KUALA BELAIT, Selasa - Seorang warga emas hari ini bersyukur setelah penantiannya selama 15 tahun untuk mendapatkan rumah sendiri akhirnya terlaksana.
Dayang Teo Mok Lan, 72 tahun, menyatakan rasa gembira beliau setelah terpilih mendapatkan rumah jenis Standard di kawasan Rancangan Perumahan Negara hari ini.
Beliau adalah antara 10 warga tua yang turut bersama 52 yang lain, menerima penganugerahan anak-anak kunci rumah di bawah Rancangan Perumahan Negara Kampung Lumut/Sungai Liang daerah Belait.
Bagaimanapun beberapa orang daripada warga tua emas itu tidak dapat menghadirkan diri ke Majlis Penganugerahan itu telah mewakilkan anak-anak mereka untuk menerimanya.
Menurut Dayang Teo, beliau telah menunggu untuk mendapatkan giliran selama lebih 15 tahun selepas permohonannya pada tahun 1992 ketika berusia 56 tahun, dan dipanggil untuk temu duga pada tahun berikutnya 1993.
Selama menunggu itu beliau yang dulunya bekerja sebagai Tukang Masak di British Garrison dengan gaji sejumlah $1,700.00 terpaksa menyewa rumah.
Bagaimanapun beliau kini sudah bersara daripada pekerjaan tersebut, dan hanya menerima elaun daripada kerja sukarelawan menjaga penghuni-penghuni di kediaman Orang Tua di Seria.
Dan sebelum ini beliau terpaksa tinggal di rumah orang tua tersebut kerana tiga orang anak-anaknya kesemuanya menetap di Miri Sarawak.
Bagaimanapun beliau bercadang untuk pindah segera ke rumah barunya itu, dan pembayaran rumah itu akan dibantu oleh adik dan anak-anaknya, memandangkan beliau tidak mempunyai gaji tetap lagi untuk membayar rumah yang diperolehnya jenis Standard yang bernilai kira-kira $80,000.
Beberapa penerima yang lainnya juga turut bergembira setelah mendapat rumah kediaman mereka sendiri. Mereka lega kerana sudah mempunyai rumah sendiri selepas penantian yang begitu lama.
Terima kasih atas kesudian menulis tentang ibu saya.
ReplyDelete