BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam jelas dilihat semasa berangkat mengadakan lawatan kerja ke Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Sekolah Al-Falah (AFS) hari ini.
Keberangkatan Baginda Sultan menyingkap segala persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya beberapa pihak di mana Baginda Sultan menyentuh beberapa perkara bagi memantapkan lagi ilmu agama di negara ini.
Pada sesi itu Baginda Sultan bertitah menyentuh mengenai Majlis Ugama Islam yang meluluskan permohonan untuk mendapatkan bangunan Sekolah Al-Falah dan kelambatan pihak terbabit bertindak adalah mendukacitakan.
Baginda Sultan turut menekan jika Baginda Sultan tidak mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan, mungkin 10 tahun pun belum lagi selesai masalah itu.
"Ini cara yang perlu kita atasi, ubah sedikit perkara itu kerana bukan perkara yang sulit," Baginda Sultan bertitah menegaskan.
Titah Baginda Sultan, lagi ibu bapa suka memasukan anak mereka ke sekolah berkenaan tapi disebabkan oleh perkara terbabit permohonan kemasukan terpaksa ditolak.
Baginda Sultan turut menyentuh mengenai statistik pelajar yang bersekolah agama dan pelajar yang tidak bersekolah agama.
Sementara itu seorang pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Agama memaklumkan Jabatan Pendidikan Islam membuat kajian di kalangan pelajar beragama Islam yang tidak bersekolah agama dan pelajar yang beragama Islam yang tidak menamatkan persekolahan agama mereka.
Menurut pegawai, itu hasil kajian yang dibuat di sekolah rendah, menengah dan swasta melalui pegawai agama yang ditempatkan di sana mendapati seramai 712 kanak-kanak beragama Islam, tidak bersekolah agama dan 1,089 kanak-kanak beragama Islam yang bersekolah agama tidak menamatkan persekolahan agama mereka.
Di samping itu, pihak berkenaan turut mengarahkan guru mempelawa kanak-kanak supaya memasuki sekolah agama.
Pada bulan Mei dan Jun 2009, seramai 209 kanak-kanak mendaftar di sekolah agama di kawasan yang berdekatan rumah mereka.
Langkah ke arah mewajibkan sekolah agama di negara ini ialah dengan menggubal akta yang digelar Perintah Pendidikan Ugama dengan kerjasama Unit Perundangan.
"Draf Perintah Pendidikan Agama sudah pun dihadapkan ke Pejabat Peguam Negara untuk penelitian pada 25 Mei 2009 dan pihak Kementerian Hal Ehwal Agama, JPI dan Unit Perundangan Islam dan Pejabat Peguam Negara sentiasa bermesyuarat untuk meneliti akta perintah pendidikan agama itu sehingga kini," tambahnya.
No comments:
Post a Comment