Thursday, January 21, 2010

SKIM PERSARAAN CARUMAN TAMBAHAN (PCT)

PENGENALAN

Skim Persaraan Caruman Tambahan (PCT) adalah merupakan skim persaraan tambahan kepada Skim TAP. Sepertimana jua Skim TAP, ianya diwajibkan kepada semua pekerja di sektor awam dan sektor swasta. Bagaimanapun mereka yang memegang jawatan berpencen di dalam Perkhidmatan Awam atau sedang menerima bayaran pencen bulanan Perkhidmatan Awam adalah dikecualikan untuk menyertai Skim ini. Disamping itu, sektor informal juga adalah digalakkan untuk menyertai skim ini. Skim ini adalah merupakan skim defined contribution yang menghendaki setiap peserta dan majikan untuk membuat caruman yang perlu dibuat secara bulanan menurut Undang-Undang.



OBJEKTIF SKIM PCT

Objektif utama Skim PCT ini adalah untuk memastikan semua peserta Skim PCT, yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, menerima bayaran pendapatan bulanan minimum (annuity) sebanyak B$150 (Ringgit Brunei: Seratus Lima Puluh) setelah mencapai umur persaraan mandatori iaitu genap umur 60 tahun. Melalui Skim ini, yang menjamin bayaran sebanyak B$150 (Ringgit Brunei: Seratus Lima Puluh), dan dicampur dengan bayaran Pencen Tua (OAP) sebanyak B$250 (Ringgit Brunei: Dua Ratus Lima Puluh) yang dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada masa ini, para pesara akan menerima pendapatan bulanan minimum berjumlah keseluruhan sebanyak B$400 (Ringgit Brunei: Empat Ratus).

Di samping itu, Skim PCT ini juga memberi pembayaran manfaat ‘survivorship’ bagi menjamin kesejahteraan tanggungan sekiranya peserta meninggal dunia sebelum bersara mandatori.



KEAHLIAN PCT

Semua Rakyat dan Penduduk Tetap negara ini yang bekerja samada di sektor awam atau sektor swasta adalah dimestikan menyertai Skim PCT (mandatori) kecuali mereka yang memegang jawatan berpencen di dalam Perkhidmatan Awam atau sedang menerima bayaran pencen bulanan Perkhidmatan Awam.

Rakyat dan Penduduk Tetap negara ini yang bekerja di sektor informal juga digalakkan menyertai Skim PCT ini. Pada peringkat awal ini, sektor informal adalah ditakrifkan sebagai individu yang terdiri daripada Rakyat dan Penduduk Tetap negara ini yang sudah berusia 18 tahun dan ke atas yang bekerja atau membuat perniagaan secara persendirian untuk mendapatkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan bagi diri sendiri atau untuk menyara ahli keluarga seperti nelayan, petani dan peniaga/pengusaha kecil persendirian (self-employed). Kelayakan seseorang itu untuk diperakui sebagai golongan informal adalah tertakluk kepada pertimbangan Lembaga PCT.



SYARAT-SYARAT KELAYAKAN MENERIMA FAEDAH PCT

Syarat kelayakan yang perlu dipenuhi oleh setiap peserta untuk menikmati manfaat daripada Skim PCT adalah seperti berikut:

i. Setiap peserta hendaklah membuat caruman secara berterusan atau konsisten dari ianya mula memasuki alam pekerjaan dan menyertai Skim PCT sekurang-kurangnya selama 35 tahun dan;


ii. Bagi generasi peralihan, mereka hendaklah membuat caruman sebaik sahaja Skim PCT dikuatkuasakan. Mereka ini akan layak untuk menerima insentif yang digelar ‘catch-up’ atau bayaran caruman secara kebelakangan daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Generasi peralihan adalah didefinasikan sebagai Rakyat dan Penduduk Tetap negara ini yang sedang berkhidmat di sektor awam dan swasta pada masa ini dan menyertai Skim TAP sehingga Skim PCT dikenalkan.



CARUMAN PCT

Kadar Caruman Minimum

Kadar caruman bulanan yang ditetapkan pada waktu ini ialah minimum sebanyak 3.5% daripada peserta dan 3.5% daripada majikan mereka yang membawa jumlah caruman minimum keseluruhan sebanyak 7% daripada gaji bulanan peserta.

Kedua-dua caruman yang dibuat tersebut akan dibahagikan untuk dua tujuan utama Skim iaitu 6% caruman tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun PCT peserta dan 1% adalah untuk pembayaran bagi perlindungan ‘Survivorship’.

Bayaran Caruman Minimum

Bagaimanapun jumlah caruman minimum adalah sebanyak B$35.00 (Ringgit Brunei: Tiga puloh lima) sebulan iaitu B$17.50 (Ringgit Brunei: Tujuh belas dan sen: lima puloh) bagi setiap peserta dan B$17.50 (Ringgit Brunei: Tujuh belas dan sen: lima puloh) oleh majikan mereka. Perkiraan tersebut mengambil andaian bahawa gaji bulanan yang diterima oleh peserta ialah B$500.00 (Ringgit Brunei: Lima ratus).

Gaji Bulanan


B$500.00

3.5% dari gaji pekerja


B$17.50

3.5% dari majikan


B$17.50

Jumlah caruman PCT


B$35.00

Jika gaji seseorang peserta Skim PCT adalah lebih rendah daripada B$500.00 (Ringgit Brunei: Lima ratus) dan berdasarkan kadar caruman 3.5% yang ditetapkan, jumlah carumannya sebulan adalah di bawah B$17.50 (Ringgit Brunei: Tujuh belas dan sen: lima puloh), maka pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan memberi caruman bantuan (top-up) untuk mencukupkan jumlah caruman kepada B$17.50 (Ringgit Brunei: Tujuh belas dan sen: lima puloh).

Gaji Bulanan


B$400.00

3.5% dari gaji pekerja


B$14.50

Caruman bantuan Kerajaan


B$3.50

3.5% dari majikan


B$17.50

Jumlah caruman PCT


B$35.00

Bagaimanapun, pihak majikan mereka masih lagi dikehendaki membayar caruman minimum yang sama iaitu B$17.50 (Ringgit Brunei: Tujuh belas dan sen: lima puloh).

Jika setelah membuat caruman 7% dari gaji bulanan secara berterusan selama 35 tahun, peserta itu masih tidak mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi di dalam Skim PCT apabila mencapai umur persaraan mandatori (genap umur 60 tahun), maka mana-mana kekurangan akan dibiayai oleh pihak Kerajaan melalui Dana Persaraan.

Kadar Caruman Maksimum Oleh Majikan

Untuk tidak membebankan pihak majikan terutama syarikat-syarikat perniagaan, perkiraan kadar caruman maksimum yang dibuat oleh pihak majikan ialah 3.5% daripada B$2,800.00 (Ringgit Brunei: Dua ribu dan lapan ratus) walaupun terdapat di antara pekerja mereka menerima gaji bulanan melebihi B$2,800.00 (Ringgit Brunei: Dua ribu dan lapan ratus) sebulan. Sebagai misal, jika seorang peserta PCT tersebut menerima gaji bulanan sebanyak B$5,000.00 (Ringgit Brunei: Lima ribu) sebulan, majikan hanya dimestikan mencarum sebanyak B$98.00 (Ringgit Brunei: Sembilan puloh lapan sahaja) sebulan untuk pekerja berkenaan.

Bagaimanapun peserta PCT boleh memilih untuk mencarum lebih daripada B$98.00 (Ringgit Brunei: Sembilan puloh lapan) sebulan jika berhasrat untuk berbuat sedemikian untuk membolehkan ianya menerima pendapatan persaraan yang lebih tinggi setelah mencapai persaraan mandatori iatu genap umur 60 tahun.

Bayaran Caruman Sektor Informal (Bekerja Sendiri)

Bagi Rakyat dan Penduduk Tetap negara ini yang termasuk di dalam takrif sektor informal yang menyertai Skim PCT adalah dikehendaki mencarum sebanyak B$17.50 (Ringgit Brunei: Tujuh belas dan sen: lima puloh) setiap bulan.

Berikutan dengan pembayaran caruman tersebut, pihak Kerajaan akan memberi bantuan untuk mencarum B$17.50 (Ringgit Brunei: Tujuh belas dan sen: lima puloh) sebagai ganti kepada caruman majikan. Ini adalah bertujuan bagi menjadikan jumlah caruman minimum bagi setiap peserta dari kumpulan sektor informal berjumlah B$35.00 (Ringgit Brunei: Tiga puloh lima) sebulan (sama dengan jumlah minimum yang dicarumkan peserta Skim PCT di sektor-sektor lain).

Bagaimanapun peserta berkenaan juga boleh memilih untuk mencarum lebih daripada B$17.50 (Ringgit Brunei: Tujuh belas dan sen: lima puloh) sebulan jika berhasrat untuk berbuat sedemikian untuk membolehkan ianya menerima pendapatan persaraan yang lebih tinggi setelah mencapai persaraan mandatori iatu genap umur 60 tahun.

Caruman


B$17.50

Kerajaan


B$17.50

Jumlah caruman PCT


B$35.00



MANFAAT 'SURVIVORSHIP'

Manfaat survivorship adalah satu komponen yang ditawarkan oleh Skim PCT ini yang mana bertujuan bagi menjamin kesejahteraan hidup tanggungan-tanggungan peserta Skim PCT (isteri dan anak-anak) apabila peserta Skim PCT meninggal dunia. Manfaat ini mengandungi dua komponen:

i. Manfaat Perlindungan ‘survivorship’
ii. Manfaat pencen Skim PCT khas bagi tanggungan

Jumlah manfaat ‘survivorship’ yang diberikan kepada tanggungan-tanggungan peserta adalah berbeza antara peserta Skim PCT yang meninggal dunia sebelum atau setelah bersara. Jika peserta meninggal dunia sebelum bersara mandatori, maka tanggungan-tanggungan peserta akan menerima manfaat perlindungan ‘survivorship’ dan manfaat pencen Skim PCT khas bagi tanggungan. Manakala jika peserta meninggal dunia setelah mencapai umur persaraan mandatori, tanggungan-tanggungan peserta akan hanya menerima manfaat pencen Skim PCT khas bagi tanggungan.

Jika peserta Skim PCT meninggal dunia sebelum tarikh persaraan mandatori, balu dan anak-anak (di bawah 21 tahun) peserta akan menerima manfaat perlindungan ‘survivorship’ bulanan dengan jumlah minimum sebanyak B$400 (Ringgit Brunei: Empat ratus) sahaja selama 15 tahun dari tarikh peserta berkenaan meninggal dunia. Ini adalah selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Akta Pencen-Pencen (Penggal 38) pada mana balu kepada pegawai dan kakitangan kerajaan yang berpencen akan menerima pencen turunan selama 15 tahun dari tarikh meninggal.

Sekiranya balu kepada peserta juga meninggal dunia, maka jumlah manfaat perlindungan ‘survivorship’ tersebut di atas akan dibayar kepada anak-anak peserta (di bawah 21 tahun) selama 15 tahun dari tarikh peserta berkenaan meninggal dunia. Sepertimanajua Akta Pencen-Pencen (Penggal 38), jika balu peserta yang meninggal berkenaan berkahwin lagi, maka manfaat perlindungan ‘survivorship’ tidak lagi diberikan kepada balu berkenaan tetapi akan dipindahkan kepada anak-anak peserta yang layak.

Di samping menerima manfaat perlindungan ‘Survivorship’, balu peserta yang meninggal dunia juga menerima manfaat pencen Skim PCT khas bagi tanggungan. Sekiranya isteri/suami peserta meninggal dunia, manfaat pencen Skim PCT khas ini akan dipindahkan kepada anak-anak peserta. Jumlah manfaat pencen Skim PCT khas bagi tanggungan ini akan dibayar secara bulanan dan adalah tertakluk kepada baki akaun Skim PCT peserta serta umur tanggungan peserta.



PEMBAYARAN 'CATCH-UP'

'Catch-up’ adalah merupakan bayaran caruman yang dibuat secara kebelakangan yang dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Generasi Peralihan iaitu Rakyat dan Penduduk Tetap negara ini yang sedang berkhidmat di sektor awam dan swasta pada masa ini dan menyertai Skim TAP sehingga Skim PCT dikenalkan. Insentif ‘catch-up’ ini bertujuan untuk memastikan setiap peserta mempunyai simpanan yang mencukupi sebelum bersara mandatori untuk mereka menikmati manfaat Skim PCT. Ini adalah kerana terdapat sebilangan peserta tidak dapat membuat caruman selama 35 tahun iaitu tempoh minimum yang diperlukan disebabkan telah mencapai umur lebih 25 tahun apabila Skim PCT berkuatkuasa.

Jumlah ‘catch up’ ini dibayar secara ‘front loading’ kepada akaun Skim PCT peserta apabila Skim ini mula berkuatkuasa, seakan-akan ianya telah membuat caruman sejak ia berumur 25 tahun. Jumlah ‘catch-up’ yang dihulurkan kepada setiap peserta di dalam golongan Generasi Peralihan ini adalah sebanyak B$30.00 (Ringgit Brunei: Tiga puloh sahaja) sebulan sejak ianya menjadi ahli TAP secara sama rata tanpa mengambilkira gaji bulanan ahli. Jika peserta tersebut menjadi ahli TAP lebih awal daripada umur 25 tahun, ‘catch-up’ hanya dibayar mulai ianya mencapai umur 25 tahun. Ini adalah mengambilkira bahawa tempoh masa pengumpulan (‘vesting period’ ) yang optimum untuk mencapai matlamat PCT adalah dengan mencarum jumlah caruman minimum secara konsisten sekurang-kurangnya 35 tahun atau bermula sejak peserta berumur 25 tahun.


PENGELUARAN DANA PCT

Skim ini tidak membenarkan mana-mana pengeluaran wang dibuat daripada simpanan PCT sebelum peserta mencapai umur persaraan mandatori iaitu genap 60 tahun kecuali ahli meninggal dunia atau meninggalkan negara tanpa niat untuk kembali semula ke Negara Brunei Darussalam.

petikan dari web www.mof.gov.bn

No comments:

Post a Comment