Monday, September 28, 2009

berita dunia sana sini

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Adik kepada Sultan Brunei yang dikenali sebagai seorang kaki perempuan, telah melakukan dua kemunculan mengejut di negara kaya dengan minyak itu, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa pertelingkahan keluarga diraja telah selesai.

Putera Jefri Bolkiah, yang pernah terlibat dengan tindakan undang-undang atas dakwaan penggelapan berbilion-bilion dolar semasa memegang jawatan Menteri Kewangan, dilaporkan tidak bercakap dengan abangnya, Sultan Hasanal Bolkiah sejak 2004.

Namun kemunculan terbaru Jefri, termasuk lawatan ke sebuah masjid minggu lalu bersama beberapa kerabat diraja lain yang telah diterbitkan media Brunei, telah membuka pandangan baru terhadap masalah keluarga pemerintah ini.

"Terdapat lebih banyak hubungan membina antara pelbagai pihak.

"Perbincangan masih diteruskan. Saya tidak mahu merosakkannya dengan membuat anggapan mengenai prosesnya" kata peguam Jefri, David Sandy, yang beribu pejabat di London.

Sandy menolak tanggapan bahawa Jefri tiada tempat lain untuk meminta pertolongan selepas usaha perundangan pada tahun lalu menyaksikan seorang hakim Britain mengeluarkan waran tangkap selepas dia gagal hadir ke mahkamah.

"Saya rasa ia bukan gambaran yang tepat dalam hubungan antara mereka," kata Sandy lagi.

Jefri gagal hadir ke mahkamah untuk membela diri atas dakwaan melanggar perintah yang memerlukannya menyerahkan 3 bilion pound (RM7.36 bilion) kepada Agensi Rasuah Brunei.

Setahun yang lalu, Jefri dalam wawancara dari kediamannya di Paris berkata, dia telah cuba untuk berunding mengenai asetnya yang masih ada namun gagal.

"Dengan perasaan sedih, saya menyimpulkan bahawa perdamaian dengan satu lagi pihak adalah tidak mungkin dicapai dan perebutan tidak adil ini akan diteruskan, seterusnya mewujudkan tekanan kepada saya dan keluarga saya," katanya kepada akhbar Sunday Telegraph ketika itu.

Tambah Jefri, kebanyakan wang yang didakwa digelapkan itu telah dilaburkan dengan bijak dan digunakan untuk membiayai hospital serta kemudahan awam yang lain.

"Saya bukanlah malaikat tetapi saya telah menjadi kambing hitam dalam kes ini," katanya lagi. - AFP


TEHERAN 27 Sept. - Iran menyatakan yang ia telah menguji tiga peluru berpandu jarak dekatnya hari ini dalam ujian yang dilakukan oleh pasukan Pengawal Revolusi, satu pertunjukan kekuatan beberapa hari sahaja selepas Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya mengutuk Teheran berhubung fasiliti nuklear bawah tanah yang dioperasikan secara rahsia.

Saluran berita berbahasa Inggeris, Press TV melaporkan, Fateh-110, Tondar-69 dan Zelzal dilancarkan dalam latihan pertahanan peluru berpandu, namun tidak memberi maklumat mengenai jarak atau perincian lain. Semuanya adalah peluru berpandu jarak dekat, jenis permukaan ke permukaan.

Ketua Tentera Udara Pengawal Revolusi, Jeneral Hossein Salami memberitahu pemberita, Iran telah melancarkan beberapa peluru berpandu secara serentak buat pertama kali.

Press TV menunjukkan babak sekurang-kurangnya dua peluru berpandu dilancarkan serentak yang didakwa dijalankan dalam ujian di padang pasir tengah Iran. Kedengaran laungan 'Allahuakbar' ketika ia dilancarkan.

"Mesej latihan perang ini adalah untuk negara-negara sombong yang mengugut Iran bahawa kami mampu membalas permusuhan mereka dengan kuat dan cepat," demikian menurut laman web televisyen negara itu yang memetik kenyataan Hossein.

Beliau berkata, Iran telah mengurangkan bilangan peluru berpandu dan jaraknya supaya ia dapat digunakan dengan segera.

Tambahnya, Iran juga akan menguji peluru berpandu jarak sederhana, Shahab-1 dan Shahab-2 pada malam ini sebelum melancarkan peluru berpandu jarak jauh, Shahab-3, esok, dalam latihan peperangan yang berlanjutan selama beberapa hari. - AP


BAITULMAQDIS 27 Sept. - Polis Israel hari ini meleraikan pergaduhan antara penganut Islam dan Yahudi di Masjidil al-Aqsa, kawasan panas yang menjadi tuntutan antara dua agama itu.

Pertempuran tercetus selepas sekumpulan orang Yahudi datang beribadat di tapak yang dikenali di kalangan mereka yang beragama Islam sebagai al-Haram al-Sharif manakala Yahudi menggelarnya sebagai Temple Mount, kata polis.

"Satu kumpulan orang Yahudi yang datang beribadat di Temple Mount telah diserang oleh hampir 150 orang Islam yang membaling batu ke arah mereka dan kami campur tangan untuk mengawal keadaan.

"Dua anggota polis cedera dan keadaan telah kembali tenang," kata jurucakap polis, Micky Rosenfeld.

Polis Israel menutup kawasan tersebut ketika seruan dari pembesar suara masjid-masjid berdekatan meminta orang ramai berkumpul di tapak tersebut yang merupakan kawasan yang dianggap paling suci oleh Yahudi dan tapak ketiga suci bagi Islam.

Pertempuran tercetus ketika Israel bersedia menyambut Yom Kippur atau Hari Penebusan, hari paling suci dalam kalendar Yahudi yang mana seluruh negara tidak akan beroperasi dan mengasingkan diri dari dunia termasuk penutupan lapangan terbang dan sempadan.

Israel menawan Baitulmaqdis dari Jordan dalam Perang Enam Hari 1967 dan kemudian menjajahnya bersama dengan timur bandar itu dalam tindakan yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa. - AFP


LOS ANGELES: Peminat setia Michael Jackson berkhemah selama beberapa hari di pinggir bandar ini bagi mendapatkan tiket tayangan pembukaan sebuah filem mengenai Raja Pop itu sedang berlatih untuk mengadakan satu konsert jelajah yang terbatal akibat kematiannya.

Menjelang pagi kelmarin, kira-kira 300 orang beratur sambil duduk di hadapan ‘Nokia Theatre’, tempat jualan tiket bagi pembukaan This Is It, semalam.

“Kami tidak tidur, kami berjaga sepanjang malam,” kata Leticia Martin yang mengambil satu tempat berhampiran di hadapan peminat fanatik lain yang sedang berbaris.

Juruteknik perubatan berusia 26 tahun itu menghabiskan sejak malam Jumaat belajar tarian lagu Thriller nyanyian Jackson sambil memakai pakaian ‘zombie’ sekali gus menghiburkan orang lain.

Sesetengah peminat menggunakan beg tidur di atas konkrit sementara yang lain tidur di atas kerusi lipat.

“Kami seperti satu keluarga besar,” kata Martin ketika meninjau kawasan perkhemahan itu.

Peminat Jackson tidak sabar-sabar mendapatkan sesetengah daripada 500 tiket filemnya yang mana promoternya berkata ia akan memperingati konsert This Is It yang dirancang Jackson di London.

Bagi sesetengah masih menunggu di sini, mendapatkan sebahagian sejarah muzik pop milik Jackson seperti tiket itu amat bernilai walaupun terpaksa bergantung kepada tandas awam dan ponteng kerja hingga terlepas tidur. - AFP


NEW YORK: Presiden Libya, Muammar Gaddafi 'menyerang' anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam ucapan pertamanya dan menekankan bahawa Perhimpunan Agung adalah 'Parlimen dunia' - badan dianggotai 192 negara yang perlu menetapkan keputusan bagi Majlis Keselamatan.

Sejak dua dekad lalu, negara kuasa ekonomi seperti Jerman, India, Jepun dan Brazil menggesa pembaharuan keanggotaan Majlis Keselamatan dan mewujudkan kerusi tambahan bagi anggota tetap.

Gaddafi yang berucap untuk kali pertama sejak mengambil alih kuasa 40 tahun lalu, bagaimanapun berkata, tambahan kerusi tetap adalah tidak produktif

Beliau sebaliknya menggesa pertubuhan dan gabungan serantau seperti Liga Arab, Pertubuhan Negara Amerika, Kesatuan Afrika dan Pergerakan Negara Berkecuali diberi kerusi tetap dalam Majlis Keselamatan badan dunia itu.

Gaddafi berkata, lima negara anggota tetap tidak perlu diberi kuasa veto, atau PBB wajar memperbesarkan majlis dengan tambahan negara anggota.

"Sekarang tiada lagi rasa hormat kepada PBB dan Perhimpunan Agung," katanya.

Dalam ucapan selama satu setengah jam di New York semalam, Gaddafi berkata negara yang mempunyai kuasa veto di Majlis Keselamatan tidak mempedulikan pandangan 192 negara anggota Perhimpunan Agung dan prinsip dalam piagam PBB.

Gaddafi turut mengemukakan cadangan penyelesaian masalah pendatang haram dari pesisir Afrika Utara ke Eropah. � Agensi


BANGKOK: Sejenis vaksin yang masih dalam percubaan didapati mampu mencegah jangkitan virus HIV, penemuan pertama dalam usaha mencari penawar penyakit maut itu yang sebelum ini dikatakan hampir mustahil dapat diubati.

Kumpulan penyelidik yang melakukan suntikan percubaan membabitkan lebih 16,000 sukarelawan di Thailand berkata, vaksin berkenaan dapat mengurangkan risiko jangkitan HIV hingga 31 peratus.

Ketua kajian bagi tentera Amerika Syarikat yang menaja penyelidikan itu dengan Institut Kebangsaan Bagi Alahan dan Penyakit Berjangkit, Kol Jerome Kim berkata:

"Walaupun kesannya masih dianggap sederhana, ia adalah bukti pertama bahawa kita boleh mendapatkan vaksin pencegah yang selamat dan mujarab."

Pengarah institut berkenaan, Dr Anthony Fauci berkata penemuan itu bukan 'penghujung jalan' tetapi pada masa sama beliau terkejut serta amat gembira dengan hasil penyelidikan itu.

"Ia memberi saya perasaan optimis mengenai kemungkinan memperbaiki keputusan kajian itu dan menghasilkan vaksin Aids yang lebih berkesan. Ini adalah sesuatu yang mampu kita lakukan," katanya dalam satu temuramah melalui telefon.

Beliau berkata, apa juga vaksin pencegahan yang dihasilkan mampu memberi faedah yang besar dalam dunia perubatan, berikutan kira-kira 7,500 orang menjadi mangsa baru HIV setiap hari dengan dua juta kematian dilaporkan pada 2007.

"Penemuan vaksin ini adalah sesuatu yang amat bersejarah. Ia mungkin mengambil masa dan banyak sumber tenaga tetapi tidak syak lagi, usaha untuk mencari vaksin Aids akan diperluaskan," kata Pengarah Eksekutif Pakatan Sokongan Vaksin Aids, sebuah agensi antarabangsa yang berusaha menghasilkan vaksin Aids, Mitchell Warren.

Kementerian Kesihatan Awam Thailand melaksanakan kajian menggunakan elemen virus HIV yang biasa dihadapi di Thailand.

Bagaimanapun kumpulan saintis itu berkata, sama ada vaksin berkenaan mampu memberi kesan serupa bagi jenis virus Aids di Amerika, Afrika dan di wilayah lain, belum dapat dipastikan. � AP


LONDON: Seorang pakar pergigian Britain mengarahkan bakal menantunya menjalani rawatan gigi sebagai syarat sebelum lelaki itu boleh melangsungkan perkahwinan dengan anak perempuannya.

"Saya tidak sanggup menyaksikan anak perempuan saya mengahwini pemuda yang mempunyai susunan gigi tidak teratur, apa lagi berlubang dan tidak dirawat," kata Dr Philip Lewis.

Bakal menantunya Gordon Taylor, bagaimanapun tidak membantah dan bersetuju menjalani rawatan serta pembedahan mencantikkan giginya


SYDNEY: Ribut debu terburuk dalam tempoh 70 tahun, melanda pantai timur Australia yang padat penduduk, menyebabkan ruang udara bertukar kemerahan dan hampir menutup lapangan terbang terbesar di negara itu, ketika berjuta-juta penduduk awam batuk dan sukar bernafas.

Tiada kecederaan dalam kejadian sepanjang malam semalam yang menyebabkan warna oren kemerahan menakutkan di seluruh Sydney pada waktu subuh, tetapi perkhidmatan ambulans melaporkan menerima panggilan kecemasan daripada penduduk yang sukar bernafas.

Pihak polis turut memberi amaran kepada pemandu kenderaan agar lebih berhati-hati di jalan raya.

Penerbangan antarabangsa dialihkan ke beberapa bandar lain, manakala tiga penerbangan dari New Zealand terpaksa berpatah balik.

Jadual penerbangan tempatan di Sydney turut kucar-kacir apabila operasi di Lapangan Terbang Sydney terjejas berikutan jarak pemandangan yang tidak selamat, manakala penumpang feri di pelabuhan di bandaraya itu terkandas beberapa jam berikutan masalah keselamatan.

Pengawal indeks kualiti udara di New South Wales, merekodkan tahap pencemaran pada kadar 4,164 di Sydney, 3,964 mata melebihi paras bahaya iaitu 200.

"Mereka yang berdepan risiko tinggi ialah kanak-kanak, warga tua, wanita dan penduduk yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru. Habuk daripada ribut itu boleh meningkatkan risiko penyakit bagi golongan ini," kata Waine Smith dari jabatan kesihatan negeri New South Wales.

Ribut debu yang bertiup dari wilayah pedalaman itu memaksa kebanyakan penduduk berlindung di dalam rumah, turut menghakis beribu-ribu tan permukaan tanah subur.

Debu 'menenggelamkan' bandar di pedalaman Australia, Broken Hill kelmarin menyebabkan sebuah lombong zink terpaksa ditutup sebelum bergerak sejauh 1,167 kilometer ke timur menuju Sydney dan mengakibatkan seluruh ruang udara bandaraya itu bertukar warna menjadi merah.

Menjelang tengah hari ia mula merebak ke negeri Queensland di selatan Australia.

Pihak berkuasa kesihatan menggesa penduduk terus tinggal di rumah masing-masing dan memberi amaran ribut debu dijangka berterusan sehingga esok.

Biro Kaji Cuaca New South Wales berkata cuaca sejuk di negeri itu menyebabkan ribut dan angin kencang meniup debu dari pedalaman sebelum melanda wilayah lain manakala angin selaju 100 kilometer sejam turut menyebabkan kebakaran.

"Fenomena ini memang tidak dijangka. Kami melihat debu, angin dan kebakaran yang berlaku serentak," kata Dick Whitaker dari bahagian kaji cuaca


TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad memberi amaran akan 'memotong tangan' mana-mana pihak yang mahu menyerang Iran dan mengulangi tuntutannya agar tentera asing pimpinan Amerika Syarikat (AS) meninggalkan Iraq dan Afghanistan.

"Tidak ada kuasa yang berani melancarkan keganasan ke atas Iran.
Iran hari ini mempunyai pengalaman dan kekuatan," kata Ahmadinejad dalam ucapan sempena ulang tahun tercetusnya perang Iran-Iraq pada 1980.

"Angkatan tentera kami bersedia menentang musuh. Jika sesiapa mahu menembak peluru ke arah kami, kami akan potong tangan mereka," katanya.

"Seluruh dunia perlu sedar bahawa rakyat Iran akan bersungguh-sungguh mempertahankan hak dan negara mereka," kata Ahmadinejad yang berlepas dari Iran ke New York selepas ucapan itu untuk menghadiri perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Ucapan Ahmadinejad diikuti dengan satu perarakan tentera, acara tahunan menandakan tercetusnya perang di antara Iran dan Iraq yang berlanjutan hampir sedekad.

Hampir sejuta penduduk di kedua-dua pihak mati dalam perang yang tercetus sebaik saja selepas revolusi Islam di Iran pada 1979.

Sementara itu, di TEL AVIV, Israel dilaporkan cuba meyakinkan delegasi perhimpunan agung PBB untuk meninggalkan dewan ketika presiden Iran itu menyampaikan ucapan di perhimpunan terbabit.

"Beberapa hari lalu, beliau memberikan satu ucapan baru yang berbaur kebencian," kata duta PBB Israel, Gabriela Shalev kepada radio tentera yang merujuk kepada Ahmadinejad yang Jumaat lalu sekali lagi menyifatkan Holocaust sebagai satu mitos dalam satu kenyataan yang mencetuskan kemarahan negara Barat dan Russia.










No comments:

Post a Comment