Thursday, December 17, 2009

Jangan jadi mangsa baru sindiket mengedar dadah

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Biro Kawalan Narkotik (BKN) memandang serius kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang mengeksploitasi rakyat negara ini dan dijadikan penghantar mengedar dadah bagi pihak mereka.

Sehingga kini empat orang, masing-masing dua lelaki dan dua wanita tempatan dalam tahanan di luar negara dengan dua orang di China, seorang di Australia dan yang terbaru ialah pada Februari lalu apabila seorang lagi rakyat negara ini ditahan, kali ini di Peru kerana terbabit dengan pengedaran dadah antarabangsa.

Dalang sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikenal pasti di rantau ini adalah berbangsa Afrika Barat dipercayai dari Nigeria yang sudah dikenal pasti berpangkalan di Malaysia.

Sasaran mangsa yang diperalatkan untuk pengedaran dadah adalah penduduk rantau Asia termasuk rakyat negara ini, kata Ketua Pegawai Narkotik Bahagian Pendidikan, Pencegahan dan Penyelidikan, Haji Abd Manap Haji Lampuh.

Anggota sindiket terbabit menggunakan pelbagai helah dan taktik termasuk tawaran kerja dengan gaji lumayan untuk memerangkap mangsa termasuk helah menggunakan syarikat yang sah yang kononnya menawarkan pekerjaan melalui ruang sembang Internet atau melalui e-mel, selain sindiket terbabit secara terus menawarkan pekerjaan sebagai penghantar barang dari satu lokasi ke satu lokasi.

Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan mengenai peranan dan undang-undang Biro Kawalan Narkotik dan sindiket pengedaran antarabangsa kepada rombongan pelawat dari Himpunan Wanita Pusat Parti Pembangunan Bangsa ke jabatan itu.

Selain mendengar taklimat rombongan juga berpeluang menyaksikan pameran dadah, jenis dadah dan peralatan yang lazim diubahsuai oleh penagih.

Baru-baru ini BKN dalam kenyataannya mengesahkan seorang lelaki warga Brunei dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Perantaraan Kedua Mahkamah Rakyat Tiajin, China, pada 6 November lalu atas kesalahan dadah.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pada 23 Jun tahun ini oleh pihak berkuasa China kerana didapati membawa masuk dadah jenis heroin seberat 995.72 gram ke negara berkenaan.

Penahanan lelaki terbabit selaku penumpang pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur dibuat setelah Biro Anti Penyeludupan, Kastam Tianjin membuat pemeriksaan ke atas penumpang pesawat itu.

Ekoran pemeriksaan itu pihak berkuasa China menemui dadah seberat 995.73 gram yang disembunyikan dalam lapisan dinding beg pakaian lelaki terbabit, kata kenyataan BKN.

Lelaki itu dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang beroperasi di luar negara dan dipercayai didalangi oleh satu sindiket dadah antarabangsa warga Afrika yang beroperasi menggunakan taktik sembang Internet dan BKN percaya sindiket dan lelaki warga tempatan itu membuat pertemuan di Malaysia.

Sementara dalam kes berasingan seorang lagi warga Brunei menjadi mangsa setelah ditahan oleh pihak berkuasa Australia di Sydney dan kini kes berkenaan masih di bawah siasatan pihak berkuasa negara itu.

BKN mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan kepada ibu bapa supaya mengambil perhatian terhadap anak mereka supaya tidak mudah terpedaya dengan janji dan tawaran pekerjaan atau pelancongan di luar negara, terutama daripada sumber yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

BKN juga meminta orang ramai melaporkan maklumat yang mencurigakan kepada BKN di talian 2448877 pada waktu pejabat atau talian 8777444.

No comments:

Post a Comment