BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun didenda $1,600 atau dipenjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda oleh Mahkamah Majistret Bandar hari ini kerana menempeleng dan menumbuk isterinya yang sedang mengandung pada Julai 2004.
Tertuduh, Mohd Jalani Haji Morni melempang dan menumbuk isterinya di muka dan bahagian belakang badan di rumah mereka di Kampung Bolkiah A pada 27 Julai 2004. Mohd Jalani dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada Mac 2008 apabila beliau dibicarakan terhadap pertuduhan itu.
Pendakwaan, dilakukan oleh Inspektor Polis Pengiran Haji Yusra Pengiran Haji Mohammad, menampilkan sembilan saksi termasuk bekas isteri tertuduh dan dua anaknya yang menyaksikan pergaduhan dan anggota polis dari Balai Polis Kampung Ayer, Unit Keganasan Wanita dan Kanak-kanak serta seorang doktor dari Hospital RIPAS yang meneliti kecederaan mangsa.
Ketika perbicaraan, defendan mendakwa fikiran-nya bercelaru dan mahkamah mengarahkan tertuduh direman di Hospital RIPAS selama sebulan untuk menilai kesihatan mentalnya.
Pegawai perubatan mengisytiharkan tertuduh layak untuk menghadiri perbicaraan memandangkan beliau mengalami fikiran tidak tenteram dan bukannya masalah mental.
Majistret mendapati kes pendakwaan ke atas tertuduh mengatasi keraguan mahkamah dan berpuas hati dengan bukti ditunjukkan oleh saksi pendakwa.
No comments:
Post a Comment