging babi. Bagaimanapun jika sebaliknya ia adalah bebas daripada kandungan yang meragukan.
Jalur uji itu dijangka digunakan oleh Juruaudit dan Penganalisis Brunei Halal dalam aktiviti mengesan makanan halal.
Antara objektif tunjuk cara itu adalah untuk menunjukkan cara mudah dan cepat bagi mengesan kandungan babi yang terdapat dalam makanan hanya dengan menggunakan jalur uji berkenaan.
Di samping itu kaedah baru itu juga dapat meyakinkan pembuat keputusan dengan keputusan yang memuaskan akan keberkesanan jalur uji baru itu.
Tanaka Kikinzoku Group dan Jabatan Perubatan Jepun berjaya mengembangkan dan jalur uji sensitif yang pantas dan boleh dipercayai untuk mengesan daging babi dalam contoh makanan.
Keputusan jalur uji boleh dilihat dalam tempoh 10 minit setelah ia dicelup dalam air khas yang dicampurkan dengan contoh daging yang diragui kehalalannya.
Jalur uji yang direka khas bagi mengesan kandungan daging babi tidak memerlukan kemudahan makmal dan kemahiran tertentu untuk mendapatkan keputusannya.
Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bekerjasama dengan Syarikat Tanaka lebih setahun lalu mengenai perkembangan jalur uji di samping sokongan yang diberikan oleh Tanaka ke arah melancarkan Jalur Uji Halal di pasaran.
Dalam mencapai matlamat itu Brunei menyediakan aktiviti halal termasuk potensi besar untuk kejayaan terutama dalam pasaran halal global.
Sementara itu Tanaka diberikan keistimewaan untuk menubuhkan kerjasama tidak rasmi yang pertama dengan Kerajaan Brunei dalam pembangunan jalur uji daging babi di peringkat awal.
Kerjasama itu diharap dapat memberi ruang kerjasama yang dapat memberikan kebaikan untuk kedua-dua negara.
No comments:
Post a Comment