Tuesday, September 29, 2009

28.9.09 black out!!!!


GELAP-GELITA: Hanya lampu kereta menerangi jalan raya di kawasan komersil Gadong susulan gangguan di stesen jana kuasa yang menyebabkan hampir 75 peratus negara ini mengalami gangguan bekalan elektrik.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Orang ramai yang masih hangat meraikan Hari Raya Aidilfitri terpaksa menyambut perayaan dalam gelap-gelita apabila sebahagian besar kawasan di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait mengalami gangguan bekalan elektrik bermula kira-kira pukul 7.30 malam ini.

Dalam kejadian itu, hampir 75 peratus terjejas akibat gangguan loji jana kuasa elektrik utama di Daerah Brunei dan Muara, Tutong serta Belait.

Media Permata menerima panggilan daripada orang ramai dari beberapa kawasan di Daerah Brunei dan Muara termasuk kawasan Gadong dan Muara, dari Tutong serta Belait di Lumut yang menyatakan kawasan berkenaan tidak mempunyai bekalan elektrik.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Elektrik, kumpulan jurutera mereka bekerja keras untuk mengembalikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terjejas.

Mulai kira-kira pukul 9 malam, bekalan elektrik mula dipulihkan secara berperingkat-peringkat.

Selain usaha jurutera itu, pusat panggilan '144' jabatan itu juga sibuk bertugas menangani kejadian berkenaan dengan menerima panggilan orang ramai serta memberi maklumat mengenai kedudukan terkini gangguan itu.

Jabatan Perkhidmatan Elektrik berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan memohon maaf kepada orang ramai atas sebarang ketidakselesaan yang berlaku disebabkan kejadian berkenaan, khususnya kerana kejadian berlaku ketika Hari Raya Aidilfitri masih diraikan.

Jabatan juga menyatakan penghargaan kepada orang ramai yang memberi maklumat mengenai kejadian serta sabar menghadapi masalah.

No comments:

Post a Comment