Thursday, January 28, 2010

Pendidikan agama ubat gejala sosial

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah gejala sosial yang melanda masyarakat masa kini masih ada satu saja lagi ubat, iaitu pendidikan agama.

Baginda Sultan Bertitah: "Secara peribadi, beta tidak ragui lagi untuk mengatakan bahawa di Brunei memang masih ramai rakyat yang tidak atau kurang celik agama.

"Penyakit ini bukan dimiliki oleh kanak-kanak yang ada pada masa ini saja bahkan dulu lagi akibat 50 tahun sistem tidak wajib bersekolah agama."

Baginda Sultan menekankan perkara ini semasa mengurniakan titah dalam keberangkatan Baginda ke Kolej Universiti Perguruan Agama Seri Begawan (KUPU SB) hari ini.

Dalam titah itu, Baginda Sultan menzahirkan rasa bangga melawat KUPU SB kerana sifatnya yang unik tidak menyamai pusat pengajian tinggi, khusus untuk perguruan agama, untuk mengeluarkan guru-guru agama yang berijazah dan berdiploma dengan misi dan visinya yang tersendiri.

"Dari segi sebutan sahaja pun sudah cukup mengesankan Kolej Perguruan Agama. Bukan kita sahaja dikata indah, orang luar juga kagum dan memujinya. Kita seolah-olah in advance (melangkau ke hadapan) merentasinya.

"Syukur Alhamdulillah, inilah tapak kita untuk melahirkan guru-guru agama yang berkualiti, guru-guru yang berkualiti pasti akan mencipta anak-anak yang berkualiti tinggi," titah Baginda Sultan.

"Pengalaman kita berlangsung berpuluh tahun, menggunakan khidmat orang lain dalam bidang perguruan agama. Mujur jugalah ada yang dapat dipinjamkan, jika tidak apa akan jadi kita tidak tahu.

"Kerana itulah kita tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mereka atas kerjasama yang sangat bererti.

"Sekarang kita sudah memasuki era sejarah baru dalam bidang ini, untuk beberapa tahun mendatang, hasilnya akan mula dapat dilihat.

"Mengapa kita perlu mempunyai KUPU SB? Jawabnya kerana panggilan zaman. Zaman telah dinamakan zaman kemajuan, tetapi dalam masa yang sama ia juga bernama zaman rosak binasa.

"Apakah yang rosak dan binasa itu? Jawabnya ialah akhlak manusia," titah Baginda Sultan.

Baginda Sultan seterusnya bertitah, kerosakan berlaku tidak mengenal peringkat umur lagi, namun yang lebih parah dikalangan umur muda bahkan juga kanak-kanak.

"Isu gejala sosial meningkat, berlaku di rumah, di dalam sekolah, di dalam pusat pengajian tinggi dan tidak hairan di tempat-tempat lain yang memang wajar ia berlaku.

"Perkara dadah, jenayah, samseng dan seks bebas tidak lagi berselindung-selindung memenuhi dada-dada akhbar, majalah dan Internet seperti sahaja ibu bapa saja kalah, tidak mampu lagi berperanan.

"Maka dalam situasi sebegini, kita masih ada satu saja lagi ubat yang masih tinggal iaitu pendidikan agama," titah Baginda Sultan.

"Beta penuh percaya, kita masih mampu merawat penyakit masyarakat yang sedang menular pada hari ini dengan ubat, sebab itulah Beta tetap tidak berganjak daripada menekankan bahawa subjek agama adalah perlu 'compulsory' (diwajibkan) di dalam SPN21 bukannya di sumbat di celah-celah subjek lain yang berkontroversi," Baginda Sultan menegaskan.

"Beta terus nampak pada kepentingan sekolah agama. Mengapa ia tidak diwajibkan selama ini?."

"Setelah 50 tahun mempunyai sistem yang liberal tapi belum ada apa-apa yang dibuat untuk perubahan dan sistem tetap beku, walaupun keperluan mengehendakinya supaya berubah.

"Beta tegaskan, keperluan sejak lama lagi sudah mengehendaki sistem ini mesti berulang, mengapa?, Bukankah tidak mewajibkan sekolah agama itu bererti kita mencipta jurang, mengekalkan jurang antara rakyat yang celik agama di satu pihak dan yang buta agama pula di satu pihak lain.

"Mengapa harus demikian? Adakah ia kita anggap lebih baik daripada sistem mewajibkan dan kalau itulah kedudukan, apa alasan kita, alasan secara ilmu," Baginda Sultan menegaskan.

Titah Baginda Sultan lagi, sudah 50 tahun sistem tidak wajib ini namun belum pernah kedengaran ada usaha untuk mengkaji semula, walaupun sudah berlalu 50 tahun.

"Dan belum ada juga usaha untuk mengkaji semula terhadap kesan baik atau buruknya, melainkan terus membisu sehingga sampai ke 50 tahun. Tidak nampak kah kita musibah daripada kebisuan ini?" soal Baginda Sultan.

Baginda Sultan seterusnya menekankan, selama 50 tahun, rakyat terkatung-katung bebas memilih bersekolah agama atau tidak, bersekolah boleh dan tidak bersekolah pun juga boleh.

"Yang bersekolah kami ajar dan yang tidak bersekolah pandai-pandai lah sendiri membawa diri dan apakah ini pendirian yang betul?" tegas Baginda Sultan lagi.

"Baru-baru ini, ada kedengaran menyeru orang ramai atau ibu bapa supaya menyekolahkan anak-anak mereka ke sekolah agama. Ini bukan cara yang matang. Ini cuma seolah-olah melepas batuk di tangga."

Titah Baginda Sultan lagi: "Yang kebetulan ada mendengar, mereka dengarlah tetapi yang tidak mendengar berapa ramai kah?

"Jadi bukan ini caranya, cara yang betul ialah kaji balik sistem, sesuaikah ia tahan-tahan tidak wajib itu dan apa untung dan apa rugi, kalau lebih menguntungkan tidak mengapa kekalkan tetapi kalau rugi jangan diam-diam, mesti buat sesuatu," Baginda Sultan menegaskan.

"Selama 50 tahun, sistem persekolahan agama tidak wajib, ini telah berlangsung, sedikit Beta ingin bertanya, pernahkah pihak berkenaan membuat kajian dan menjadikannya statistik?.

"Berapa ramaikah keluarga yang menyekolahkan agama anak-anak mereka dan berapa ramai pula tidak. Secara keseluruhan, berapa ramaikah kanak-kanak Islam di Brunei yang bersekolah agama dan berapa ramai tidak?

"Kajian dan statistik seperti ini sungguh penting, kerana daripadanya baru kita tahu permasalahan dan baru minda kita tersuntik untuk memperbaiki mana-mana yang perlu di perbaiki," titah Baginda Sultan lagi.

Baginda seterusnya menekankan, kalau tidak ada kajian dan statistik bagaimana boleh mengetahui permasalahan dan macam mana boleh teringat atau terfikir untuk membuat pembaikan-pembaikan.

"Kerana tidak ada pengkajian dan statistiklah makanya kita terus tidur sehingga 50 tahun. Pada pendapat Beta, pihak berkenaan perlu melangkah untuk membuat pengkajian dan statistik tersebut, bukan terhad setakat setahun dua, malahan sekurangnya dari 10 atau 20 tahun kebelakangan bagi melihat berapa ramai orang yang bersekolah agama dan berapa ramai pula yang tidak pada setiap tahun tersebut."

Tegas Baginda Sultan lagi, kalau penyakit biasa dibuat kajian dan statistik mengapa penyakit tidak celik agama tidak dibuat statistiknya.

"Kita belum pernah mendengar atau membaca statistik kanak-kanak sekolah di Brunei yang pandai sembahyang dan yang tidak pandai, yang pandai mengaji al-Quran dan yang tidak pandai dan begitu juga para belia.

"Jadi jelas kepada kita kegunaan statistik itu, jika statistik mengenai penyakit akan menghasilkan tunjuk angka kadar penyakit maka begitu juga statistik mengenai sekolah dan tidak sekolah agama akan menghasilkan tunjuk angka, kadar mereka yang bersekolah dan mereka yang tidak bersekolah agama itu.

"Tidak penting kah ini? Dan bukan setakat itu saja, malah juga mungkin dapat menyingkap rahsia atau punca mengapa orang bersekolah agama dan mengapa tidak.

"Sama halnya dengan kajian dan statistik mengenai penyakit akan turut mengenal pasti punca penyakit itu dan jika tidak tahu puncanya, bagaimana hendak merawat dan mencegahnya.

"Begitulah juga dengan penyakit lemah agama atau tidak celik agama, mesti kita cari sebab dan puncanya melalui pengkajian dan statistik, jika tidak ada kajian dan statistik, bagaimanakah mungkin dapat di ketahui punca atau sebabnya," Baginda Sultan menegaskan.

"Secara peribadi Beta tidak ragu lagi untuk mengatakan bahawa di Brunei memang masih ramai rakyat yang tidak atau kurang celik agama. Penyakit ini bukan dimiliki oleh kanak-kanak yang ada pada masa ini saja bahkan dulu lagi akibat 50 tahun sistem tidak wajib bersekolah agama.

"Buktinya di padang-padang permainan terdapat belia dan remaja yang mana sudah pun hampir maghrib atau sudah masuk maghrib masih ada belia berkeliaran dengan permainan bola dan sebagainya.

"Di sekolah-sekolah dan malah di pusat pengajian tinggi masih turut berlaku perkara yang membelakangi agama. Kalau mereka berkumpul atau bermajlis kelihatan terkadang sering terbabas dengan meniru budaya orang lain seperti dalam pakaian atau tingkah laku seperti yang baru-baru ini disiarkan dalam media dan Internet yang kebanyakan membimbangkan ibu bapa.

"Mengapa perkara seperti ini boleh berlaku, tidak kah ini juga menandakan adanya gejala celik agama, tidak mempunyai roh agama langsung dan tidak diragukan lagi, ini juga adalah akibat dari sekolah agama tidak di wajib selama 50 tahun," Baginda Sultan seterusnya menegaskan.

"Pendeknya banyak kepincangan boleh berlaku, kerana kelemahan sistem persekolahan itu disebabkan jiwa agama tidak subur, orang boleh berundur dari agama atau tidak suka kepada agama."

Baginda Sultan selanjutnya memberi contoh kepada berita baru dimana Maktab Jururawat ada belajar agama tetapi sekarang sudah tidak ada lagi setelah ditiadakan.

"Kalau ini betul mengapa ditiadakan dan mengapa di padam cahaya Allah kepada maktab tersebut?

"Beta ada mendengar di luar negara di mana rawatan cara Islam di hospital biasa telah di perkenalkan tapi kita di tempat menimba Ilmu seperti Universiti dan Maktab membuang agama.

"Sedang hospital sudah mula memasuki agama tapi kita pula mengeluarkan agama, di mana kebijaksanaan itu dan mengatakan kita mendukung negara zikir.

Sebenarnya Allah sedang membuka pekung kita sekarang kerana tidak pernah mewajibkan sekolah agama sampai berlarut-larut 50 tahun."

"Beta sangat hairan jika perkara agama itu biasanya akan ditangani dengan lambat, benda yang patut disegerakan jadi lambat, mengapa?.

"Projek pembinaan beberapa masjid telah pun dirancang bertahun-tahun dan bahkan telah masuk ke Majlis Agama Islam namun ia tidak lagi di dengar ceritanya," titah Baginda Sultan.

Baginda turut menyentuh mengenai dengan keputusan membenarkan permohonan sekolah Al-Falah juga sudah bertahun-tahun di luluskan tetapi sampai sekarang tidak kedengaran.

Semasa keberangkatan Baginda ke KUPU SB, Baginda bertitah adakah disebabkan masalah peruntukan atau memang sengaja memang di lambat-lambatkan.

"Yang mana baru-baru tadi, beta telah melawat sekolah Al-Falah, masalah peruntukan kah? Atau pun memang sengaja di lambat-lambat.

"Tidak tahu kah kita berapa tingginya harapan orang, betapa susahnya mereka memikir untuk mengatasi kesulitan bangunan, murid sentiasa bertambah di manakah hendak di tempatkan bangunan yang ada yang bersifat sementara itu sudah pun penuh dan tidak lagi dapat menampung."

Tegas Baginda Sultan lagi, ini menyebabkan permohonan baru untuk masuk ke sekolah ini terpaksa di tolak begitu saja dan tidak mustahil menjadikan masyarakat hilang kepercayaan kepada pihak sekolah kerana kecewa atau merasa tidak selesa dengan prasaran bangunan yang ada.

"Tidak faham kah kita, semakin ia dilambatkan bukan semakin kecil akan memerlukan pada pertambahan pada peruntukan pula dan siapakah yang akan turut menanggung risiko ini, bukan baitulmal sendiri tapi yang lebih berat lagi pihak sekolah terpaksa membayar lebih kerana ia bukan percuma.

"Perkara ini akan mengambil masa lebih panjang juga untuk melunaskan berbanding kalau ia di bangun pada enam atau tujuh tahun dahulu," tegas Baginda Sultan lagi.

"Itu saja yang beta ingin sampaikan di sini, untuk perhatian semua pihak berkenaan, dasar yang beta pakai adalah dasar dakwah, dasar nasihat dan dasar mesyuarah yang sangat disuruh atau di galakkan oleh agama sendiri."

No comments:

Post a Comment