Tuesday, February 09, 2010

Bendera Besar mula berkibar



BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Lagu Allah Peliharakan Sultan mengisi ruang dataran Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien di ibu negara hari ini menandakan bermulanya sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke 26 Tahun 2010.

Majlis menaikkan Bendera Besar hari ini menjadi membuka tirai kepada sambutan yang bakal dimeriahkan dengan kemuncak perbarisan pada 23 Februari nanti, disempurnakan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Pehin Dato Seri Setia Dr Haji Ahmad Haji Jumat.

Beliau menyampaikan Bendera Besar yang akan berkibar di sepanjang Februari ini kepada Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei hari ini sebelum ia dinaikkan dan iringi nyanyian lagu kebangsaan negara.

Majlis hari ini di mulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Tetap Kementerian kebudayaan Belia dan Sukan Dato Paduka Haji Jemat Haji Ampal sebelum penyerahan bendera dan poster hari kebangsaan kepada pegawai-pegawai daerah.

Suasana di majlis itu hari ini dimeriahkan lagi dengan nyanyian lagu-lagu patriotik yang di sampaikan oleh kumpulan koir Putera-Puteri Darussalam yang menggabungkan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri dan Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien di iringi Pasukan pancaragam Polis Diraja Brunei.

Menurut Dato Paduka Haji Jemat, tema "Negara ku Brunei Darussalam" merupakan ungkapan pengakuan dengan lidah dan difahami dengan minda serta dipersetujui dengan indera bagi pelaksanaan maksud yang di bawanya.

Katanya, perasaan cintakan negara akan terabai jika metafora yang diungkapkan berkenaan tidak difahami dan tidak di dalami dan lebih menakutkan lagi jika tiada rasa cinta akan negara di dalam warganya.

Justeru jelas beliau, bendera menjadi lambang negara dan wajarlah ia di kibarkan secara besar-besaran sempena sambutan hari kebangsaan sebagai tuntutan negara dan tanggungjawab warga negara ini kepada negara.

No comments:

Post a Comment