BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Mulai 1 Januari, Brunei menguatkuasakan Skim Persaraan Caruman Tambahan (SCP) bagi kedua-dua sektor awam dan swasta, khususnya mereka yang di bawah Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) yang juga mempunyai kaitan dengan pertambahan umur persaraan kepada 60 tahun.
Kerajaan juga komited menjalankan sebarang kajian terhadap apa jua dasar yang membawa ke arah kesejahteraan rakyat dan penduduk, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Tahun Baru 2010 yang disiarkan ke seluruh negara malam ini.
"Dalam hubungan ini, Beta percaya masih ada ruang untuk meneliti dan memperkenalkan skim-skim penabungan alternatif atau tambahan bagi menampung keperluan-keperluan asas, pada misalnya keperluan perumahan," titah baginda.
Baginda Sultan bertitah usaha pembangunan turut mendapat perhatian dan mengalualukan langkah pembaikan yang telah dan sedang dijalankan untuk mempercepatkan serta mempermudah lagi urusan orang ramai, termasuk yang berhubungan dengan memulakan perniagaan.
Baginda percaya dengan pembaikan-pembaikan itu, tidak mustahil Brunei meningkatkan lagi kedudukan negara dalam senarai "Ease of Doing Business".
"Menurut International Financial Corporation, World Bank, bagi tahun 2010, negara kita berada dalam kedudukan yang ke-96 dari sejumlah 183 negara yang dinilai," tegas baginda.
Baginda Sultan bertitah jika negara dapat memenuhi etika perkhidmatan yang telus tanpa pilih kasih dan rasuah, semua yang dirancang dan diusahakan akan berjalan dengan lancar serta penuh berkat.
"Inilah integriti yang perlu ada pada Perkhidmatan Awam. Tanpa integriti ini, sesebuah negara boleh runtuh, atau paling tidak, akan kehilangan daya membangunnya," titah baginda.
Ketika mengimbas kembali tahun 2009, Baginda Sultan bertitah negara berjaya melalui pelbagai liku dengan penuh cekal dengan beberapa kejutan yang jarang berlaku seperti banjir dan tanah susur serta Influenza A H1N1 dan semua itu mempunyai hikmah supaya semua orang akan bijak dan siap siaga menangani masalah.
"Antara cara yang bijak itu ialah menyiapkan diri dengan perancangan-perancangan besar, dan tidak mengapa, kalau perancangan-perancangan itu diasaskan kepada senario kes terburuk kerana dengan cara itu, persediaan kita akan lebih kemas lagi bagi menghadapi cabaran dan keadaan-keadaan mendatang," titah baginda.
Baginda Sultan juga bertitah 2009 turut membawa beberapa pencapaian termasuk usaha yang terus giat dilaksanakan oleh negara untuk meningkatkan pengeluaran padi tempatan sebagai usaha ke arah jaminan keselamatan makanan negara.
"Beta gembira, kerana usaha yang digerakkan oleh kerajaan ini, nampak-nampaknya berjaya menyuntik semangat rakyat untuk sama-sama aktif dalam bidang pertanian. Beta ada mendengar, ramai kini yang suka dipanggil petani, mengusahakan tanah-tanah mereka yang dahulunya hanya terbiar.
"Ini tidak syak lagi, adalah satu perkembangan yang amat menggalakkan bagi negara," titah baginda.
Baginda Sultan turut bertitah sudah terdapat anak tempatan yang giat melaksanakan pelbagai usaha dalam industri pemakanan dan mereka juga mampu menyertai ekspo ke peringkat antarabangsa untuk mempromosikan barangan mereka dan semua itu adalah jalan menuju ke arah kemakmuran dan kesejahteraan.
Dalam titah itu, Baginda Sultan turut menyentuh mengenai perkembangan serantau serta antarabangsa sambil memberi ingatan semua pihak harus bersama-sama menghadapi pelbagai cabaran serta dugaan yang datang.
Baginda Sultan menekankan adalah amat penting untuk membina sikap terus berbaik-baik dengan semua negara sahabat dengan prinsip yang dipegang itu adalah selaras dengan ajaran agama yang menghendaki umatnya untuk saling berkenalan dengan semua bangsa dan kaum di dunia.
"Namun perkenalan itu hendaklah diikat oleh pra syarat 'hormat-menghormati', dalam erti kata, kita menghormati sahabat dan sahabat juga menghormati kita.
"Ini diterjemahkan melalui pelbagai tindak-tanduk, termasuk perkataan, tulisan dan seumpamanya.
"Apa-apa jua yang boleh menyinggung perasaan sahabat, semua itu dapat saja dianggap sebagai tidak memenuhi pra syarat tersebut," tegas Baginda Sultan.
No comments:
Post a Comment