Thursday, February 18, 2010

BSB di tempat ke 100 dalam tinjauan The Economist

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Bandar Seri Begawan mencatat penarafan yang tinggi daripada segi kestabilan, penjagaan kesihatan dan pendidikan, tetapi berada di tempat agak rendah dari segi infrastruktur, budaya dan persekitaran kehidupan dalam tinjauan bandar raya paling seronok didiami.

Kedudukan BSB berlegar sekitar tempat ke 100 dalam tinjauan tahunan terbaru oleh Unit Inteligensia The Economist, yang membandingkan 140 bandar raya di seluruh dunia.

Kedudukan Brunei tahun ini meningkat sedikit berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Pada 2008, Brunei menduduki tempat ke 108.

Vancouver sekali lagi menduduki tempat teratas senarai, diikuti oleh Vienna dan Melbourne di Australia. Tiga lagi bandar raya di Australia iaitu Sydney, Perth dan Adelaide turut disenaraikan dalam kedudukan 10 teratas.

Penarafan keselesaan relatif bagi 30 petunjuk dinilai berdasarkan lima kategori iaitu kestabilan, penjagaan kesihatan, budaya dan alam sekitar, pendidikan dan juga infrastruktur. Tinjauan itu memberikan penarafan keseluruhan mengikut skala 0 - 100 di mana 0 adalah paling tidak boleh diterima dan 100 adalah yang terbaik dan paling selesa.

Bandar raya-bandar raya ASEAN mendapat penilaian seimbang dalam skala itu (baik dan buruk) memandangkan perbezaan ketara dalam suasana kehidupan di rantau ini. Kedudukan keseluruhan tujuh negara rantau ini tidak menunjukkan sebarang masalah yang signifikan (Australia, New Zealand, Jepun, Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan).

Bagaimanapun, Asia juga menjadi tempat bagi lima bandar raya yang mana kebanyakan aspek kehidupannya amat terhad: Phnom Penh (Kemboja di tempat ke 130), Colombo ( Sri Lanka - 131), Karachi (Pakistan - 135), Port Moresby (Papua New Guinea - 137) dan Dhaka ( Bangladesh - 139).

Ketidakstabilan merupakan perkara paling ketara dalam kedudukan yang mendapat markah rendah, selalunya dalam bentuk kekacauan awam, keganasan dan perang yang mana keadaan ini memburukkan lagi tahap jenayah dan faktor-faktor lain seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur.

Di tempat lain, bandar raya-bandar raya Eropah dan Amerika Utara terus mendominasi kumpulan atasan rangking, bersama-sama dengan bandar raya di Australia dan New Zealand.

Rantau lain turut menerima penarafan kurang memuaskan, terutama di Sub Sahara Afrika dengan kebimbangan keselamatan terus diperhatikan ekoran serangan ke atas pasukan bola sepak kebangsaan Togo semasa kejohanan Piala Negara-negara Afrika 2010 di Angola.

Krisis ekonomi dan sosial yang berterusan di Zimbabwe telah mengakibatkan Harare diletakkan di tempat paling bawah, 140 di kalangan bandar raya-bandar raya yang ditinjau.

Bandar Seri Begawan akan bertukar wajah dengan Pelan Induk Pembangunannya yang merupakan satu pelan komprehensif merangka strategi dan panduan yang jelas bagi pembangunan masa depan ibu negara Brunei ini.

No comments:

Post a Comment